Selasa, 6 November 2012

Kalau parti putus tanding di Sabah saya ok




Kalau parti putus tanding di Sabah saya ok

Salmiyah Harun, 06 Nov 2012

KUALA LUMPUR: "Kalau pimpinan PAS mengarahkan saya bertanding di Sabah atau Sarawak pun, saya akan pergi," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini. Kenyataan ini ekoran laporan yang beliau akan bertanding di Pekan, Pahang melawan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam sidang media ini juga, TG Abdul Hadi berkata, PAS sudah bersiap bila-bila masa untuk mengjadapi pilihan raya umum ke 13.

"Kita sudah siap 90 peratus dari keperluan pilihan raya," katanya.

Laporan penuh menyusul.

Jika benarlah...




Jika benarlah...

http://kldailyblog.wordpress.com, 06 Nov 2012

Jika benar Haji Hadi mengatakan bahawa beliau bersedia bertanding di Pekan menentang Najib pada PRU 13 akan datang jika kepimpinan parti menghendakinya, pasti tindakan ini adalah satu tindakan stunt politik. Apakah pula strategi PAS dan Haji Hadi dalam isu ini? Adakah ia sekadar gimik atau memang benar-benar mahu mempertimbangkan idea gila ini?

Jika ia benar-benar terjadi pastinya ia akan menjadi medan perjudian nasib dan masa depan politik kepada kedua-dua calon heavyweight ini. Pada masa itu, pastinya Najib akan terpasak di kawasannya untuk memastikan setiap kerja kempennya tidak putus. Ini akan merantai kaki Najib dari menjelejah ke seluruh negara berkempen untuk UMNO dan BN.

Sedangkan Haji Hadi pula, pastinya akan dapat bekerja dan berkempen secara effisien dengan hanya menfokus dalam kawasan Pekan sambil memerhatikan Najib berpeluh dalam setiap kempennya.

Perlu diingat, dalam perjudian ini, dari segi psikologinya Haji Hadi lebih baik kerana beliau ada pengalaman kalah dalam pilihanraya berbanding Najib yang belum pernah kalah. Ini akan memberi tekanan kepada Najib selaku calon pilihan untuk menang. Bukankah ini adat berlawan, lihat sajalah bolasepak. Bebanan psikologi ini pastinya memberi advantage buat Haji Hadi dan PAS.

Dalam masa yang sama, jika pergerakan Najib terkekang dek kerana mengawal kawasan parlimennya, Tan Sri Muhyiddin pula akan bergerak seperti panglima garang atau jeneral perang dalam kempen UMNO BN di peringkat Nasional. Ini juga boleh memberi tanggapan buruk kepada kem UMNO dan BN apabila timbalan presiden akan dilihat lebih tangkas dan aktif dalam kempen nasional. Adakah Najib bersedia untuk ini?

Dari segi Pakatan pula, jika Haji Hadi bertanding di Pekan, kempen di peringkat Nasional tidak akan terjejas sama sekali kerana faktor Anwar dan barisan kepimpinan utama lain. Namun, jika ditakdirkan Haji Hadi menang ke atas Najib, apakah mungkin kedudukan Anwar Ibrahim selaku calon PM akan mula dipersoalkan kerana status kemenangan Haji Hadi lebih bernilai berbanding Anwar?

Jika Haji Hadi kalah, pastinya beliau tidak terkilan kerana beliau sudah memberi isyarat untuk mengendur dalam politik dan ingin menumpukan perhatian kepada partinya. Atau mungkinkah ini juga (bertanding di Pekan) menjadi isyarat bahawa Haji Hadi mahu bersara dengan penuh kesan kepada politik beliau dan Malaysia.

Terlalu banyak jika dalam politik.. jika itu tidak berlaku, maka politik Malaysia pastinya tiada imaginasi.-editor

Bersedia terima kemenangan!



Bersedia terima kemenangan!

Ahmad Lutfi Othman, 06 Nov 2012
Saya melihat Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November, di Seremban Jaya, sebagai   pelepasan pecutan awal di pusingan terakhir buat aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13. Ia bukan sekadar satu upacara penuh simbolik untuk menggerakkan seluruh potensi kekuatan bagi menamatkan era BN, tetapi komitmen padu membawa perubahan menyeluruh yang didambakan setiap warga selama ini.

Meskipun jadualnya bertukar, daripada acara kemuncak menghimpunkan sejuta orang di Stadium Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam, kepada himpunan di peringkat zon -- dengan memilih Negeri Sembilan sebagai tapak bersejarah membuka laluan kepada momentum tsunami politik 2008 ke arah selatan -- ia tetap membawa makna besar ke arah pembebasan Putrajaya. Seremban  menjadi saksi bahawa penampan yang memagari negeri-negeri yang dikatakan kubu kuat Umno lebih empat tahun lalu, sudah mulai roboh.

Dari petang ke malam Sabtu itu, hujan lebat ternyata tidak dapat menghalang tekad waja dan azam jitu rakyat untuk berpusu-pusu memeriahkan himpunan, mendengar amanat pemimpin, berkongsi pengalaman bertanya khabar, juga selingan hiburan personaliti terkemuka tanahair. Audien pelbagai bangsa, daripada pelbagai latarbelakang dan lapisan umur, setia menunggu sehingga tamat program.

Pidato Anwar Ibrahim, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dilihat berupaya menyuntik keyakinan bukan hanya kepada penduduk Negeri Sembilan, malah menjadi bekalan pembakar semangat buat penonton yang datang dari jauh -- bahawa perubahan mesti dilakukan segera, dalam PRU13 ini, bagi menyelamatkan negara. Peluang terbaik tidak datang selalu dan kesempatan terbentang di depan mata harus dimanfaatkan sebaiknya.

Menyedari terdapat asakan berterusan yang bertujuan untuk memecah-belahkan kesatuan Pakatan, khususnya antara PAS dan DAP, seorang kawan meminta saya menekankan ucapan ataupun jaminan pemimpin DAP dalam majlis itu. "Aku tertarik dengan kenyataan pemimpin mudanya, Ketua Pembangkang Dun Negeri Sembilan, Anthony Loke," tambah sahabat saya itu.

Saya yang hanya mengikuti himpunan itu melalui siaran langsung internet, mengakui ucapan Loke agak menarik.  "Mari kita tinggalkan politik korupsi, nepotisme dan sentimen perkauman. Pemimpin mesti ada integriti,  bersih, dan pentingkan rakyat," katanya, sambil menekankan orang Melayu tidak akan hilang kuasa apabila Pakatan mengambil alih kerana yang terlucut kuasa hanyalah Umno.

"Malaysia era baru di bawah Pakatan, kalau agama Buddha dihina, saya yakin PAS akan pertahan, kalau Hindu atau Kristian dihina, KeADILan akan pertahan, dan kalau agama Islam dihina, pemimpin DAP akan pertahannya. Saya sendiri pertahankan Tok Guru Nik Aziz apabila beliau dihina pemimpin MCA," tambahnya lagi, disambut tepukan bergemuruh.


Dalam pada itu,  ada rakan-rakan berpendapat, sekiranya siri program jelajah seluruh negara himpunan kebangkitan rakyat itu bertujuan memaksimumkan impak tuntutan senarai daftar pemilih yang benar-benar bersih, selain menimbulkan isu akses media semasa kempen PRU13,  seeloknya ia harus diakhiri dengan perarakan ala Bersih di kota raya Kuala Lumpur dan turut membabitkan penyertaan proaktif rangkaian NGO yang komited dengan isu-isu hak asasi dan keadilan sejagat. Partisipasi masyarakat sivil bagi menyemarakkan proses pendemokrasian di Malaysia sudah teruji, dan oleh itu mereka tidak wajar dilupakan pada saat-saat kritikal ini.

"Usaha memaksa kerajaan menyediakan pilihan raya bersih dan adil, bukan sekadar memerlukan kehadiran ramai tetapi perlu melibatkan segenap lapisan masyarakat. Benar, himpunan Hijau anjuran PAS, bermula di Stadium Darul Aman, Alor Setar dihadiri 100,000, syabas,  tapi kita mahukan penyertaan lebih daripada itu. Biar Najib dan BN digoncang. Jadi, lebih elok kalau dianjurkan perarakan seumpama Bersih 4.0, kalau boleh bergelegak sekali lagi Kuala Lumpur," kata seorang aktivis NGO hak asasi sambil mencadangkan Stadium Merdeka menjadi lokasi alternatif.

Berdasarkan mood positif rakyat di seluruh negara, serta gelombang kesedaran yang memuncak dan keazaman tinggi untuk melakukan perubahan menyeluruh -- dari Perlis ke Johor, merentasi Laut China Selatan --  saya kira jika segalanya diuruskan dengan baik dan cermat, sekali gus mengelak kesilapan, walaupun kecil, yang boleh membawa padah, kesempatan terbaik ini mungkin sukar berulang lagi jika peluang keemasan disesiakan. Keyakinan kepada penyokong, aktivis dan warga seluruhnya mesti dipasak sedalam mungkin, namun jangan memandang rendah ruang berlakunya sabotaj, pembelotan atau kealpaan yang tidak disengajakan.

Dan pastikan segala konspirasi  perancangan jahat dan komplot penipuan Umno-BN pada hari mengundi nanti dapat disekat sebaik mungkin. "By hook or by crook, kita masih cari jalan untuk gagalkan perencanaan musuh, pandai-pandailah mengaturnya," tegas seorang strategis pilihan raya yang mengaku masak dengan taktik jelik elit penguasa.

Dalam pada itu, bukan sedikit usaha transformasi Najib Razak, ditambah pelbagai insentif one-off ditabur, namun majoriti rakyat seperti sudah mencapai kata sepakat, "cukuplah BN, kami tetap mahukan perubahan kali ini". Serangan berterusan media, disokong segala kemudahan kerajaan yang boleh diperkakaskan Umno-BN, seakan tumpul dan ada kalanya seperti menikam belakang sendiri. Sekurang-kurangnya itulah yang dizahirkan di permukaan. Apa pun, selagi belum tiba hari mengundi, usah mencurah air di tempayan hanya kerana mendengar guruh di langit.

Seperti biasa, saya masih cuba melihat sisi-sisi kelemahan Pakatan Rakyat, baik di peringkat jentera parti mahupun empat kerajaan negerinya, dengan mengandaikan situasi terburuk yang boleh menimpa. Juga menyedari bahawa Najib Razak dan parti pemerintah peringkat pusat mempunyai banyak kelebihan dan sumber yang tentu akan dieksploit sepenuhnya dalam saat-saat genting nanti.

Saya memaksa diri untuk tidak mudah percaya dengan "gambaran indah" yang ditunjukkan dalam setiap program Pakatan, misalnya kehadiran luar biasa dalam majlis ceramah dan makan malam.

Begitu juga dengan siri perisytiharan bekas pegawai kanan kerajaan bersama oposisi, khususnya PAS. Itu belum dikira bisik-bisik  bahawa lebih ramai yang masih memegang jawatan strategik sudah tidak sabar lagi menanti PRU13 bagi menghukum pemimpin dan parti yang korup dan curang. Ya, mereka tidak akan membazirkan walaupun satu undi, bagi memastikan perubahan dapat direalisasikan.

Malah, difahamkan, tidak sedikit jumlahnya  pemimpin BN yang menunggu masa untuk berpaling tadah jika jelas tanda-tanda "bahtera besar" itu akan tenggelam! Bukankah Dr Mahathir Mohamad sendiri kerap mengakui, apa gunanya  menjadi pemimpin Umno jika parti itu sudah hilang kuasa dan berpindah ke blok pembangkang?

Rakyat yang makin terdedah dengan maklumat dan celik politik sudah bosan dengan amalan rasuah, kronisme, salahguna kuasa dan korupsi yang menjadi-jadi. Pendedahan silih berganti (cukuplah dengan inisiatif Rafizi Ramli, bermula skandal lembu fidlot dan terkini hubungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab terhadap SPRM, Nazri Aziz dengan jutawan peniaga balak Sabah); semuanya membuktikan, kuasa kepada pemimpin Umno bukan lagi dianggap amanah, tetapi kesempatan memburu ghanimah menimbunkan harta kekayaan. Kehidupan mewah anak beranak menteri tidak segan silu lagi untuk diperagakan kepada publik.

Berkali-kali ditegaskan, Umno-BN yang hampir ditewaskan lebih empat tahun lalu tidak pernah mengambil iktibar dengan kejutan kekalahan pada lima negeri dan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, sebaliknya dengan sisa dan baki kuasa yang ada, segalanya mahu dikaut dan dibolot untuk diri, kelompok dan kroni.  Hinggakan ramai bekas pemimpin kanan Umno sendiri mencadangkan, biar sekali parti itu merempat kalah, barulah kemungkinan ada potensi ia dapat dipulihkan selepas menyedari tinggi rendahnya langit.

Terbukti, kuasa politik menjadi sumber paling mudah buat pemimpin BN dan suku-sakatnya memenuhkan tembolok. Atas nama projek pembangunan, perancangan rapi (dan jahat) dibuat untuk mengagih-agihkan khazanah kekayaan negara dan menghanguskan wang pembayar cukai. Apabila pemimpin BN bertepuk meja di Dewan Rakyat menyokong pengumuman Menteri Kewangan meluluskan projek, yang pantas terbayang bukanlah manfaat diraih rakyat tetapi berapa banyak ghanimah yang boleh diangkut.

Lim Guan Eng, dalam konvensyen tahunan DAP Melaka, 28 Oktober lalu menegaskan: "Sebanyak RM240 juta yang dibelanja untuk lapangan terbang Melaka yang tidak digunakan oleh kapal terbang tetapi untuk bermain layang-layang. Barangkali ia boleh digunakan untuk menternak lembu juga." Tiga bulan lepas, saya pernah meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam yang sunyi senyap itu!  Tiada pesawat, tiada penumpang, tiada kedai-kedai yang dibuka, tiada pekerja yang bertugas, malah lampu pun tidak dipasang pada sebahagian besar terminal. Dan airport itu bertaraf lapangan terbang antarabangsa! Anda tidak perlu dikhutbahkan dengan senarai panjang pembaziran ketua-ketua menteri negeri Hang Tuah itu.

Sogokan rasuah RM40 juta Michael Chia kepada "Bapa angkatnya, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan misteri dana politik Umno negeri itu, yang kemudiannya dirangkaikan Rafizi  dengan kenderaan mewah Hummer RM459,000 yang diguna anak Nazri, dijangka mengocakkan lagi sisa-sisa keyakinan Najib untuk berdepan PRU13. Maka, semakin tertangguhlah tarikh pembubaran Parlimen ...

Najib sendiri mempertahankan Musa, sebagaimana beliau membisu dengan kekayaan menakjubkan Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud, yang dikatakan mencecah USD15 bilion!. Bekas menantu Taib, Shahnaz Abdul Majid, mendedahkan anak Taib membelanjakan RM782,520.55 dengan hanya satu kad kredit untuk enam bulan pertama 2012. Shahnaz menuntut RM400 juta sebagai penyelesaian kes cerai kerana aset suaminya dikatakan bernilai berbilion ringgit, dengan deposit RM700 juta di 111 akaun bank di dalam dan luar negara.


Cerita rasuah pemimpin BN tidak terhenti setakat itu. Sememangnya korupsi dan Umno tidak boleh bercerai-tanggal; gejala ini menjalar jauh ke peringkat akar umbi, mungkin dengan skala lebih kecil. Soalnya, apakah isu kecurangan pemimpin Umno ini  cukup -- terutama di kalangan pengundi Melayu -- untuk  membentuk gelombang besar penolakan menyeluruh terhadap BN? Dan rakyat tidak mudah lagi tersilau dan terkeliru dengan tukang-tukang spin dan penasihat media Perdana Menteri yang begitu ramai itu. Hadapilah isu yang real dan berjejak, bukannya terpukau dengan sihir propagandis Umno yang mahsyur dengan mantera perkauman dan sentimen palsu menyelamatkan anak bangsa. 

Seorang profesor dari sebuah universiti utara bertanya saya: "Kenapa ramai orang Melayu tidak dapat membaca ketidakjujuran pemimpin Umno walaupun ada di antara orang Melayu itu bijak pandai?" Seorang rakan menambah, atau apakah mungkin mereka yang sebenarnya mampu berfikir secara rasional dan kritikal itu akhirnya mudah terperdaya dengan isu-isu jadi-jadian tetapi kosong tanpa makna?

Semasa saya cuba mencari jawapan, gurauan seorang pemimpin kanan PAS agak menyentak: "Kalau dulu kita sering terkejut dengan kekalahan pilihan raya demi pilihan raya, kali ini kita akan tergamam dengan kemenangan pula. Justeru, bersedialah untuk memikul kepercayaan rakyat mengisi kemenangan.  Tanggungjawab besar menunggu kita, dan ingatlah amanah kuasa itu jika tidak diseleggerakan dengan baik, akan menggugat idealisme murni kita selama ini."