Sabtu, 25 Januari 2014

Jumaat, 24 Januari 2014

Cinta Nabi, saranan al-Quran yang ditinggalkan

Dewasa ini ramai yang membicarakan topik ‘Cinta Nabi’. Satu perkembangan baik yang berlaku di kalangan umat Islam. Cuma terkadang, kita tercari-cari metodologi yang tepat bagaimana menyintai Rasulullah SAW. Sehingga kita terlupa al-Quran telah membicarakan soal ini secara jelas dan langsung.

Manhaj Al-Quran

Di dalam surah ali-Imran, Allah Taala telah menyatakan kriteria golongan yang layak bersama dengan Rasulullah SAW;

“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar.” (Ali-Imran:146)

Secara jelas Allah menyatakan sifat utama pencinta-pencinta Nabi SAW seperti berikut :

i.Al-Quran telah menggazetkan bahawa golongan yang layak bersama dengan Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang sangat sensitif terhadap maruah Islam. Mereka tidak akan membiarkan Nabi SAW berjihad seorang diri, sedangkan mereka duduk sebagai pemerhati. Sebaliknya mereka ada rasa tanggungjawab terhadap cinta Nabi SAW sebagaimana ikrar para sahabat, "Pergilah Engkau SAW bersama Tuhanmu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganmu turun berjuang."

ii.Mereka mestilah di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih berjuang menegakkan agama Allah. Kembali kepada tugas asal manusia sebagai khalifah iaitu ‘Mendirikan Islam, Memelihara Islam dan Mentadbir Dunia Dengan Islam’.

iii.Jatidiri mereka gagah perkasa, kalis tekanan. Apabila mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai jihad perjuangan Islam, mereka bersedia berhadapan dengan risiko serta bersungguh-sungguh menongkah arus kejahilan manusia. Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi SAW tidak sudi mengaku sebagai ummatnya (maksudnya), “Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka” HR Tabarani.

Bahkan di dalam Ayat 142 sebelumnya, Allah SWT mencabar pendukung-pendukung agama Nabi SAW agar jangan mudah perasan masuk syurga selagi mana tidak berjihad. Ingatan itu disertakan isyarat dari Allah bahawa pencinta-pencinta Nabi SAW mestilah meletakkan misi mati syahid sebagai cita-cita yang tertinggi di dalam ayat 143.

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” (Ali Imran:142)

“Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Ali Imran:143)

Golongan pencinta Nabi SAW mempunyai daya tahan yang kuat. Sedikit pun tidak menyerahkan kalah berhadapan dengan musuh. Dalam konteks realiti Malaysia sekarang yang ujiannya adalah perang pemikiran, mereka mestilah tidak menyerahkan kepercayaan  mereka kepada ideologi-ideologi lain selain Islam.

Cinta Nabi SAW Gaya Sahabat

Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi SAW. Hal ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh dari air tangan Nabi SAW. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi SAW dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu dari Baginda SAW.

Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah SAW adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda SAW, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad SAW, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda SAW. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Sham bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah SAW.

Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi SAW. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi SAW. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya  misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi SAW.

Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah SAW sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi SAW dengan penegasannya, “Demi Allah, aku benci bersama bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah SAW ditinggalkan diseksa oleh kamu semua...” al-Bukhari

Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi SAW adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda SAW.

Muhasabah

Berdasarkan potongan ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 142 hingga 146, kita perlu meneliti dengan penuh insaf di mana kita. Bahkan kita perlu tanya pada diri kita sepanjang kempen Cinta Nabi SAW, adakah kita telah menjalankan beberapa kempen berikut:

i.Syurga tidak diperoleh semata-mata dengan memuja memuji Nabi SAW sahaja. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat.
ii.Umat Nabi SAW mesti bercita-cita untuk mati syahid sebagai tanda benar-benar cinta kepada Nabi SAW. Barulah cita-cita tersebut memotivasi umat Baginda SAW supaya gagah mendepani cabaran mendatang.
iii.Tidak ada guna jika setelah kewafatan Nabi SAW, kita hanya merintih dan mengadu nasib bersedih akan pemergian Baginda SAW sedangkan tugas-tugas Baginda SAW kita tinggalkan. Lihat di dalam al-Quran, Allah menegur umat Islam agar jangan berpaling meninggalkan kerja Nabi SAW setelah kewafatannya. Begitu juga Bilal, bukti rindu dan cinta beliau adalah dengan jihad. Ingat, umat Islam sifatnya membina dan maju. Bukan statik dan mandom.

Sekiranya tidak dijumpai kempen-kempen tersebut sepanjang menyambut program Maulid al-Rasul atau seumpamanya, maka sedarlah bahawasanya kita masih gagal memenuhi piawaian Allah SWT dalam menyintai Rasulullah SAW dalam erti kata yang sebenar. Apakah cukup dengan mengingati tanpa melaksana? Cinta adalah tanggungjawab.

Sayangnya Najib membaiki labu



TIDAK pasti berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang percaya tentang apa juga penjelasan Perdana Menteri Najib Razak mengenai apa jua perkara.  Beberapa hari lalu, dengan wajah selamba yang sudah hilang seri dan komersialnya, Najib muncul di perhimpunan bulanan kakitangan Kementerian Kewangan.
      
Bercakap kepada kakitangan kementerian berkenaan seolah-olah bercakap kepada seluruh negara, Najib tidak ketinggalan menyelitkan perihal ejekan dan cemuhan ‘kangkung’ yang diterimanya dari rakyat Malaysia pelbagai lapisan.  Namun, seseorang boleh membayangkan berapa ramai percaya atau yakin dengan penjelasan beliau.
  
Untuk menekankan kononnya beliau sememangnya faham konsep penawaran dan bekalan dalam pengurusan ekonomi makro (ekononi negara), menurut Najib  tujuan beliau (dibaca, menarik dan mengurangkan subsidi; membiarkan kenaikan barangan dan perkhidmatan tanpa apa juga bentuk mekanisme kawalan; membiarkan matawang ringgit berada pada paras terendah di tukaran wang asing akibat simpanan luar yang terlalu berlebihan, iaitu bernilai sembilan bulan import tertahan berbanding tiga bulan import tertahan sebagaimana diamalkan oleh kebanyakan negara termasuk negara kaya dan maju; membiarkan hutang negara menghampiri had dibenarkan undang-undang sehingga pengkadaran kredit antarabangsa mengalami penurunan gred; dan macam-macam lagi), "bukan untuk membebankan rakyat,  tetapi mencapai lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi yang tidak mungkin berjaya tanpa lonjakan ekonomi."

obses perkataan
  
Tidak dapat dinafikan kebanyakan ahli politik Umno terkena penyakit ‘obses perkataan’ apabila menjadi pemimpin dan apatah lagi apabila menduduki jawatan kerajaan.  Perkataan kegemaran Najib ialah ‘transformasi’.  Sikit-sikit transformasi seolah-olah dengan jentik jari eknomi Malaysia boleh menjalani proses perubahan struktur semalaman.
  
Tujuannya sudah tentulah bagi menceritakan kepada rakyat Malaysia dan dunia, dia tahu apa yang dilakukannya dan dia memiliki resepi yang tidak ada pada sesiapapun termasuk pakar ekonomi terulung sekalipun.
  
Kini Najib bercakap tentang ‘lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi’.  Apakah Najib secara serius yakin, Malaysia akan menjadi negara maju dan rakyatnya akan berpendapatan tinggi’ hanya dengan satu ‘lonjakan’?  Apakah usaha menyusun semula struktur ekonomi sesebuah negara seperti melonjakkan diri untuk melangkah longkang?
  
Barangkali filem Hollywood ‘The Transformer’ memberikan inspirasi untuk Najib menggunakan perkataan ‘transformasi’.  Kepada minda Najib jika sebuah robot boleh ditukarkan sekelip mata menjadi sebuah trak gempur, maka perihal sama boleh digunakan untuk meyakinkan rakyat Malaysia.
  
Justeru jika adapun sesuatu yang menyerlah tentang Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ialah betapa beliau gemar mencipta atau memperkenalkan istilah baru yang bunyinya cukup ‘bombastik’ kepada rakyat kampung dan mereka yang kurang faham tentang ekonomi.
  
Kini perkataan ‘lonjakan’ kian menjadi perkataan ‘favourite’ Najib.  Walaupun tidaklah sebombastik ‘transformasi’ namun ia memberikan semacam ‘ummph’ kepada resipi ekonomi di awang-awangan beliau.

bukan sekadar lonjakan
  
Begitupun, setiap pakar ekonomi arif betapa untuk menjadikan sebuah negara miskin atau membangun kepada sebuah negara maju bukanlah boleh dibuat dengan hanya sekadar  lonjakan.  Malah jika terdapat usaha gigih ke arah lonjakan sekalipun, ia akan membawa padah.
  
Contoh paling jelas adalah apabila China ketika dipimpin oleh Mao Zedong (yang tak arif tentang ekonomi) melancarkan kempen ‘Lonjakan Besar Kehadapan’ (The Great Leap Forward) di antara 1958 sehingga 1961 bagi mentransformasikan negara tersebut dari berasaskan ekonomi tani kepada ekonomi berasaskan industri.

Akhirnya bukan sahaja kempen tersebut gagal, ‘lonjakan’ yang cuba dipaksakan oleh Mao ke atas rakyatnya mengakibatkan malapetaka berskala besar dalam apa yang dinamakan sebagai  ‘Great Chinese Famine’ (Kebuluran Besar China) dan mengakibatkan sebanyak di antara 18 hingga 45 juta nyawa rakyat terkorban.

Sejarahwan terkemuka Belanda Frank Dikotter dalam bukunya, Mao’s Great Famine merumuskan Lonjakan Besar Kehadapan China bukan menghasilkan motivasi ekonomi tetapi sebaliknya "memotivasikan satu daripada penyembelihan beramai-ramai manusia terbesar dalam sejarah manusia".
  
Lonjakan tajaan Najib bagi mentransformasikan ekonomi Malaysia belum sampai ke peringkat  sebagaimana dialami dalam The Great Chinese Famine.  Tetapi  dengan kadar inflasi pasca-bajet meningkat pada angka 3.2 peratus Disember lalu (sebagaimana dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan) berbanding 1.2 peratus setahun lalu; kenaikan harga minyak sebanyak 10 peratus; tarif elektrik 15 peratus; pelbagai barangan dan perkhidmatan pelbagai peratus.

Matawang ringgit yang terus melemah dengan penurunan 1.5 peratus lagi sejak awal tahun; dan cukai GST serta kenaikan tol lebuhraya yang bakal dikuatkuasakan; dan macam-macam lagi, tidak mustahil Malaysia dan rakyatnya sedang bergerak deras ke arah mala petaka ekonomi.
  
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.”
  
Dalam sebutan masyarakat Melayu pula:  "Bagai tikus membaiki labu."   

Ahad, 19 Januari 2014

Selepas Najib dikangkungkan, barulah menteri sibuk ke pasar

KUALA LUMPUR: Hanya setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikangkungkan barulah bberapa pemimpin sedar bahawa kenaikan harga barang dan beban kos sara hidup yang kian meningkat adalah rungutan hampir keseluruhan rakyat yang berpendapatan rendah serta sederhana.

“Hanya setelah dikangkungkan juga, barulah Najib dan semua menteri kabinet faham suara kemarahan rakyat,” tulis blogger Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, jika tidak kerana episod kangkung Najib, sudah tentu semua menteri masih lena diulit mimpi dan bercakap dalam mempertahankan kenaikan harga barang.

Baginya, langsung tidak menampakkan mereka itu menyebelahi rakyat sedangkan ketika memerlukan undi dan sokongan, rakyatlah yang sering dipuji dan diberi sanjungan.

“Kepada penggiat media sosial yang mencetuskan idea mengangkungkan Najib sehingga ia menjadi fenomena antarabangsa dan kemudian menyedarkan pimpinan kerajaan daripada lena dek khayal air ketum, rakyat tentunya amat terhutang budi kepada mereka itu,” tulisnya lagi.

Bagi beliau, tanpa mereka dan jika Najib tidak dikangkungkan, tidak pernah Muhyiddin melakukan empat lawatan hanya dalam satu pagi.

Baca di sini

Percikan api perkauman dalam isu kenaikan harga barang


Foto darisungaiderhaka@blogspot.com
ISU kenaikan harga barang yang mendominasi politik negara ekoran kenaikan harga minyak dan kos-kos pengeluaran memasuki episod hodoh apabila cuba dijadikan isu perkauman oleh parti-parti kerabat BN khususnya Umno.

Dimulai dengan kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang ‘sedih’ melihat anak-anak muda Melayu ‘diperalatkan pembangkang’ dalam Himpunan Turun malam 31 Disember lalu, terbaru Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menyelar sikap 'orang tengah' yang cuba mengambil kesempatan memburukkan kerajaan dengan menaikkan harga barang.

Bagi Keng Liang, demonstran Himpunan Turun didominasi anak-anak muda Melayu sedangkan anak-anak muda Cina dan India bergembira menyambut tahun baru di pawagam, pasar raya dan lain-lain tempat.

Tengku Adnan pula mendakwa 'orang tengah' cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan BN dengan kaedah menaikkan harga barang yang jelas akan membebankan rakyat.

"Kita sedar banyak orang tengah ini lebih menyokong pembangkang. Apa yang dilakukan adalah buat satu kaedah supaya rakyat benci kepada BN. Ini tidak adil. Kenapa hendak buat cara ini," kata beliau kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul bersama komuniti masyarakat Acheh Malaysia di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur, 18 Januari lalu.
Keng Liang pula menulis secara berurutan dalam twitternya yang antara lain menyebut: “selalu dlm demo jalan yg kena tangkap majority kaum Melayu. Kenapa adik2 perlu diperguna? Pernah Nampak adik2 kaum Cina? Fikirlah masa depan…”
Strategi meniup sentimen kaum dan agama dalam apa juga isu membabitkan politik negara memang menjadi senjata utama Umno, MCA dan Gerakan.
Tidak kiralah sama ada isu yang dibincangkan itu benar-benar menyentuh sentimen agama dan kaum seperti isu kalimah Allah dan pembinaan rumah ibadah, sentimen kaum dan agama juga cuba sedaya upaya dikaitkan para pemimpin BN dengan isu-isu kepentingan bersama yang melewati fahaman agama dan kaum seperti rasuah, penyelewengan, pemborosan dan kenaikan harga barang.
Apa yang gagal difahami pemimpin BN khususnya Keng Liang, isu-isu kepentingan bersama tidak lagi menarik minat hanya sebahagian segmen masyarakat; malah kesedaran umum berhubung isu rasuah, kronisme, penyelewengan, pemborosan dan terkini, kenaikan harga barang telah melewati batas bangsa, agama dan pegangan politik.
Sehubungan itulah kita dapat melihat bagaimana perhimpunan Bersih 3.0 di Stadium Merdeka dan beberapa siri perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya sejurus berakhirnya pilihan raya umum ke-13 dihadiri rakyat pelbagai kaum dan agama dan tidak hanya disambut oleh rakyat daripada kelompok bangsa tertentu sahaja.
Kempen membantah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dimulakan dengan Himpunan Turun di Dataran Merdeka, yang dihangatkan pula dengan isu kangkung oleh Perdana Menteri, turut menarik perhatian rakyat pelbagai kaum. Hinggakan pemimpin Umno Pulau Pinang cuba menangguk di air keruh dengan mengadakan perhimpunan mengecam DAP ekoran flashmob membantah kenaikan harga barang yang diadakan masyarakat Tionghoa di Machang Bubuk.  
Bagi Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, janganlah cuba bermain api dengan menyalahkan ‘orang tengah’ dalam krisis kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat. Beliau perlu menyedari bahawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kini adalah hasil daripada keputusan kabinet menaikkan harga petrol dan diesel atas premis ‘rasionalisasi subsidi’. Siapakah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan majoriti anggota kabinet jika bukan orang Melayu?
Siapakah juga peneraju syarikat tenaga elektrik negara – Tenaga Nasional yang menaikkan tarif elektrik jika bukannya Melayu? Siapakah pemilik syarikat konsesi tol di negara ini yang diberi lampu hijau menaikkan kadar tol di lebuhraya jika bukannya orang Melayu? Dan siapakah juga tauke korporat yang menguasai industri gula, beras dan tepung negara jika bukan seorang Melayu?
Paling tidak pun beliau harus mengakui bahawa kelompok saudagar yang menguasai urusan peruncitan di negara ini kebanyakan terdiri daripada penyokong dan pendokong MCA dan bukannya DAP. Malah MCA sendiri dianggotai para saaudagar dan tauke Tionghoa yang rapat dengan pemimpin Umno dan bukannya PAS ataupun PKR.
Tidak payahlah Tengku Adnan cuba menyeret sentimen kaum dan agama dalam isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Lebih elok bagi beliau mencontohi Timbalan Perdana Menteri yang mula belajar turun padang ke premis perniagaan bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi harga barang keperluan harian dan mendengar keluhan rakyat. 

Islam itu adil


1. Antara prinsip Islam ialah adil kepada semua. Bukan sahaja kepada ummat manusia bahkan termasuk tumbuh - tumbuhan dan binatang. Ia menepati konsep Rahmatan Lil A'lamin ( Rahmat kepada sekelian Alam ). Adil di dalam Islam bukan suatu pilihan malah ia adalah satu kewajipan. Sebagaimana zalim itu diharamkan oleh Allah swt, demikianlah Adil itu diwajibkan oleh Allah swt. Sabda Rasulullah saw sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.huma

مَنْ أَعانَ على خُصُوْمَةٍ بِظُلْمٍ أو يُعِينُ على ظُلمٍ لَمْ يَزَلْ في سَخَطِ اللهِ حتَّى يَنْزِعَ

"Sesiapa yang membantu persengketaan dengan cara zalim atau membantu kezaliman, maka ia senantiasa berada di bawah kemurkaan Allah swt sehinggalah dia meninggalkan perbuatan itu dan bertaubat. (Riwayat Ibnu Majah)

Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah Al Maidah: Ayat 8)

2. Setiap kita mestilah berlaku adil justeru itulah yang diajar oleh Islam, khasnya pemimpin. Tanggungjawab seorang pemimpin ialah memegang amanah dan urusan rakyat atau orang dipimpin oleh mereka. Maka adil adalah syarat utama menjadikan ia seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan di redhai oleh Allah swt. Sabda Rasulullah saw dari Abi Hurairah Rha.

((سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ)).ـ

“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya kelak :

Pertama: Imam (pemimpin) yang adil.

Kedua: Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

Ketiga: Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.

Keempat: Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kelima: Insan yang di ajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata: ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’

Keenam: Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

Ketujuh: Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Adil bagi pihak rakyat pula ialah mentaati pemimpin yang adil dan bertaqwa serta bersedia menasihati andainya mereka menyeleweng dari amanah dan menindas rakyat yang dipimpin oleh mereka. Mengampu atau menyembunyikan kezaliman pemerintah juga satu kezaliman apatah lagi cenderung untuk bersama dengan kezaliman yang dilakukan. Firman Allah swt :

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (Surah Hud: Ayat 113)

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat

Rabu, 15 Januari 2014

100 sunnah Nabi s.a.w. dalam kehidupan




 

 
http://freeislamiccalligraphy.com/wp-content/uploads/2013/05/Muhammad-2-940x1005.jpg
Buatlah pilihan yang mana satu dari 100 nie jika hendak buat semua pun tak ada halangan dipersilakan...
1-Tidur Dalam Keadaan Berwuduk
2- Baca surah Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas Sebelum Tidur
3- Takbir dan Tasbih Ketika Tidur
4- Berdoa Ketika Terbangun Dari Tidur Waktu Malam
5-Doa ketika Bangun Daripada Tidur
6- Berkumur dan Menghisap Air Ke Dalam Hidung Dari Satu Cedukan Sebelah Tangan
7- Berwuduk Sebelum Mandi
8-Baca Doa Selepas Wuduk
9-Jimat Penggunaan Air
10- Selepas Wuduk Sembahyang Dua Rakaat

11-Menjawab Seruan Azan
12- Banyak Bersugi
13- Ke Masjid Awal
14- Pergi Ke Masjid Berjalan Kaki
15- Hadir Sembahyang Dengan Tenang
16- Doa Ketika Masuk Dan Keluar Masjid
17- Sembahyang Berhadang
18- Duduk Atas Dua Tumit Yang Didirikan Ketika Duduk Antara Dua Sujud
19-Duduk Atas Lantai Dengan Mendirikan Kaki Kanan Ketika Duduk Tahyat Akhir
20- Banyakkan Berdoa Setelah Tahyat Akhir Dan Sebelum Beri Salam
21- Melakukan Sembahyang Sunat Rawatib
22- Sembahyang Dhuha
23-Qiyamullail
24- Sembahyang Witir
25- Sembahyang Dengan Beralas Kaki
26- Sembahyang Di Masjid Quba’
27- Sembahyang Sunat Di Rumah
28-Sembahyang Istikharah
29-Duduk Di Tempat Sembahyang Selepas Sembahyang Subuh Hingga Terbit Matahari
30- Mandi Hari Jumaat
31- Hadir Awal Untuk Sembahyang Jummat
32- Mencari Masa Mustajab Doa Hari Jumaat
33- Pergi Dan Balik Sembahyang Raya Dengan Jalan Berbeza
34- Sembahyang Jenazah
35- Ziarah Kubur-kubur
36- Sahur (Puasa)
37- Segera Berbuka Puasa
38-Menghidupkan Ramadhan
39- Iktikaf Pada Bulan Ramadhan
40- Puasa Sunat Enam Hari Dalam Bulan Syawal
41- Puasa Tiga Hari Setiap Bulan
42- Puasa Hari Arafah
43- Puasa Hari Asyura
44- Pilih Seorang Ketua (Musafir)
45- Takbir Ketika Melalui Tempat Tinggi Dan Tasbih Ketika Menuruni Tempat Rendah
46- Doa Ketika Singgah Sesuatu Tempat
47- Terlebih Dahulu Ke Masjid Apabila Balik Dari Musafir
48- Doa Ketika Pakai Baju Baru
49- Mula Dengan Kaki Kanan Apabila Pakai Alas Kaki
50- Baca Bismillah Ketika Makan
51- Ucap Al-Hamdulillah selepas Makan
52- Minum Dalam Keadaan Duduk
53-Berkumur Dengan Susu
54- Tidak Mencela Makan
55- Makan Dengan Tiga Jari Tangan Dan Menjilat Jari Itu Apa Bila Selesai Makan
56- Minum Dan Berubat Dengan Air Zam-Zam
57- Sarapan Terlebih Dahulu Sebelum Pergi Sembahyang Raya Fitri
58- Banyak Membaca Al-Quran
59- Baca Al-Quran Dengan Suara Yang Bagus
60- Zikir Kepada Allah Setiap Ketika
61- Bertasbih
62- Mendoakan Orang Yang Bersin
63- Doa Untuk Pesakit
64- Meletak Tangan Pada Tempat Sakit Serta Doa
65-Berdoa Ketika Mendengar Ayam Berkokok
66-Berdoa Ketika Hujan Turun
67- Baca Zikir Ketika Masuk Rumah
68-Baca Zikir Dalam Majlis
69- Berdoa Ketika Hendak Masuk Tandas
70- Berdoa Ketika Angin Bertiup
71- Doa Untuk Muslimin Yang Tidak Bersama
72- Berdoa Ketika Mendapat Musibah
73- Menyebarkan Salam
74- Menuntut Ilmu
75- Meminta Izin sebelum Masuk Tiga Kali
76- Tahnik Mulut Anak Yang Baru Lahir
77- Akikahkan Anak
78- Singkap Sebahagian Badan Agar Kena Hujan
79- Melawat Pesakit
80- Senyum
81- Ziarah-Menziarahi Kerana Allah
82- Nyatakan Kecintaan Apabila Cinta Terhadap Seseorang
83- Tutup Mulut Apabila Menguap
84- Sangka Baik Terhadap Manusia
85-Membantu Keluarga Dalam Kerja Rumah
86- Sunnah Fitrah
87- Menjaga Anak Yatim
88- Menjauhi Marah
89- Menangis Kerana Takut Terhadap Allah
90-Bersedakah Jariah
91- Membina Masjid
92-Telorensi Ketika Berjualbeli
93- Menghilang Gangguan Jalan
94-Sedekah
95- Banyak Melakukan Amal Sholeh Pada 10 Zulhijjah
96- Membunuh Cicak
97- Larangan Mencerita Dari Semua Perkara Yang Didengari
98- Memberi Nafkah Keluarga
99- Lari-lari Anak Semasa Tawaf
100- Beramal Sholeh Berterusan Walaupun Sedikit
Antara 100 di atas.. cuba kira berapa yg kita amalkan secara istiqamah.. than boleh bg % KPI kita tahun ini..

Sabtu, 11 Januari 2014

ALLAH adalah TUHAN segala mahkluk baik dilangit mahupun dibumi

ALLAH adalah TUHAN segala mahkluk baik dilangit mahupun dibumi...tidak ada hadis atau ayat AL_QURAN yg mengatakan ALLAH hanya untuk org ISLAM...siapa yg telah mencipta kita semua(manusia) dan sekelian alam ini?....bukankah ALLAH?...atau ALLAH hanya menciptakan manusia yg beragama ISLAM sahaja?...manusia lain yg bukan beragama ISLAM bukan ciptaanNYA?...ada TUHAN lain ke selain dariNYA?..pada mereka yg menyuarakan dgn lantang bahawa ALLAH itu hanya utk org ISLAM cuba jawab dan fikirkan persoalan itu...jgn kerana terlalu ego,sombong,bongkak dan cetek pemikiran kamu semua tersesat.Buka,baca dan kaji ALQURAN dan hadis(SUNNAH) dalam2 baru bertindak...jgn terus tersesat yg sudah sesat.Saya bukan menentang atau sebaliknya tapi saya menyatakan apa yg saya fahami dan pelajari walaupun saya bukanlah alim atau pandai agama tetapi harus ingat jika kita bertanyakan anak2 kecil pun mereka boleh menjawab..ALLAH pencipta segala mahkluk,pencipta langit dan bumi...tidak ada TUHAN lain yg disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad Pesuruh dan Rasul ALLAH.Jadi renung2kan dan fikir2kan lah....

Isu kalimah Allah agenda politik - Aziz Bari


KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari mempersoalkan siapa sebenarnya keliru dalam isu kalimah Allah yang telah ditimbulkan sejak kebelakangan ini.

Beliau pada program wacana "Polemik Kalimah Allah dan Rampasan Bible, antara undang-undang dan sensitiviti agama" anjuran PAS Lembah Pantai semalam di KL Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) menjelaskan golongan yang keliru adalah mereka yang tidak mengetahui apa itu Islam secara mendalam.

"Saya tidak nampak siapa yang keliru dalam isu ini, penjelasan daripada penganut Kristian dan mereka yang hadir mendengar wacana tidak ada seorang pun yang keliru.

"Malah di luar sana kebanyakkan mereka boleh menerima kerana tidak ada satu pun ancaman yang timbul.

"Kalau tidak ada yang keliru, jadi mereka yang memperbesarkan isu ini sebenarnya keliru. Kalau golongan yang faham sebenarnya erti Islam tidak timbul perasaan keliru tetapi jika sebaliknya inilah yang terjadi," jelas beliau di hadapan kira-kira 200 yang hadir.

Beliau yang turut mempertikaikan pandangan sesetengah pihak mengatakan wujud ancaman kepada umat Islam di negara ini apabila kalimah Allah diguna oleh masyarakat Kristian.

Katanya, masyarakat Islam merupakan golongan majoriti di negara ini dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, adalah suatu yang mustahil jika golongan Kristian yang minoriti mampu mengancam keamanan negara ini.

"Wujud ancaman, saya tidak nampak langsung ancaman kepada umat Islam di negara ini. Kita berada dalam kelompok majoriti dan bagaimana golongan minoriti dapat mengancam kita.

"Semua kenyataan tersebut tidak boleh diterima akal, negara mempunyai undang-undang dan kita berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama rasmi, jadi bagaimana Kristian boleh timbulkan ancaman.

"Saya tegaskan Perlembagaan yang ada tidak pernah gagal dalam pelaksanaannya, tetapi yang gagal adalah kita yang tidak dapat memahami roh dalam Perlembagaan tersebut termasuk juga gagalnya kita memahami apa Islam sebenarnya," sambung beliau.

Menurut beliau, isu yang telah ditimbulkan ini telah memberikan publisiti negatif kepada negara di peringkat antarabangsa kerana gagal mewujudkan suasana hormat menghormati antara pelbagai kaum dan anutan agama.

Malah jelasnya lagi, isu tersebut sengaja disebarkan bagi tujuan keuntungan kepada pihak tertentu sahaja.

"Negara ini telah mendapat publisiti negatif secara percuma kerana kita gagal mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati antara pelbagai kaum dan agama.

"Agenda ini hanya untuk keuntungan kepada pihak tertentu sahaja, yang bertujuan untuk kepentingan politik serta mengalihkan isu yang lebih penting seperti bebanan hidup yang dihadapi oleh rakyat.

"Sebelum ini isu 13 Mei dihangatkan bagi menakutkan orang Melayu terhadap kaum Cina, kemudiaan Syiah pula diperluaskan dengan menuju kepada pimpinan PAS sebagai menarik undi Melayu dan sekarang cuba menakutkan Melayu dengan Kristian, jadi agenda-agenda sedemikian kita perlu berhati-hati agar tidak termasuk dalam perangkap," jelasnya.

Beliau yang meminta agar semua pihak membuat tindakan susulan untuk merungkaikan kekeliruan dan salah faham yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk mendapat keuntungan politik semata-mata.

"Isu seperti ini memang diberi perhatian oleh masyarakat Melayu dan saya berharap usaha yang bersungguh-sungguh perlu dibuatkan bagi memberi penjelasan kepada orang Melayu agar mereka lebih faham dan tidak termakan dengan komen atau pandangan sempit serta negatif yang tidak selaras dengan masyarakat majmuk negara ini.

"Sebagai umat Islam yang sepatutnya menegakkan yang makruf dan menegahkan yang mungkar, sepatutnya mereka perlu hayati konsep Islam itu yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebelum ini untuk kesejahteraan seluruh masyarakat dunia dan bukan untuk golongan tertentu sahaja," sambung beliau.

Beliau yang pada masa yang sama turut memberitahu apa yang diperkatakan bukan bermaksud menentang keputusan istana tetapi bagi meredakan kekeliruan yang wujud dalam masyarakat negara ini terutamanya golongan Melayu.

Turut menjadi panel pada wacana semalam adalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta Setiausaha Agung National Evangelical Christian Fellowship Malaysia (MECF), Eugene Yapp.

Kami mahu SPPBS dimansuhkan

Sejak diperkenalkan tiga tahun yang lalu, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menimbulkan pelbagai polemik terutamanya dalam kalangan guru. Hal ini kerana merekalah pihak yang paling terbeban dengan pelaksanaan sistem ini.

Sehingga kini masih banyak perkara yang berbangkit dan tidak selesai. Malah suara dan pandangan para sering ditolak ke tepi dan setiap kelemahan sistem ini tidak diselesaikan dengan sewajarnya.

Oleh itu, ada 10 sebab UTAMA Mengapa PBS jadi dasar caca-marba dan WAJIB DIMANSUHKAN:

PERTAMA:
Arahan berbeza antara KPM, JPN, PPD dan sekolah dan guru. Masalah ini dihadapi tiga tahun berturut-turut tanpa ada penambahbaikkan daripada pihak KPM.
*Alasan KPM - Kecairan maklumat.

KEDUA:
Pemahaman berbeza antara JU Kebangsaan, JU Negeri, JU Sekolah dan guru-guru.
*Tiga tahun juga tiada perubahan.

KETIGA:
Penggubalan soalan berbeza antara negeri-negeri, daerah-daerah dan sekolah-sekolah.
*Terdapat pula jualan BUKU EVIDEN untuk PBS sedang ia menyalahi sistem PBS ini.

KEEMPAT:
Pelaksanaan PEPERIKSAAN DALAMAN bagi membuat penilaian kepada murid dan PBS tidak berfungsi.
*Peperiksaan awal, pertengahan dan akhir tahun tetap dijalankan.

KELIMA:
Pemarkahan yang berbeza mengikut suka hati guru tanpa ada rujukan penilaian.
Contoh: Ada guru mahu pelajar memberikan tiga contoh, manakala ada yang lain cukup satu contoh sahaja.

KEENAM:
Dalam tempoh 15 hari, KPM boleh menggubal dasar yang tiada hasil percubaannya. Tiada 'Pilot Project' atau dikenali projek perintis.
*KPM mahu jadikan murid Tingkatan 3 tahun 2014 sebagai percubaan.

KETUJUH:
Murid yang pandai akan diberi soalan susah untuk mendapat BAND 6. Murid yang kurang cerdik akan diberi soalan mudah bagi mencapai BAND 6.

KELAPAN:
Garis panduan Dokumen Standard Prestasi yang berbeza dengan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) atau dikenali sebagai SILIBUS.
*DSP kena habiskan, Silibus wajib habiskan? Pertindanan.

KESEMBILAN:
Sistem Online yang lemah dan tidak mampu diatasi TIGA TAHUN berturut-turut. Terlalu banyak eviden yang perlu dimasukkan. Tidak efektif.
Contoh: Dalam sistem peperiksaan contohnya SAPS. Hanya markah akhir sahaja perlu dimasukkan.

KESEPULUH:
SPPBS dibangunkan oleh DUA SYARIKAT berbeza dan kos yang dikeluarkan tidak berbaloi dengan perkhidmatan yang disediakan. Pembaziran sangat besar berlaku.

KESIMPULAN:
Sistem baru yang diperkenalkan oleh KPM dengan nama PPMR bagi menggantikan PMR sebenarnya adalah SISTEM BIDAN TERJUN.

Khamis, 9 Januari 2014

KELAB GREENBOC: Astaghfirullah, Rupa-rupa Ada Bukti Bergambar Yang...

KELAB GREENBOC: Astaghfirullah, Rupa-rupa Ada Bukti Bergambar Yang...: L ayakkah mereka bergelar Ketua Agama Islam?  Menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam bagi negeri...

Al-Izz bin Abdussalam, Sultan Qutuz dan GST


Kita selalu mendengar ungkapan; ulama adalah pewaris nabi-nabi. Ungkapan yang dipetik daripada hadis Nabi SAW sebagai satu simbol peranan yang mesti dimainkan oleh para ulama sepanjang zaman. Iaitu memainkan peranan nabi-nabi sebagai penegak kebenaran agama Allah di mana-mana sahaja berada. Ulama bukan sahaja dengan adanya ilmu di dada, ulama bukan sahaja dengan adanya sijil berjela-jela, ulama yang sebenar ialah mereka yang menyampaikan ilmu petunjuk Allah, beramal dan berjuang untuk menegakkan agama-Nya di tengah-tengah masyarakat termasuk berdepan dengan kerajaan pada zaman masing-masing tanpa takut celaan orang yang mencela.

Sebaik-baik contoh ulama yang patut diambil teladan ialah mereka yang telah mati di dalam perjuangan, orang yang masih hidup belum lagi diketahui kesudahannya. Di sini saya tertarik dengan kisah perjuangan seorang ulama yang terkenal lebih daripada lapan abad yang lalu beliau ialah Al-Izz bin Abdussalam. Beliau bukan sahaja seorang ulama yang alim di dalam ilmu-ilmu Islam dalam masa yang sama beramal dengan ilmunya dan berjuang untuk menegakkan uagama Allah pada zamannya.

Al-Izz bin Abdussalam ialah Abu Muhammad Izzuddin Abdul Aziz bin Abdussalam dilahirkan di Damsyik pada tahun 577 H. Beliau hidup pada zaman umat Islam berada dalam keadaan lemah akibat terpesona dengan kemewahan dunia dan pertelingkahan sesama sendiri sehingga jatuhnya beberapa wilayah di tangan tentera salib. Beliau merupakan seorang ulama yang terkenal dalam pelbagai lapangan ilmu khususnya fiqh dalam mazhab Syafie. Antara karangan beliau yang masyhur ialah kitab Qawaidul al-Ahkam fi Masalihilanaam. Akan tetapi beliau lebih dikenali dengan keberanian dan ketegasannya di dalam hukum-hakam agama.

Pengaruhnya sangat kuat di dalam masyarakat; pernah berlaku, beliau telah memberikan fatwa di dalam satu khutbah yang disampaikan olehnya di Jami' Umawi yang mengharamkan penjualan senjata kepada orang-orang Kristian kerana mereka menggunakannya untuk menyerang umat Islam. Fatwanya ini tidak disenangi oleh kerajaan kerana ia perniagaan yang menguntungkan kroni-kroni di zaman itu, lalu beliau dilarang untuk memberikan khutbah. Tindakan ini menyebabkan kebangkitan rakyat berdiri di belakangnya sehingga kerajaan terpaksa melantiknya kembali sebagai pengkhutbah di masjid yang sangat terkenal itu.

Pada zamannya umat Islam bukan sahaja diuji di dalam Perang Salib bahkan juga mereka berdepan dengan keganasan tentera Tatar yang melakukan kerosakan dengan pembunuhan yang membuta tuli, merobohkan masjid-masjid dan menghancurkan kitab-kitab yang dikarang oleh ulama dengan menghumbankannya di dalam sungai Furat untuk dijadikan jambatan, sehingga airnya bertukar menjadi hitam kerana dakwat yang keluar daripadanya. Setelah kota Baghdad jatuh di tangan mereka, kota-kota Islam lain pula dijadikan sasaran.

Umat Islam berada dalam keadaan yang terumbang-ambing, yang tinggal hanya kerajaan-kerajaan Islam yang masih lagi bertahan antaranya ialah kerajaan Islam Mamalik yang dipimpin oleh sultan-sultan yang terkenal dengan pemerintahan yang zalim, lupa daratan dengan menjadikan amanah kepimpinan sebagai wasilah untuk mengumpul kekayaan, harta benda negara digunakan untuk berfoya-foya. Di antara sultan-sultan ini ialah Sultan al-Muzaffar Saifuddin Qutuz yang telah berjaya menyatukan mereka dengan menjadikan Mesir sebagai pusat pemerintahan.

Al-Izz bin Abdussalam mengajak umat Islam supaya bangkit berjihad pada jalan Allah untuk menghalang kemaraan tentera Tatar, seruannya ini disahut oleh Sultan Qutuz lalu beliau mengeluarkan arahan supaya cukai diambil daripada rakyat untuk menampung kos perbelanjaan perang. Arahannya ini disokong oleh ulama-ulama yang memberikan fatwa keharusannya di atas alasan darurat, kerana hukum asal mengambil cukai daripada rakyat adalah dilarang sama sekali. Di dalam satu majlis yang dihadiri oleh Sultan Qutuz, A-Izz bin Abdussalam menyatakan dengan tegas adalah haram sama sekali kepada kerajaan untuk mengambil cukai daripada rakyat selagi harta negara masih ada dan wajib diambil harta kekayaan daripada sultan yang ada di istana-istana dan harta menteri-menterinya dahulu sebelum diambil daripada rakyat.

Bahkan batang tubuh sultan juga mesti dijual kerana beliau ialah seorang hamba. Seorang ulama yang berada di dalam majlis itu menyingsingkan jubahnya kerana takut percikan darah Al-Izz bin Abdussalam terkena padanya jika sultan memenggal kepalanya. Beliau membawa sultan ke pasar untuk dijual tetapi tiada siapa yang mahu membelinya dan akhirnya beliau dikekalkan jawatannya sebagai sultan. Keberanian yang ditunjukkan oleh ulama ini telah menjadi inspirasi kejayaan umat Islam mengalahkan tentera Tatar di dalam peperangan Ain Jalut yang berlaku pada bulan Ramadhan. Jasa yang dilakukan oleh Al-Izz bin Abdussalam ini sehingga beliau digelar sebagai Sultan Ulama dan Penjual Sultan.

Sejarah yang lalu tidak ada bezanya dengan apa yang berlaku kepada umat Islam di zaman ini. Watak adalah sama cuma pelakonnya sahaja berbeza. Sifat tamak dan salahguna kuasa oleh golongan pemerintah wujud di sepanjang zaman.

Saya teringat kisah sejarah ini apabila melihat suasana yang berlaku di dalam negara kita pada hari ini. Setiap lapisan rakyat membicarakan soal kesempitan hidup akibat daripada kenaikan kos sara hidup yang begitu ketara. Kenaikan harga barang keperluan, tol, tariff elektrik dan GST menjadi tajuk perbualan utama. Daripada rakyat yang tinggal di kampung-kampung sehinggalah kepada golongan cendekiawan, mufti dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Himpunan TURUN oleh anak muda yang diadakan pada malam sambutan tahun baru yang lepas adalah satu bentuk luahan perasaan akibat kesempitan hidup yang berlaku. Mereka bukannya mahu menggulingkan kerajaan dengan cara yang dimomokkan oleh media walaupun kerajaan yang dipilih masih dipersoalkan oleh rakyat dari segi moralnya.

Kerajaan yang ada pada pada hari ini tidak amanah di dalam menggurus kekayaan negara. Saban tahun laporan audit negara yang dikeluarkan mendedahkan ratusan juta ketirisan dan penyelewangan harta rakyat. Adalah zalim meletakkan pelbagai bebanan bayaran, cukai, peraturan kewangan ke atas rakyat dalam masa yang sama kewangan negara diurus dengan penuh pembaziran, ketirisan dan salah guna kuasa. Pada saat rakyat diajak supaya berjimat cermat pemimpin-pemimpin negara bermewah-mewah dengan parti-parti. Jika ulama diam membisu dan hanya menjadi pak angguk biarlah anak muda bangkit untuk memberikan nasihat dan teguran kepada kerajaan.

Jikalau Al-Izz bin Abdussalam mengfatwakan supaya harta benda pemimpin negara dilelongkan untuk meringankan beban rakyat, saya tertunggu-tunggu mufti-mufti di Malaysia memberikan fatwa supaya pemimpin negara melelongkan harta benda mereka untuk meringankan beban rakyat. Bila agaknya ianya akan berlaku?

Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kenapa KPMG saran kenaikan gaji 6% awam dan swasta?

1. Apabila Pakatan Rakyat meletakkan syarat-syarat yang ketat dan tegas kepada kerajaan Najib yang mesti dipenuhi sebelum GST boleh dilaksanakan, BN dan pengkritik kami menyelar kami sebagai hanya mahu membangkang. Pakatan tak tahu mentadbir dakwanya. Akhirya ada firma audit besar yang berani bersuara. Erti dan maksudnya perlu difahami.

2. Dengan kenyataan Pengarah baru KPMG, firma audit yg antara terbesar, the Big Four itu terserlah hakikat senario yang mendatang. Sukar untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian yang tegas seperti itu kerana tentunya punya kepentingan bisnes dengan Putrajaya.

3. Namun KPMG menggesa supaya pihak awam dan swasta menaikkan gaji pekerja sebanyak 6% berdepan dengan perlaksanaan GST tahun depan, April 2015.

4. Ini tambah beliau adalah kerana kos barangan dan perkhidmatan yg semua mengalami kenaikan harga. Untuk ingatan umum, pelbagai subsidi ditarik balik bermula, sekaligus mencetuskan kenaikan 11% bahan bakar, 14% gula berserta dgn kenaikan tarif elektrik dari 15% hingga 16.9%, tol dan pengangkutan awam dan pelbagai lagi.

5. Persoalan yang tidak digarap oleh KPMG adalah bagaimana pula dengan golongan yang tidak punya gaji untuk dinaikkan. Mereka adalah rakyat yang terdiri dari golongan petani sawah, pekebun kecil, nelayan dan peniaga pasar malam dan yang mengambil upah bekerja dikampong.

6. Pendapatan mereka kekal pada takuk lama sementara kos sara hidup terus melambung. Bahkan sebaliknya ada peniaga di kalangan mereka berdepan dengan pengurangan pendapatan, apabila rakyat umumnya mengalami penguncupan kuasa membeli dengan kenaikan harga barang.

7. Inflasi diramalkan ke paras 2.9% tahun 2014 sehingga ke paras setinggi 3.3% tahun 2015. Ramalan inflasi ke tahap Harga Pengguna (CPI) mencecah 3.3% ke 3.5% adalah ganas atau ‘vicious’.

8. Sementara pihak Eksekutif akan mendapat kenaikan gaji sebanyak 5.63% berbanding 6.31% di tahun lalu 2012 dan golongan bukan-eksekutif akan mendapat kenaikan ke 5.65% berbanding 6.7% tahun 2012.

Dapatan ini adalah dari informasi Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Perlaksanaan gaji minima sepatutnya membantu golongan pekerja sokongan dan pihak non-eksekutif diharap mendapat bonus yang lebih baik.

9. Sekali lagi golongan yang tidak terbela adalah golongan bekerja sendiri, yang akan menjadi sasaran. GST jelasnya akan memangsakan golongan berpendapatan rendah dan yang bekerja sendiri. Ini yang dimaksudkan dengan kesan "regressif" atau ‘songsang’ kerana 6% GST dari ‘pendapatan boleh berbelanja’ berpendapatan rendah ini adalah jauh lebih besar peratusya dari golongan berpendapatan tinggi.

10. Justeru kerana itu hujjah meletakkan syarat-syarat perlaksanaan GST adalah menasabah antaranya;

a. Tingkatkan dahulu pendapatan rakyat khususnya golongan rendah dan sederhana.

b. Tutup dahulu lubang2 kebocoran bagi meningkatkan pendapatan kerajaan dan kenalkan cukai-cukai seperti CGT dahulu atau..Capital Gain Tax... atau cukai untung modal seperti saham dan bon. Contoh yang dilaksanakan kerajaan sekarang ialah cukai keuntungan menjual haratnah atau  cukai RPGT.

c. Pastikan dahulu amalan tender terbuka bagi mendapatkan 'value for money'..nilai terbaik  dan elakkan amalan runding langsung dgn “harga membengkak"..atau "bloated prices".

d. Elakkan dahulu pembaziran dan projek mega infrastuktur yg didakwa pakar-pakar integriti adalah sarat dengan amalan 'kickback' , rasuah dan amalan kronisme dan selalu berakhir dengan ‘cost-overrun’ yang besar. (buku Combating Corruption, Anis Yusal et al)

Sebab itu kami tegaskan jangan memangsakan rakyat kerana untuk tangani kebejatan hutang kerajaan Pusat dan defisit fiskal dengan menarik balik subsisdi dan mengenakan cukai regressif seperti GST adalah satu langkah ‘jalan pintas’ yang tidak bertanggungjawab.

Reformasi struktural serta penambahbaikan dalam aspek tadbir-urus serta komitmen kepimpinan untuk menadayakan pelbagai polisi-polisi

Laksanakan langkah-langkah yang lebih utama dan mapan yang dicadangkan pelbagai pihak dahulu termasuk Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya KPMG, sebagai sebuah entit korporat juga tahu bahawa impak kewangan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan tambahan dengan GST adalah sangat BERAT dan PARAH kepada rakyat teramai.

Itu tidak lagi mengambil ramalan impak sosial, gejala jenayah termasuk kemalangan apabila rakyat mula membuat segala-galanya untuk menyara kehidupan keluarga dengan merubah cara hidup termasuk naik motor ke pejabat dan cari pekerjaan kedua dan ketigayang mengancam kesejahteraan hidup berkeluarga.

Apakah cukup untuk KPMG dan seangkatan dengannya sekadar membuat saranan?

* Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS merangkap AJK PAS Pusat.

Rabu, 8 Januari 2014

Mengapa PAS menentang GST?

Firman Allah:
أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:
Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba.”

Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)
Dia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (95)
"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu."  Sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." (96)

Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan di antara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khaidir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus,  sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.
sumber kewangan negara
Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep mengumpul sumber kewangan negara yang dilaksanakan dalam sistem ekonomi di peringkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa  dan inter negara-negara, Islam  menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan.

Dalam hal ini, Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan. Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing di kalangan orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa. Batas halal dan haram dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan, adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuanuntuk menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat madani.

Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan  konsep yang adil  seperti zakat  juga.

Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam rukun agama dan ibadat yangtidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam  kerana hak yang berbeza dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat dan bernegara. Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.
golongan tidak diwajibkan zakat
Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan nisob. Dimana nisob ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan pengurusan, dengandikecualikandaripada perkiraannya. Mereka yang berpendapatan tidak mencapai nisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakir dan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.

Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.

Khalifah Umar bin Al Khattab r.a. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan jizyah,kharaj dan usyur, daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan daripada pihak lain seperti paderi dan sami atau yang berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
cukai boleh dihapuskan
Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidak seperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut Islam kerana ianya dimasukkan dalam perkara ibadat sepanjang masa. Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan dengan zakat. Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi menunaikan tanggung jawab terhadap pembayar.

Contohnya Abu ‘Ubaidah (pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.Cukai juga dikurang bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya  Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan Usyur (cukai perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat di tahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.

Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh yang paling ideal kerana memerintah di zaman paling majmuk, wilayah yang luas dan mencabar. Di antara arahan mereka adalah melarang sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya. Mereka menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menunjukkan tidak berkemampuan mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.
krisis kewangan
Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak kerajaan sentiasa  menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan GST, cukai  terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah salah tafsir terhadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.

Adil mengikut takrif Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya-raya dan tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya mengambil tanggung jawab cukai tambahan.

Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukan islah(reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.

Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara aulawiyyat (keutamaan) bagi rakyat  menyebabkan keborosan dan pembaziran. Masih berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan menggagalkannya. Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan lain- lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.

Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah,dengan menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskantetapi dijadikan kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.
menyekat ketirisan
Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya. Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas. Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelintir manusia, digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat. Memayungi rakyat yang lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak, saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan dan keuntungan pihak tertentu.

Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira nisob nya, adapun GST tanpa nisob mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin, sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa. Kalau zakat mengikut haul (tahun) dan musim, maka GST setiap hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak dirampas. Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil, Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai kerana kewangannya surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.

Sabtu, 4 Januari 2014

Hari yang panjang di masa dajjal


Dari beberapa hadis dapat di jelaskan bahawa dalam masa kehidupan dajjal nantinya ada tiga hari yang panjang seperti hadis berikut ini.
"Kami bertanya kepada Rasulullah: ' Wahai Rasulullah, berapa lama dia hidup dan tinggal di muka bumi? '. Beliau bersabda: ' Selama empat puluh hari. Sehari seperti satu tahun, sehari seperti laksana satu bulan, sehari seperti satu minggu, lalu seluruh hari harinya seperti hari hari kalian'. Kami kemudian bertanya kepada Rasulullah: ' Wahai Rasulullah, sehari yang seperti satu tahun itu, apakah kita cukup solat sehari saja? '. Jawab Rasul: ' Tidak, tapi ukurlah seperti hari hari biasa '" ( HR Muslim ).
Hadis tersebut sudah sedemikian jelasnya, hanya sebahagian mereka mereka menolak hadis tersebut kerana dianggap tidak masuk akal. Dalam masa hidup dajjal yang hanya 40 hari, ada tiga hari yang panjang, ada satu hari yang panjang seperti satu tahun, ada yang seperti satu bulan dan ada yang seperti satu minggu. Panjang di sini tentu panjang yang hakiki dan bukan panjang secara kiasan, apalagi mengingkari hadis tersebut.
Jika seandainya bukan secara lahiriah yang harus difahami, maka ertinya apa pertayaan sahabat tersebut? Bahawasanya pertayaan itu lahir atas keyakinan sahabat terhadap apa yang Rasulullah katakan. Jawapan beliau membuktikan bahawa memang secara lahiriahlah yang Allah maksudkan. Jika bukan, tentunya beliau tidak akan menjawab seperti itu dan pastinya akan menjelaskan kepada mereka bahawa pemahaman mereka salah.
Lantas, bagaimana satu contoh hari yang panjang seperti satu tahun? Mengenai hal ini ada dua kemungkinan. Pertama , matahari berjalan lambat sehingga untuk mencapai titik yang sama diperlukan waktu satu tahun. Kedua, matahari berhenti berputar mengelilingi bumi hingga berputar kembali setelah masa yang dijelaskan Rasulullah. Jika kita lihat hadis-hadis sahih, maka sepertinya kita tak akan menjumpainya. Sedangkan jika dilihat dari hadis hadis yang dhaif, maka matahari berhenti berputar. Terlepas dari semua itu, yang jelas Rasulullah memerintahkan kita agar solat disesuaikan.
Begitu juga terlepas dari itu semua, apakah matahari berhenti berputar atau matahari berjalan lambat? yang jelas itu semua jauh lebih dahsyat daripada sekadar matahari terbit dari barat. Oleh kerana itulah ada beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa yang pertama kali terjadi dari sepuluh tanda kiamat besar adalah terbitnya matahari dari barat. Oleh kerana itu pula Rasulullah menjelaskan bahawa ada tiga hal yang apabila hal itu terjadi, maka tidak akan diterima orang yang baru beriman dan yang belum sempat mengusahakan kebaikan dalam masa imannya. Wallahu a'lam. 
*Diterjemahkan dari sumber islampos.com

Runtuhnya Kaabah di akhir zaman

Banyak riwayat yang menguatkan tentang akan runtuhnya Kaabah di akhir zaman. Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu bahawa Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Kaabah akan diruntuhkan oleh seorang yang berkaki bengkok berbangsa Habsyah”.

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib ra, bahawa Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Perbanyaklah melakukan thawaf di Baitullah semampu kalian sebelum kalian dihalangi untuk melakukannya, seolah-olah aku melihatnya sedang melakukan hal tersebut. Tanda-tandanya: berkepala dan bertelinga kecil, dia menghancurkan Kaabah dengan beliungnya”.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiallahu'anhu bahawa Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda, "Tandanya orang tersebut berkulit hitam, kakinya bengkok, dia meruntuhkan batu dinding Kaabah satu per satu”.

Diriwayatkan daripada Sa'id bin Sam'an ra, bahawa dia mendengar Abu Hurairah radhiallahu'anhu bercerita kepada Abu Qatadah ra, bahawa sesungguhnya Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Seorang lelaki (Imam Mahdi) akan dibai'at di antara sudut (tempat Hajar Aswad) dan Maqam Ibrahim dan Kaabah tidak akan dirosakkan kehormatannya melainkan oleh orang Arab sendiri, dan bila mereka telah merosakkan kehormatan Kaabah, maka itulah saatnya kehancuran bangsa Arab, kemudian datang orang-orang Habasyah meruntuhkan Kaabah yang selepas itu tidak pernah dibina kembali selama-lamanya dan merekalah yang menggali harta yang terpendam di dalamnya".

Hadis di atas tidak bertentangan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, bahawa Nabi shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Sebuah pasukan hendak menyerang Kaabah, hingga ketika mereka berada di sebuah padang pasir, semua pasukan ditenggelamkan Allah Subhanahu wa Ta'ala ke dalam bumi".

Ibnu Hajar dalam bukunya "Fath al-Bari" dalam bab: runtuhnya Kaabah, berkata: "Hadis-hadis di atas menjelaskan akan berlakunya serangan terhadap Kaabah. Penyerang pertama dimusnahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebelum mereka sampai ke Kaabah dan penyerangan kedua dibiarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, sepertinya penyerang yang dimusnahkan berlaku lebih awal."

Dan jangan sampai timbul pertanyaan: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menggagalkan serangan tentera bergajah terhadap Kaabah padahal saat itu Kaabah belum menjadi kiblatnya umat Islam, maka mana mungkin Allah Subhanahu wa Ta'ala membiarkan bangsa Habasyah memusnahkan setelah Kaabah menjadi kiblatnya umat Islam?

Soalan ini tidak akan muncul andai dijelaskan bahawa peristiwa runtuhnya Kaabah akan berlaku nanti di akhir zaman menjelang kiamat. Di waktu itu tidak ada seorang pun di permukaan bumi yang mengucapkan, "Allah! Allah", seperti yang disebutkan dalam sahih Muslim: "Kiamat tidak akan terjadi hingga tidak ada lagi orang yang mengucapkan, "Allah ! Allah." [ Sumber: Sejarah Kota Mekah oleh Syaikh Syaifurrahman Mubarakfury]

* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com