Sabtu, 17 Ogos 2013

Politik Kedah dan buku Pak Lah


Ahmad Lutfi Othman, 17 Ogs 2013
Cuti Aidilfitri lalu, saya tidak sempat beraya lebih lama di kampung halaman - Kg Raja, Tunjang, Kubang Pasu. Hanya dua hari satu malam. Agak kalut menyusun jadual. Apa pun, terubat juga kerinduan walaupun dua tiga temujanji dengan rakan-rakan lama terpaksa ditangguhkan.

Ia kunjungan pertama saya -- balik kampung -- selepas PRU13, yang menyaksikan Kedah dirampas semula BN. Sebelumnya, sehari sebelum mengundi, saya ditemani isteri meninjau rambang situasi politik sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra dan Jerlun, dalam keadaan bimbang Kedah terlepas kepada BN. Peliknya, teman-teman dalam PAS yang "berhempas-pulas" di lapangan tidak langsung berkongsi kerisauan itu. Mereka kelihatan yakin Pakatan Rakyat mampu bertahan.

Semasa menghadiri Seminar Pemikiran Ustaz Fadzil Noor, di Alor Setar, 19 Jun lalu, saya gagal untuk mencuri peluang singgah di desa kelahiran. Polemik punca kekalahan Pakatan menerajui Jelapang Padi buat penggal kedua hanya riuh di meja makan semasa seminar berhenti rehat. Pandangan lebih menjurus kepada kelemahan diri.

Saya sebenarnya lebih teruja untuk menyelami getaran rasa penyokong akar umbi berbanding analisis kepemimpinan parti. Sama-sama merasai kepedihan apabila kemenangan gagal dipertahankan. Dan tekaan saya tidak jauh tersasar; aktivis di peringkat bawah lebih senang untuk mengkoreksi diri dan bermuhasabah, tanpa menafikan sistem dan proses pilihan raya berjalan penuh ketempangan.

"Tidak mudah untuk kita bangkit semula selepas kalah ketika berkuasa," kata seorang daripadanya sambil mengharapkan bedah-siasat terperinci dilakukan secara jujur. "Kelantan memerlukan 12 tahun, itu pun hasil Angkatan Perpaduan Ummah dan Terengganu hampir 40 tahun melalui Barisan Alternatif," tambahnya. Dua tiga orang yang lain cuba meyakinkan saya bahawa kekalahan di Kedah banyak berpunca daripada masalah dalaman, termasuk perebutan menjadi calon.

Saya menyanggah dengan meminta sokongan fakta atas dakwaan mereka itu. "Kami tak mahu berdebat, tapi tengoklah sendiri apa perubahan di Kedah. Semangat ahli-ahli juga jatuh merosot, pada petang hari mengundi pos-pos kita lengang sedangkan markas BN penuh," jelas seorang jiran yang ternyata kecewa apabila masyarakat Melayu tidak dapat "dijinakkan" selama lima tahun PAS menerajui kuasa.

"Dulu hang sendiri tulis, di Kedah, PAS kalah bukan kerana pengundi Melayu tak sokong tetapi disebabkan orang bukan Melayu tetap setia dengan BN. Peratusan Cina dan India agak besar berbanding negeri-negeri Melayu, Kelantan dan Terengganu. Tapi, sekarang bila masyarakat Cina habis-habisan menyokong Pakatan, kenapa kita boleh kalah? Mengapa orang Melayu beralih undi?" sambungnya, mengharapkan jawapan.

Mulanya mahu saja berhujah terus tetapi saya memilih untuk mendengar dan mengamati keluhan mereka. Bukankah kita seringkali mengambil mudah rungutan dan suara hati mereka? Saya agak terpukul bila salah seorang mencelah: "Takkan takda langsung kelemahan dan kesalahan kita? Dulu kita minta mandat lima tahun dan pengundi sudahpun menunaikannya. Jadi, tentu ada sebab mengapa sekarang kepercayaan itu ditarik balik?"

"Betul Lutfi, pengundi terpengaruh dengan janji-janji BN, terutama untuk menaikkan kadar bayaran BR1M hingga RM1,2000, dan lain-lain bantuan," sambut rakannya yang lebih muda, "tetapi kita pun pegang kerajaan juga, sudah tentu ada kemudahan untuk lebih mendekati rakyat, turun bersama mereka, tapi bagaimana pula dengan prestasi wakil-wakil rakyat kita? Ataupun, apakah rakyat Kedah jahil tentang apa yang kita buat selama ini, jadi di mana salahnya jentera penerangan kita?"

Dan sembang-sembang malam raya ketiga itu berlarutan melewati dinihari. Semua setakat menyuarakan keresahan, meluahkan impian, tetapi tidaklah sampai menyerah kalah. Tetap optimis bahawa kemenangan boleh saja berulang asalkan segala kelemahan diperbaiki dan sistem pilihan raya yang penuh tipu daya ini segera dipulihkan.

"Macamana dengan desakan Pengerusi SPR dan timbalannya letak jawatan? Dah senyap tak berbunyi? Lagi satu, aku dengar dari jauh, masa depan Pakatan Rakyat seperti ada masalah aja?" Saya agak tersentak dengan soalan provokasi itu. Tapi rasa mengantuk amat sangat menyebabkan saya tidak terdaya untuk membalasnya. Ya, tidak semestinya setiap soalan dijawab segera, 'kan?

II.

Saya belum membaca buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia. Gagal mencarinya di toko-toko buku. Seperti orang lain, saya tertarik dengan promosi percumanya. Bagus juga. Sekurang-kurangnya masyarakat menyedari kehadiran buku yang dikendalikan dua penganalisis politik berwibawa, Dr Bridget Welsh dan Prof James Chin.

Jika tidak dikritik secara terbuka dalam media Umno, mungkin koleksi esei 620 halaman itu  sukar mendapat tempat di hati pembaca, apatah lagi di musim perayaan ini. Daya penariknya dikatakan merujuk wawancara bersama bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, terutama berkaitan jawapannya terhadap perselisihan dengan Dr Mahathir Mohamad.

Semasa giat menjelajah seluruh tanah air untuk "membelasah" Abdullah, saya sempat mengikuti empat ucapan Mahathir, termasuk di Alor Setar dan Kota Bharu. Tentulah bidasan terbuka Mahathir itu memberikan banyak ilham kepada saya tetapi -- seperti gaya lazim Mahathir -- kandungan ucapannya, terutama menyerang Khairy Jamaluddin, boleh dikira keterlaluan, emosional dan boleh dipertikai rasionalitinya.

Abdullah memilih untuk tidak menjawab. Mungkin disebabkan personalitinya yang tidak gemar berdepan kontroversi, apatah keupayaannya untuk bertembung langsung dengan Dr Mahathir agak terbatas. Saya yakin jika Abdullah juga pendebat yang baik, seperti Anwar Ibrahim misalnya, banyak argumen Dr Mahathir mudah untuk diremehkan begitu saja. Ataupun Abdullah yang masak dengan perangai Dr Mahathir tidak bersedia membazir waktu untuk melayan karenah bekas bosnya yang hanya mahu memaksa pandangan beliau kepada orang lain.

Sikap Mahathir terhadap Abdullah berubah hanya kerana pewaris takhtanya itu cuba menjarakkan diri (proses de-Mahathirisation), selain menangguhkan projek meganya dan kelihatan mempunyai caranya tersendiri untuk mentadbir negara. Abdullah bukan lagi budak yang boleh disuruh-suruh Mahathir dan ini begitu mengejutkannya.

Keterbukaan Abdullah tidak boleh dinafikan walaupun dalam masa sama ia dilihat sebagai sisi lemahnya. Kekerapan Harakah sendiri, yang dipancung penerbitannya oleh Dr Mahathir, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan selepas Pilihan Raya Umum 1999, telah dikembalikan oleh Abdullah pada pertengahan 2008. Ya, ketika BN mendapat tamparan paling hebat dalam PRU12.

Dalam buku Wacana Baru Politik Malaysia (2012), Muhammad Takiyuddin Ismail dan Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid dalam esei Umno dan Konservatisme mencatatkan: "Selain dari personalitinya yang tidak seagresif Mahathir dan gemar menggunakan pendekatan lunak, beliau (Abdullah) berikrar untuk bersikap lebih mendengar, membawa tenaga-tenaga muda sebagai penasihatnya, melakukan liberalisasi ekonomi, melakukan pertautan dengan masyarakat sivil dan golongan proreformasi, melancarkan agenda integriti dan pembanterasan rasuah, membuka lebih banyak ruang kebebasan dan memperbaiki tadbir urus demokratik."

Beberapa perubahan yang ingin diusahakan Abdullah, seperti mengurangkan projek mega menerima rasa tidak senang daripada elit ekonomi dan juga perwakilan dalam Umno. Pembebasan Anwar juga menerima reaksi negatif daripada Umno sendiri. Reformasi institusi terpenting iaitu Suruhanjaya Bebas dan Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak dapat dilaksanakan ekoran tentangan pasukan polis dan Umno.

Dua badan lain yang ditubuhkan -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC) terpaksa dilaksanakan dalam versi yang dilembutkan berikutan tentangan Umno. Permohonan terhadap badan kehakiman (ekoran kes pemecatan Tun Salleh Abas dan Hakim Mahkamah Agung, 1988) juga ditolak oleh kabinet.

Namun begitu, Abdullah juga terperangkap dengan putaran ganas politik wang, rasuah dan kronisme. Beliau turut tenggelam dengan penyakit yang menimpa elit penguasa walaupun ada usaha untuk melakukan pembaharuan.

Dalam Umno, Abdullah dilihat bukan seorang strategis yang taktikal-licik dan kesalahan terbesarnya ialah membubarkan Parlimen sewaktu terlalu banyak isu kritikal yang mencengkam rakyat belum diselesaikan. Lagi pula Umno merasakan mereka lebih memerlukan pemimpin yang mempunyai watak keras, seperti Mahathir, bukannya bersikap lunak dan terbuka kepada pembangkang.

Kita menunggu episod seterusnya, terutama reaksi Dr Mahathir terhadap Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia dan bagaimana pula respons Najib Razak yang dianggap budak suruhannya. Selama ini faktor Abdullah bagai sudah dilupakan; mampukah kontroversi buku ini menimbulkan gelombang baru dalam Umno atau pun riak kecil di permukaan akan mudah hilang?