Sabtu, 26 Oktober 2013

Bajet mungkir janji, ramai menyesal mengundi BN

Shahbudin Husin, 26 Okt 2013
Intipati Bajet 2014 yang dibentangkan Najib di Parlimen dirasakan paling tidak menarik kali ini. Bajet yang pada mulanya diandaikan sebagai bajet menunaikan janji kepada rakyat dan membuktikan slogan BN menang, rakyat senang setelah rakyat, terutamanya penduduk kampung dan luar bandar terus memberi sokongan kepada BN dalam pilihanraya lalu, kini sudah bertukar menjadi bajet mungkir janji.

Jika diimbas janji-janji yang ditaburkan dalam manifesto pilihanraya BN dengan intipati bajet ini, ternyata banyak janji itu tidak ditunaikan dan janji hanya tinggal janji saja.

Janji untuk memberi kesenangan kepada rakyat jelas tidak ditunaikan apabila rakyat kini bakal dibebankan dengan cukai GST sebanyak 6 peratus berkuatkuasa 2015. Subsidi gula sebanyak 34 sen setiap kilo akan dimansuhkan mulai hari ini yang menyebabkan harganya naik daripada RM2.50 sen kepada RM2.84 sen sekilogram.

Dengan kenaikan harga gula ini, pastinya akan menyebabkan harga makanan dan minuman turut naik. Restoran dan kedai makan serta peniaga kuih pasti akan menaikkan harga jualan mereka. Pemansuhan subsidi gula ini tidak dapat dielakkan akan menyebabkan beban rakyat meningkat lagi.

Lebih malang lagi, sejak Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009, beliau telah menaikkan sekurang-kurangnya lima kali kenaikan harga gula dan ini tentunya menyebabkan saudagar gula Malaysia yang juga rakan baik Najib iaitu Syed Mokhtar Albukhary bertambah lagi kembong poketnya.

Yang mendukacitakan juga, alasan Najib menaikkan harga gula ini ialah kononnya untuk mengelakkan lebih ramai rakyat mengidap kencing manis - suatu logik yang tidak jauh bezanya dengan Menteri Cap Ayam yang sebelum ini pernah mencadangkan rakyat agar jangan makan ayam berikutan harganya yang semakin mahal atau tanam sayur kerana harganya yang mahal di pasar. Tahukah Najib bahawa kencing manis bukan semata-mata disebabkan oleh pengambilan gula, banyak makanan lain termasuk nasi dan gaya hidup yang tidak aktif juga turut menyumbang kepada penyakit kencing manis.

Pelaksanaan cukai GST nyata paling merunsingkan rakyat. Kaedah cukai ini telah diluluskan sejak 2009 lagi tetapi Najib seolah-olah sengaja melaksanakannya selepas mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihanraya. Jika benar GST itu lebih baik daripada sistem cukai sedia ada, kenapa tidak dilaksanakan sebelum pilihanraya atau sebaik ia diluluskan pada 2009 dulu?

Dalam hal ini, benarlah kata Anwar bahawa bajet kali ini lebih mahu menghukum rakyat, berbanding mensejahterakan mereka. Walaupun ada beberapa pengurangan cukai, kebanyakannya hanya yang melibatkan golongan kaya manakala rakyat biasa bakal berhadapan dengan pelbagai jenis cukai dan kenaikan harga barang.

Janji yang paling ketara dimungkiri oleh Najib ialah mahu menaikkan nilai BR1M daripada RM500 kepada RM1,200 yang dibuat dalam pilihanraya lalu. Dengan wajah selamba dan seolah-olah tidak merasa berdosa kerana memungkiri janji kepada rakyat, Najib hanya mengumumkan kenaikan BR1M sebanyak RM150 sahaja kepada RM650.

Dengan kenaikan sebanyak RM150 setahun tetapi dalam masa yang sama GST dikuatkuasakan, harga gula dinaikkan yang akan menyebabkan harga makanan dan minuman turut meningkat dan jika dicampur dengan kesan kenaikan minyak sebanyak 20 sen sebelum ini, tiada lebihan apa-apa yang dinikmati oleh rakyat yang menerima BR1M itu. Bahkan duit mereka sudah pun disedut terlebih dahulu sebelum kenaikan RM150 itu diberikan.

Banyak lagi sebenarnya janji yang ditaburkan semasa kempen pilihanraya lalu yang tidak ditunaikan atau disebut dalam bajet Najib ini. Janji menaikkan baucer buku tidak ditunaikan, kenaikan BR1M untuk orang bujang tidak sebagaimana yang dijanjikan, penurunan harga kereta tidak disebut, begitu juga dengan perumahan dan aspek penjagaan kesihatan.

Pendeknya, bajet kali ini langsung tidak menggambarkan bajet menunaikan janji dan menghargai sokongan rakyat dalam pilihanraya lalu. Bukan saja rakyat yang tidak dihargai, kakitangan kerajaan juga seperti dipandang sebelah mata kerana bonus yang diberi hanya setengah bulan saja sedangkan tuntutan Cuepacs mahukan dua bulan. Dalam keadaan harga barang makin meningkat sekarang ini, apalah yang boleh dibuat dengan bonus setengah bulan atau minima RM500 itu.

Kegagalan Najib menunaikan banyak janji-janjinya dalam bajet ini menyebabkan ramai yang kecewa dan rasa menyesal kerana memberi undi kepada BN dalam pilihanraya lalu. Bukan saja kerana banyak janji yang tidak ditepati tetapi juga sumbangan mereka seolah-olah tidak dihargai.

Ramai yang berkata, jika PR yang menang dalam pilihanraya lalu, bukan saja tiada GST tetapi juga dapat menikmati penurunan harga minyak dalam tempoh 24 jam dan juga harga kereta yang lebih murah lagi.

Bajet kali ini bukan saja menyebabkan kehidupan rakyat bawahan bertambah parah menjelang bajet seterusnya pada tahun hadapan atau sshingga pilihanraya akan datang, tetapi juga akan terus berpanjangan seusia kehidupan sekiranya perubahan kerajaan tidak dijadikan kenyataan. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Mengapa PAS bantah GST?


Harakahdaily, 26 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)  untuk meningkatkan pendapatan.

“Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

“Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja,” ujarnya lagi.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan langkah baru untuk menambahkan pendapatan negara.

Ia adalah cara mengambil duit daripada rakyat melalui cukai yang dikatakan saksama sebagai pendapatan kerajaan.

Peluasan asas cukai ini mustahak untuk Malaysia, dakwa sesetengah pihak kerana hanya kira-kira 10 peratus daripada penduduk yang bekerja membayar cukai pada masa ini.

PAS tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, kerana rata-rata rakyat sedang membayar cukai tersembunyi tanpa diketahui mereka.

Umpamanya pembelian kereta, semua rakyat yang mempunyai kereta sudah dikenakan cukai.

Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian.

Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila GST diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus.

Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minimum perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal.

Jangan terlalu gembira dengan pengumumkan pelbagai barangan asas seperti tepung, gula, beras dan garam tidak dikenakan GST. Hakikatnya, apa-apa yang dihasilkan daripada tepung, gula, beras dan garam kepada makanan siap yang sampai ke tangan pengguna boleh dikenakan GST.

Perkara terpenting dalam perlaksanaan GST ialah penguatkuasaan, bab yang kerajaan BN terkenal sebagai kelemahannya.

Untuk memastikan GST berfungsi dengan baik yakni menjana pendapatan yang seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan kepada semua yang mengenakan GST perlu dilakukan secara saksama dan adil.

PAS terbayang akan berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan sengaja mengenakan GST kepada pelanggannya untuk pendapatan lebih. Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula tidak dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah.

Akhirnya, rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Akibat rasuah yang berleluasa, PAS juga terbayang banyak syarikat yang terlepas daripada hukuman atau denda kerana menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang yang dikenakan kepada rakyat awam.

Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk pelaksanaan GST, lebih-lebih lagi apabila BN masih berkuasa.

Lihatlah bagaimana kerajaan BN cuba untuk mengurangkan defisit negara. BN tidak mengurangkan perbelanjaan pengurusan, malah perbelanjaan pengurusan meningkat RM15.8 bilion, daripada RM201.9 bilion pada 2013 kepada RM217.7 bilion pada 2014 berbanding peningkatan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion daripada RM208.6 bilion pada 2013 kepada RM224.1 bilion pada 2014.

Pengurangan defisit bajet sebenarnya dicapai dengan memotong peruntukan pembangunan sebanyak RM3.2 bilion daripada RM49.7 bilion pada 2013 kepada RM46.5 bilion pada 2014.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga 2015 di mana GST bakal dilaksanakan. Ini bermakna kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan GST untuk meningkatkan pendapatan.

Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST. Pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja.