Ahad, 24 November 2013

KELAB GREENBOC: [VIDEO MELETUP] Mat Sabu Bercakap Dalam Bahasa Ing...

KELAB GREENBOC: [VIDEO MELETUP] Mat Sabu Bercakap Dalam Bahasa Ing...: V ideo di bawah ini telah disiarkan di dalam facebook Mat Sabu 4TP sebelum pemilihan dalam Muktamar ke-59. Ia telah masuk Youtube. GB petik ...

Selamat tinggal KPF

Seperti biasa, kisah ini tidak menjadi sesuatu yang menggemparkan – ia disenyapkan oleh media massa, atau dilagukan sebagai sesuatu yang positif kepada peneroka Felda. Tetapi bagi mereka yang terlibat secara langsung (keluarga peneroka) dan faham tentang isu yang sedang melanda, berita ini merupakan sesuatu yang amat menggerunkan.

Pada 27 Oktober lalu, mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah meluluskan usul penjualan baki 51 peratus saham Felda Holdings yang dimilikinya kepada syarikat bermasalah yang kita kenali Felda Global Ventures Holdings (FGV).

Mulanya saya tidak sedar akan perkara ini akibat terlalu sibuk dengan kerja. Saya tahu menerusi laman Facebook saudara Mazlan Aliman tentang cadangan penjualan ini dalam sebulan lepas, tetapi sangka saya ia akan ditolak dalam mesyuarat agung KPF itu nanti. Cuma hari ini apabila ditanya oleh ayah saya (seorang peneroka Felda), baru saya gali semula perkembangan proses tersebut, dan apa yang saya jumpa amat memeranjatkan.

Hanya satu perkataan boleh saya gunakan untuk menggambarkan penjualan itu – gila!

Asal-usul Felda

Terlebih dahulu mari kita secara ringkas menyusuri asal-usul penubuhan Felda. Tanah rancangan Felda dibuka bagi membantu rakyat yang tidak bertanah agar mendapat tanah pertanian untuk diusahakan (walaupun sebenarnya hanyalah pajakan 99 tahun, bukan hak milik tetap).

Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 digubal membolehkan kerajaan persekutuan membuka tanah yang asalnya di bawah kuasa kerajaan negeri dengan syarat ia kemudiannya diberi kepada rakyat. Maka orang ramai pun masuk ke kawasan-kawasan tanah rancangan ini. Mereka dipanggil peneroka Felda.

Pada era Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau telah mengubah semua ini atas dasar pensyarikatan Malaysia dan penswastaan. Tanah masih dibuka, tetapi tidak diberikan kepada rakyat. Sebaliknya ia diletakkan di bawah syarikat Felda Holdings yang ditadbir oleh Felda di bawah seliaan kerajaan persekutuan. Sebab itulah kini kita tidak lagi mendengar rancangan Felda baru didirikan walaupun begitu ramai rakyat tidak mempunyai tanah dan rumah.

Meskipun ini sebenarnya melanggar matlamat asal Akta Tanah itu sendiri, tetapi ia masih diterima dengan janji bahawa keuntungan Felda Holdings akan diagihkan kepada peneroka  (dan keluarga) dan staf Felda sedia ada menerusi pegangan saham KPF. Ada peneroka menerima saham KPF bernilai RM 10,000 dan bayaran semula dibuat beransur-ansur melalui potongan dividen saham berkenaan. Selebihnya perlu dibeli sendiri oleh peneroka sampai nilai maksimum tidak melebihi RM 200,000 bagi setiap keluarga.

Kemunculan FGV

Felda Global Ventures Holdings (FGV) ditubuhkan pada 2007 sebagai sayap Felda dalam bidang-bidang komersial. Pada Jun 2012, FGV telah disenaraikan di bursa saham Malaysia. Dengan kata lain, kini FGV dibuka untuk semua, tidak kira sama ada anda peneroka Felda, rakyat Malaysia, orang asing atau para kapitalis dari Barat atau Israel.

Pada waktu itu FGV memegang 49 peratus saham Felda Holdings, yang kini hasil dan keuntungannya bukan lagi untuk para peneroka sebagaimana asal tujuan Felda ditubuhkan, tetapi untuk para pelabur yang tidak kita kenali.

Malangnya (seperti yang dijangka), FGV tidak pergi jauh. Malah nilai sahamnya menyusut dari semasa ke semasa sehingga kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terpaksa menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli saham-saham FGV bagi mencegah harganya daripada terus merundum.

Namun itu semua belum cukup.

Felda Holdings (dan hak peneroka) dijual

Perladangan kelapa sawit adalah nadi utama Felda. Dari situ pelbagai industri berasaskan minyak sawit boleh dibuka, daripada kilang pemprosesan minyak sawit, makanan, pengangkutan bahan-bahan ini, eksport dan lain-lain. Kebanyakan syarikat yang mengendalikan bidang-bidang ini berada di bawah Felda Holdings, yang 51 peratus sahamnya dipegang oleh KPF.

Pulangan dividen KPF buat peneroka dan staf Felda pula adalah agak memberangsangkan – tidak pernah kurang daripada 10 peratus setiap tahun, malah pernah mencecah 18 peratus. Pada tahun 2013 sahaja dividen KPF ialah 16.5 peratus. Dalam istilah perniagaan, Felda Holdings bolehlah disifatkan sebagai ‘cash cow’ – sumber utama kewangan KPF.

Tiba-tiba pada 27 Oktober lalu, semua baki 51 peratus saham KPF dalam Felda Holdings dijual kepada FGV. FGV memerlukan keseluruhan Felda Holdings untuk memperkukuh kedudukannya memandangkan Felda Holdings amat menguntungkan.

Apa yang tinggal untuk peneroka Felda?

Lalu diberitakanlah bahawa wang jualan saham Felda Holdings itu akan dilaburkan KPF dalam sektor-sektor lain. Persoalannya, sektor apa yang lebih menguntungkan?

Perumpamaan mudah. Anda sudah ada sebidang tanah subur dengan hasil yang sangat banyak setiap tahun. Tiba-tiba anda hendak jual tanah itu supaya anda boleh buka kedai di bandar dalam keadaan untung ruginya belum dapat dipastikan. Dalam masa yang sama anda turut menyedari bahawa perniagaan bukanlah kemahiran anda. Sebab itu saya katakan ini kerja gila.

Kembali kepada mesyuarat agung 27 Oktober lalu. Dikatakan hampir semua perwakilan KPF meluluskan usul penjualan tersebut. Tetapi, siapakah para perwakilan KPF ini?

Di setiap tanah rancangan Felda ada koperasinya. Koperasi ini menguruskan pelbagai urusan perniagaan berkaitan peneroka, termasuk membelikan baja untuk peneroka sehinggalah menjual barangan keperluan harian. Setiap koperasi ini ada ahli lembaga pengarah dan pemimpinnya.

Dan yang datang bermesyuarat pada 27 Oktober lepas adalah pemimpin-pemimpin koperasi ini, bukannya pemegang saham KPF. Sesetengah pemimpin koperasi ini ada yang sudah pun menjual semua sahamnya dalam KPF. Manakala para peneroka yang menyimpan dalam KPF tidak tahu-menahu langsung tentang mesyuarat terbabit.

Saya ada mengenali peneroka Felda yang menabung sejak usia mudanya untuk disimpan dalam KPF sehinggalah nilai sahamnya mencecah jumlah maksimum. Saya juga ada mengenali anak-anak peneroka yang membuat pinjaman besar di bank untuk digunakan bagi melabur dalam KPF. Jika mereka ini yang hadir ke mesyuarat tersebut, adakah usul penjualan Felda Holdings diluluskan semudah itu?

Kemudian datang pula cerita tentang saguhati buat peneroka Felda atas penjualan (dan kerugian) ini. Dan telah diputuskan bayaran dibuat sama rata untuk semua peneroka, tidak kira sama ada anda telah menabung seumur hidup buat menyimpan dalam KPF atau pun anda telah mengeluarkan semua wang anda daripada KPF.

Jadi, apa yang tinggal untuk peneroka Felda? Mungkin kenangan manis bagaimana suatu masa dahulu Felda berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

Syukurlah, sekurang-kurangnya Malaysia masih aman. Dan syukurlah sekurang-kurangnya Felda bayar zakat, bukan seperti Petronas.

Johor cuti Jumaat, Sabtu


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Seri Paduka Mahkota Johor membawa gelaran Datuk kepada isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Muar, Johor semalam. - Bernama
MUAR 23 Nov. - Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari depan, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda bertitah, hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan.
"Jika kita perhatikan pada masa kini, orang lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat, waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu untuk berehat dan tidur.
"Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun dan meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa.
"Oleh yang demikian setelah meneliti banyak pandangan, saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Jan 2014," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Turut berangkat isteri baginda Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda baginda yang lain.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Johor pernah menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu sebelum tahun 1994.
"Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan sejarah juga telah menunjukkan bahawa pengembangan agama Islam di negeri ini menjadi contoh kepada negara lain," titah baginda.
Oleh yang demikian, baginda menyeru semua umat Islam di negeri ini supaya menjadikan nilai-nilai murni dan sifat terpuji orang Islam sebagai gaya hidup seharian.
Baginda turut menyarankan Majlis Agama Islam Johor supaya menyediakan pusat sumber ilmu agama secara dalam talian sebagai pusat rujukan kepada semua umat Islam bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat yang tepat hanya daripada satu sumber yang boleh dipercayai.
Pusat itu juga boleh dijadikan medium untuk masyarakat mengutarakan segala keraguan dan persoalan agar mereka boleh mendapat jawapan serta nasihat mengikut landasan agama Islam dan selari dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Johor.
Dalam perkembangan lain, baginda turut melahirkan rasa syukur kerana Johor terus berada di dalam keadaan aman, damai dan sentosa dan rakyat dapat hidup dengan sejahtera selain menikmati pembangunan ekonomi yang pesat dan seimbang.
"Pembangunan dan kemajuan ekonomi yang kita peroleh sekarang adalah hasil daripada usaha dan kerjasama erat antara pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan persekutuan.
"Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa memberikan bantuan, sokongan dan peruntukan dalam membangunkan kemudahan asas serta infrastruktur am untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini," titah baginda.
Baginda juga berharap rakyat di negeri ini akan sentiasa berusaha mengekalkan kesejahteraan hidup yang dinikmati sekarang dengan bersikap sederhana dan bersatu hati bagi mengukuhkan perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat. — BERNAMA