Ahad, 8 Disember 2013

Tengku Adnan: Mustahil berlaku 'tsunami Melayu'


 
Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenepikan amaran oleh akhbar Mingguan Malaysia bahawa penyokong Pakatan Rakyat akan membentuk "tsunami Melayu" dalam pilihan raya umum akan datang.

Tengku Adnan berkata, perkara itu hanyalah pandangan akhbar milik Umno tersebut, dan mustahil akan terjadi.

“Saya tahu apa pandangan rakyat dan kita akan ikut pandangan rakyat,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau diminta mengulas tulisan pojok mingguan Awang Selamat dalam akhbar tersebut hari ini.

Tulisan berkenaan memberi amaran bahawa PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang.

Tulisan itu juga menggesa anggota majlis tertinggi Umno agar tidak "lupa diri" dalam berkhidmat.

"Awang percaya PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih perjuangkan Melayu bagi menyaingi Umno dalam mendapatkan sokongan majoriti kaum itu.

"Selepas kejutan tsunami Cina pada PRU-13 gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan tsunami Melayu pada PRU-14.

"Waspadalah. Walaupun Umno kuat ia tidaklah kebal. Berjihadlah untuk menjadi parti yang disayangi terutama orang Islam, Melayu dan bumiputera. Tiada pilihan," tulisan itu dipetik.