Isnin, 23 September 2013

KELAB GREENBOC: Isu Chin Peng: Najib, UMNO, Perkasa & KPN Tidak Ta...

KELAB GREENBOC: Isu Chin Peng: Najib, UMNO, Perkasa & KPN Tidak Ta...: T imbalan Menteri: Kerajaan tidak boleh halang abu mayat Chin Peng pulang Kerajaan tidak boleh menghalang sesiapa sahaja membawa pulang abu...

Menteri tak jawab adakah Tanda Putera kisah benar


Hazayani Zakaria, 23 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Program Penerbitan Filem Kenegaraan Dan Warisan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk pembikinan Filem Tanda Putera.

Jumlah tersebut diberikan dalam bentuk peruntukan tunai manakala RM700,000 lagi diperuntukkan dalam bentuk penggunaan produksi.

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) pula memperuntukkan sebanyak RM2 juta melalui geran pembangunan kandungan (BCi2) untuk pembikinan filem yang ditayangkan bermula 29 Ogos lalu itu.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata hasil kutipan tayangan filem tersebut akan disalurkan semula ke dalam dana program bagi membangun dan memberi peluang kepada lebih banyak filem kenegaraan seperti Tanda Putera dihasilkan.

Bagaimanapun, selepas seminggu ditayangkan, filem penuh kontroversi itu gagal mencapai sasaran pecah panggung menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil.

Seminggu tayangan, Tanda Putera hanya berjaya mengutip RM500,000 daripada penjualan tiket di 70 pawagam seluruh negara dari hari bermula tayangan.

Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof menyifatkan perkara tersebut sebagai sangat memalukan dan menyedihkan.

Kutipan box office Tanda Putera disifatkan sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.

Lim dalam soalannya meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan sama ada filem Tanda Putera tersebut berdasarkan kisah benar punca peristiwa berdarah 13 Mei, dan sekiranya tidak, beliau ingin tahu sebab agansi-agensi kerajaan terlibat dan duit rakyat RM4.8 juta digunakan dalam penerbitan ini.

Menteri dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjawab sama ada Tanda Putera berdasarkan kisah benar punca peristiwa berdarah 13 Mei atau tidak.

Beliau sebaliknya hanya memberitahu bahawa Tanda Putera adalah filem kenegaraan yang mengangkat kisah persahabatan dan pengorbanan dua negarawan iatu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

"Ia digarap dengan menarik serta mengupas dengan jelas kemelut yang terpaksa diharungi kedua tokoh negarawan ini dalam menangani cabaran peristiwa 13 Mei," kata Ahmad Shabery.

Ego terlucut di bumi Makkah


http://www.wartautara.com, 23 Sep 2013
Kini lebih sejuta umat Islam berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan rukun Islam kelima. Jemaah dari segenap penjuru dunia kini berada di bumi penuh barakah untuk menyahut seruan Allah SWT.

Meskipun beraneka warna kulit, bangsa dan keturunan, pemimpin negara dan rakyat jelata, mereka bersatu hati dalam ibadah berskala mega. Tiada diskriminasi pangkat atau status sosial kerana mereka melaksanakan ibadah yang sama.

Ibadah haji sememangnya kaya dengan pengajaran bagi yang mahu berfikir. Contohnya, pemakaian ihram. Ibadah lain, kita diberikan kebebasan memilih jenis pakaian asalkan menutup aurat, tetapi tidak ketika menunaikan haji.


Kain putih tanpa jahit

Kita diwajibkan memakai ihram, sehelai kain putih tanpa jahit. Bayangkanlah selama ini kita begitu seronok memperagakan diri dengan aneka jenama pakaian mengikut kemampuan masing-masing. Mereka yang kaya bergaya dengan jenama mahal dan serba anggun dipandang mata.

Sampai di bumi Makkah, kita lucutkan segala ego hati, lalu tunduk kepada perintah Allah SWT dengan hanya berpakaian ihram yang serba putih. Alangkah indahnya pengajaran diberikan Allah SWT bahawa manusia di sisi-Nya adalah sama taraf, yang membezakan mereka adalah kualiti iman dan takwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu, (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (Surah An-Najm, ayat 32)
Pesanan Allah SWT dipatuhi seratus peratus oleh jemaah kerana tidak mahu ibadah haji yang sedang dilakukan tertolak tanpa ganjaran. Namun, sampai tahap mana kepatuhan itu? Seharusnya sebaik menjejaki tanah air, rasa patuh kepada suruhan dan larangan Allah SWT menjadi budaya hidup.

Jika seluruh jemaah yang berada di bumi Makkah mampu menghayati sepenuhnya hikmah di sebalik ibadah yang dilaksanakan, kita yakin tiada sebab umat Islam tidak boleh bersatu padu.

Mengapa kita boleh mendisiplinkan diri dengan segala suruhan dan larangan Allah SWT ketika berada di bumi Makkah, namun tatkala pulang kita tergamak abaikan begitu saja. Seolah-olah kita hanya ‘berlakon’ baik dan penuh patuh ketika mengerjakan ibadah haji, selepas itu tiada lagi istilah untuk patuh dan akur dengan tuntutan Allah SWT.

Bebas virus mazmumah


Haji mabrur ada petandanya dan satu daripadanya ialah perubahan sikap jemaah. Seandainya sebelum berangkat ke Tanah Suci, hati kita berserabut dan berkarat dengan sifat negatif, maka selepas sebulan di Makkah, hati sepatutnya sudah bersih daripada virus mazmumah.

Jika dulu kita jarang ke masjid untuk solat berjemaah, sekembali daripada menunaikan haji kita menjadi ‘rakan masjid’ yang akrab. Seandainya sebelum bergelar ‘tuan haji’ kita begitu sayangkan harta hingga kaku tangan untuk menderma, seharusnya sikap itu dibuang jauh-jauh.

Ibadah haji lambang penyatuan

Sebenarnya ibadah haji lambang penyatuan hati ummah dalam satu kem ibadah terbesar. Sebaik selesai menunaikan fardu haji kita harus bertindak sebagai ‘wakil Allah’ di kawasan masing-masing untuk menyatukan hati-hati ummah.

Pesanan Imam Hasan al-Bana yang dimaksudkan dengan persaudaraan adalah mengikat jalinan antara hati dan roh dengan ikatan akidah iaitu ikatan yang paling ampuh dan berharga. Ukhuwah ialah satu cabang daripada keimanan, manakala perpecahan cabang kekufuran.

Permulaan bagi kekuatan adalah dengan kekuatan kesatuan. Tidak ada kesatuan melainkan dengan wujudnya kasih sayang. Serendah-rendah kasih adalah berlapang dada terhadap saudaranya. Setinggi-tinggi kasih sayang ialah memberikan keutamaan kepada saudara kita.

Begitulah sebenarnya fenomena bersosial dipamerkan seluruh jemaah haji di Makkah. Mereka bersatu hati atas dasar akidah yang satu dengan tidak sedikitpun berselimut rasa iri dan menyala api permusuhan.

Inilah juga sebenarnya yang diperintahkan Allah SWT kepada kita untuk dibudayakan dalam kehidupan seharian, bukan setakat dalam suasana beribadah haji.

Sememangnya ibadah haji terlalu kaya dengan pengajaran kerana Allah SWT sediakan ruang hikmah yang begitu banyak untuk dihayati seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan.

Al-Azhar menara ilmu sepanjang zaman

Siti Sarah Bushari, 23 Sep 2013
Al-Azhar telah menghasilkan ribuan ulama yang terkenal selama hampir lebih seribu tahun. Saban tahun, Al-Azhar tetap menjadi pusat kepada pemeliharaan ilmu turathi dan muasoroh yang menjadi warisan Islam bahkan mengukuhkan lagi identiti agama Islam.

Pusat pengajian terkemuka dunia ini juga diiktiraf sebagai kiblat keilmuan Islam, dan gudang segala macam jenis ilmu, merangkumi pelbagai jenis dimensi sama ada hukum-hakam Islam, sosial, ekonomi dan politik.

Al-Azhar  juga menjadi  benteng keilmuan Islam, tempat para pemuda dari segenap bangsa penjuru dunia untuk menuntut ilmu.

Ketika imperialis cuba untuk meluaskan kuasa mereka ke benua Afrika, terutamanya negara Mesir, dapat disaksikan bahawa antara golongan yang berkobar melawan para imperialis ini terdiri dalam kalangan ulamak Al-Azhar.

Begitu juga dengan negara-negara luar, keadaan yang sama mereka hadapi ketika mana negara dijajah, ulamak mendominasi barisan hadapan menentang penjajahan.

Al-Azhar merupakan universiti yang tertua di dunia berbanding pusat pengajian lain. Universiti di Eropah mula didirikan pada abad kedua setelah Al-Azhar,  contohnya Paris didirikan pada abad ke-12 dan Universiti Oxford pada abad ke-13.

Namun pada awal tahun 1960-an Al-Azhar mengalami perubahan yang besar dalam penambahan fakulti baru serta bidang yang lebih meluas merangkumi aspek akademik.

Sejak itu , fakulti perubatan dan kejuruteraan telah ditubuhkan dan pelajar wanita telah mula diterima pada tahun 1962.

Mesir dan peralihan suasana politik

Sebagaimana yang diketahui umum, perhimpunan, perarakan dan demonstrasi aman di Mesir bermula pada 30 Jun yang lalu masih lagi berterusan sehingga ke hari ini dan berkemungkinan besar akan berlanjutan sehinggalah Kerajaan Sementara Mesir pada hari ini mengembalikan semula tiga tuntutan utama rakyatnya iaitu mengembalikan presiden mereka yang sah Dr.Muhammad Mursi, menarik-balik penggantungan perlembagaan yang telah dipersetujui oleh rakyat dan memulangkan semula Majlis Syura berserta peranannya.

Ekoran daripada peristiwa yang berlaku, peraturan keselamatan yang digariskan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) yang dikeluarkan perlu dipandang serius oleh seluruh pelajar yang masih berada di sini dan prihatin dengan pekeliling keselamatan yang di war-warkan oleh PMRAM selaku suara mahasiswa dan mahasiswi di Mesir.

Nasihat dan harapan Hewi PMRAM


Buat seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di bumi Anbiya, teruskan cita-cita murni untuk menggali ilmu sebanyak mungkin. Justeru, langkah ini bakal melahirkan profesional Islam yang akan sering menggegarkan dunia jahiliyyah. Antaranya contoh yang tidak asing lagi ialah Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradhawi, merupakan seorang ulamak yang berperanan dalam memastikan Islam berada di tempatnya.

Pelbagai ancaman menimpa Al- Azhar, namun keutuhan teras ilmu ini tetap teguh di persada dunia. Ianya sangat digeruni oleh pelbagai pihak. Seiring dengan itu, dalam usaha memastikan kelangsungan generasi berilmu keluaran bumi anbiya’ ini, kami barisan kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam  Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (Hewi PMRAM) 2013 sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dalam pelbagai aspek dan mendoakan agar mahasiswa dan mahasiswi yang bakal menyambung pengajian di Mesir diberikan kemudahan dan kelancaran dalam urusan menyambung pengajian ke sini. - http://pmram.org/v2/index.php

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Hewi PMRAM 2013.