ULASAN 'Durian runtuh' yang diumumkan perdana menteri di Felda Jengka 8 semalam sangat di alu-alukan.

Namun tidak memeranjatkan saya. Ia telah dimaklumkan 4 hari lalu kepada saya dan telah pun saya sebut dengan tepat dalam kenyataan media saya dan diulang dalam ceramah-ceramah saya.

Meskipun jumlah 1.689 bilion yang diagihkan kepada 112,635 orang peneroka Felda agak besar, tetapi tidaklah sampai 'peneroka tersandar dalam kejutan' seperti perdana menteri katakan sebelum ini di Felda Triang 3, Bera.

Ia diberi dalam tiga fasa untuk peneroka, penerokawati dan generasi kedua. Bonus khas dua bulan setengah gaji untuk 23,000 kakitangan Felda sesuatu yang tidak berbaloi dengan pengorbanan mereka lebih 25 tahun berkhidmat.

Prsatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) tidak pernah menolak sebarang pemberian atau insentif yang mahu diberikan kepada para peneroka. Tetapi biarlah kita berhujah secara matang. Kenapa baru sekarang setelah lebih 55 tahun Felda ditubuhkan?

Adakah ini sandiwara politik kerana bimbang akan senario perubahan sikap warga Felda kepada BN?
Siri-siri saman di Kemahang 3, Gugusan Serting, Bera, Jengka, Maokil dan yang terkini di Gugusan Chini, kawasan parlimen Pekan - tempat perdana menteri sendiri?

Gelombang kebangkitan anak-anak muda Felda dapat disaksikan melalui sokongan mereka bersama program-program ANAK dan ceramah Pakatan Rakyat. Saya yakin ini dalam makluman perdana menteri dan membimbangkan beliau. Jumlah 54 Parlimen yang ada Felda kubu terakhir BN.

Bagaimanapun, memandang ke hadapan; adakah berbaloi gula-gula one off seperti ini?
Berapa lama lagi BN nak bermain politik dengan taktik lama untuk mendodoikan rakyat agar terus menyokong mereka?

Atau, ini dilakukan untuk 'menutup mulut' peneroka agar jangan mempersoalkan keghairahan kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa Malaysia?

Penipuan mereka melalui tujuh buah bank yang diperalat membiayai pinjaman tawaran saham FeIda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) sangat ketara. Borang pinjaman yang dikosongkan jumlah pinjaman, faedah 5 peratus, borang dalam bahasa Inggeris, tidak ditaklimatkan isi kandungannya dan tidak dinyatakan risiko kerugian seperti 'Surat Tanggung Kerugian' antara penipuan dan pengkhianatan kepada para peneroka!

Seramai 125 peneroka Felda sebahagian daripada ribuan lagi peneroka yang telah tertipu kerana menandatangani borang perjanjian pinjaman yang mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat membezakan antara 'durian runtuh' dengan pinjaman saham FGVH. Mereka memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban kelmarin kerana teramat bimbang daripada risiko pinjaman yang boleh sahaja tergadai aset mereka.

Perdana Menteri beri jaminan tanah peneroka tidak akan tergadai. Adakah PM tidak membaca hampir 70 muka surat dalam borang pinjaman FGVH yang secara jelas dinyatakan dengan terperinci nasib peneroka jika harga saham merudum dan segala risiko di tanggung peneroka?

Adakah perdana menteri tidak mengambil iktibar dariapda nasib Felda Cahaya Baru, Felda Sg Buaya, Felda Labu Johnson dan Sendayan yang hilang tanah mereka dan hidup menderita seperti pepatah 'menang sorak kampung tergadai'?

Mana pergi pemimpin BN tatkala amanah saham negeri-negeri gulung tikar hingga menyebabkan rakyat hilang harta dan diisytiharkan muflis kerana meminjam bank untuk melabur?

Adakah perdana menteri, Ahmad Maslan dan Isa Samad boleh beri jaminan bertulis yang saham FGVH tidak rugi sepertimana nasib pelabur amanah saham negeri-negeri dan juga saham-saham lain seperti KUB dan BERNAS.

Perdana menteri tidak perlu sebut "haram jadah" yang diulang dua kali dalam ucapannya kalau dia rasional. Datuk Ahmad Maslan tidak perlu hentam dan cabar saya seperti diungkapkannya. Kenapa terlalu marah hingga tega memaki hamun di hadapan khalayak ribuan warga Felda.

Sebagai pemimpin biarlah ada wawasan. Peneroka Felda sudah ada tanah dan rumah. Untuk kelangsungan hidup, telah memadai. Daripada 1.6 juta warga Felda, 65 peratus generasi kedua. Ini tempoh peralihan yang sangat kritikal untuk mereka.

Mana dia hala tuju anak muda Felda? Perumahan mereka, pendapatan yang lebih stabil atau mereka cuma penonton yang melihat para kroni pemimpin BN memunggah kekayaan setiap hari?
Fikir dulu mana rumah kenerasi kedua daripada beri peruntukan RM5 ribu untuk orang lain.

Tidakkah kewujudan Techno Plant Sdn adalah untuk tembolok pemimpin Umno? Sama juga wujudnya FGVH bagi tujuan memindahkan harta peneroka berbilion ringgit untuk digunakan Umno/BN bagi pilihan raya umum ke-13?

Saya cabar perdana menteri umum peruntukan RM1,689 bilion datang dari mana? Berapa yang kroni bayar kepada penasihat?

Mereka ini ibarat Sadeq Sigara dalam Filem Tiga Abdul yang membuat untung dengan menipu peneroka. Akhirnya peneroka dilelong dengan harga yang murah!

ANAK konsisten dengan perjuangan bagi kehidupan generasi kedua Felda. Para cendekiawan, intelektual dan umumnya anak-anak peneroka bersedia untuk menerajui perubahan di Felda. Seharusnya mereka diberi peluang merencana transformsi di Felda.

Kenapa Isa Samad dilantik perdana menteri sebagai pengerusi Felda? Mana perginya karisma puluhan ribu cerdik pandai anak-anak peneroka? Tidak layakkah mereka jadi Pengerusi Felda dan memegang jawatan penting dalam anak-anak Syarikat Felda? Kenapa semuanya dibolot Isa Samad dan kroni-kroninya?

Seharusnya hala tuju Felda diterajui oleh anak Felda. penambahbaikan Koperasi Felda, pengendalian kebun peneroka, aktiviti tanam semula, pembangunan infrastruktur dan pengembangan anak-anak syarikat.

Berilah kepercayaan dan amanah ini kepada mereka. Bukan diterajui oleh ' para lanun' yang tidak ada seinci tanah pun di Felda!

Pengumuman perdana menteri bukan transformasi. Sebenarnya beliau dan pemimpin BN 'jaguh kampung' yang tidak punya kreativiti strategik. ANAK dan Pakatan menawarkan gagasan seperti Buku Jingga yang bersifat menyeluruh untuk tempoh yang panjang. Pengagihan Tanah Felda Plantation, penubuhan Universiti Felda, Kuota penguasaan anak peneroka dalam anak-anak syarikat Felda; hakikatnya inilah pemikiran global yang menjanjikan kehidupan lebih meyakinkan untuk Anak-anak peneroka Felda.

Bagi saya, pengumuman perdana menteri tidak lebih untuk mengekalkan kuasa politik BN di Felda semata-mata. Ia mungkin menyukakan peneroka tetapi amat mengecewakan anak muda Felda.

Generasi kedua dan ketiga akan terus termenung panjang memikirkan nasib mereka pada hari-hari mendatang yang kian samar.


NONEMAZLAN ALIMAN presiden ANAK dan pengerusi lajnah pembangunan tanah dan wilayah PAS. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.