Kassim & pemikiran yang digerhanakan


Seminar “Kassim Ahmad: Suatu Penilaian” yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 15 dan 16 Februari 2014 bertujuan menganalisa pemikiran Kassim Ahmad dalam bidang sastera, politik dan agama secara kritikal.

Sepanjang perjalanan seminar ini, pemikiran Kassim Ahmad dalam ketiga-tiga bidang tadi mendapat pujian dan kritikan. Pada saya, pujian boleh diberikan atas cita-cita besar beliau menyeru ummah kembali kepada ajaran Al-Quran.

Dalam penulisan, beliau menekankan bahawa Al-Quran adalah kitab wahyu agung yang turun ke bumi melalui Rasulullah dalam pusingan wahyu terakhir berfungsi sebagai “huddan lil mutaqim” kepada semua aspek kehidupan masyarakat mulai daripada zaman turunnya sehingga akhir zaman.

Al-Quran, kata beliau, sekiranya ditafsir melalui metodologi saintifik boleh menghasilkan suatu fomula hidup yang mampu menyelesaikan soal keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia sejagat.

Hanya pengajaran Al-Quran berupaya menjadi alternatif kepada kegagalan kesemua sistem hidup bikinan manusia seperti sistem Liberalisme, Marxisme, nasionalisme, Nazisme, Fasisme, Stalinisisme, Maoisme dan Islamisme tradisional.

Turunnya Al-Quran ke bumi, kata beliau, berfungsi sebagai al-furqan kepada kesemua kitab-kitab Ilahi sebelumnya, hadis dan falsafah bikinan manusia. Dalam bidang politik dan perlembagaan berhubung isu masyarakat majmuk, beliau melihat formula yang wujud dalam zaman pemerintahan Rasulullah dalam “negara bangsa Madinah” yang majmuk iaitu Piagam Madinah sebagai formula penyelesaian terbaik.

Pada beliau formula ini mencerminkan sifat dan dasar inklusif Rasulullah yang luar biasa dalam menangani persoalan budaya masyarakat majmuk. Piagam Madinah juga kata beliau menunjukkan umat Islam mendahului kesemua sejarah tamadun masyarakat dunia dalam mengemukakan formula untuk anggota masyarakat majmuk hidup bersama secara adil dan saksama.

Hakikat ini dapat dilihat kepada intisari Piagam Madinah di mana wujudnya prinsip-prinsip universal iaitu prinsip keadilan, persaudaraan, perpaduan di kalangan mukmin, kesatuan negara bangsa, kebebasan beragama (hak autonomi kumpulan agama mentadbirkan urusan mereka), patuh kepada perjanjian yang dibuat antara pelbagai pihak dalam negara bangsa, menyeru ke arah kebaikan dan melarang kejahatan, memupuk dan membina ke arah peningkatan moral dan perundangan sebagai kaedah utama dalam pemerintahan.

Pada beliau hanya ummah yang memahami dan menghayati worldview Al-Quran mampu membangun sebuah tamadun yang tinggi dan universal. Tamadun demikian boleh menyelamat kehidupan manusia di bumi. Katanya lagi oleh kerana ummah kini tinggal “worldview” Al-Quran maka kehidupan ummah jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan ummah Eropah, Amerika, China, Jepun dan Korea.

Lebih menyedihkan lagi kata beliau ummah kini sentiasa menjadi mangsa konspirasi politik, ekonomi dan sosial kuasa besar dunia.
Sebaliknya pula, oleh kerana ummah dalam zaman keagungan dahulu menghayati worldview Al-Quran maka selepas 60 tahun sahaja kewafatan Rasulullah kehidupan ummah melonjak naik menjadi suatu kuasa besar dunia selepas mengalahkan empayar Rom dan Parsi.

Kerangka besar worldview beliau yang positif yang mempunyai elemen reformis ini malangnya digerhanakan pula beberapa pendiriannya yang pada saya wajib dipersoalkan dan dihujah secara ilmiah pula.

Di atas persoalan-persoalan demikianlah maka saya rasa seminar demikian wajar diadakan. Antara persoalan ini ialah sebagaimana berikut:

(1) Menolak frasa kedua dalam syahadah

Surah 63 ayat 1 yang menjadikan dalil bagi Pak Kassim Ahmad untuk menolak frasa kedua dalam syahadah pada saya boleh dipersoalkan. Kalau kita lihat kepada maksud ayat itu nyata ia merujuk kepada penolakkn Allah kepada kaum munafik yang berpura-pura menyebut frasa kedua syahadah tadi di hadapan Rasulullah. Ayat ini tidak sekali-kali menyangkal frasa kedua tadi untuk disebut dalam “dua kalimah syahadah”.

(2) Menolak Hadis sebagai sumber penting ilmu teologi dan perundangan Islam.

Juga hadis tidak berfungsi sebagai penjelas kepada Al-Quran.

Memang hadis dikumpulkan kemudian iaitu 250 tahun selepas kewafatan Rasulullah. Memang dalam kumpulan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i dan Al Musnad lil Darimin ada mengandungi hadis yang lemah dan palsu. Justeru, kita perlu kepada metodologi dan epistimologi tertentu untuk menentukan taraf dan kedudukan tiap-tiap hadis yang dikumpulkan tadi.

Memang Pak Kassim Ahmad tidak menolak semua hadis. Beliau menerima Piagam Madinah yang terkenal, perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh nabi dengan pelbagai golongan dan surat-surat yang dirakam sejarah.

Akan tetapi apabila beliau menolak hadis yang sahih berfungsi sebagai penjelas kepada maksud ayat-ayat Al-Quran maka pendirian beliau itu susah untuk diterima. Sebab pada hakikatnya Rasulullah tetap penjelas dan penyampai kepada maksud ayat Al-Quran itu sendiri (pendirian demikian tidak bercanggah dengan prinsip bahawa Al-Quran juga mentafsirkan Al-Quran). Berasaskan hujah demikian, hadis sahih tetap berfungsi sebagai sumber penting kepada ilmu teologi dan perundangan Islam.

(3) Akhirat.

Pandangan Pak Kassim bahawa akhirat ialah suatu era besar yang berlaku di bumi ini adalah suatu pandangan yang sukar untuk diterima. Pada saya alam akhirat ialah alam ghaib yang berada di atas garis di antara benda mutlaq dalam alam syahadah dengan mujarab mutlaq.

Oleh itu, alam barzakh, mashar, syurga dan neraka ialah alam ghaib yang wujud di atas garis tadi yang akan kita semua lalui selepas meninggal dunia nanti.

(4) Ulama sebagai kaum paderi

Saya juga tidak bersependapat dengan Pak Kassim apabila beliau menyatakan secara umum bahawa ulama sebagai kaum paderi. Pada saya ulama yang muncul sepanjang zaman.

Ia pada umumnya terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu ulama yang mewarisi tradisi nabi dan lama dunia.

Yang sepatut kita tolak ialah ulama dunia. Mereka selalunya tidak takut kepada Tuhan. Mereka terpesona kepada kepentingan hidup di dunia dengan berkiblat kepada benda, pangkat, kedudukan, darjat dan bersifat diktator dengan pandangan masing-masing.

Sebaliknya ulama yang mewarisi tradisi nabi mempunyai jiwa islah dan sentiasa takut kepada Allah. Imam Syafie juga seorang ulama yang boleh kita kategorikan sebagai ulama besar yang mengikut tradisi pengajaran Nabi Muhamad terutama untuk zamannya. Pun demikian selaku ulama kesemua pandangannya tidaklah pula boleh dikatakan mutlak.

(5) Ulama sufi

Pak Kassim Ahmad menolak semua ulama sufi. Pada beliau mereka menolak “Islam as the world affirmative religion”, pada saya tidak semua ulama sufi demikian.

Ada yang mendokong worldview yang progresif dalam konteks pembangunan tamadun ummah. Sebagai contoh Syah Waliyullah al Dihlawi (1702m – 1763m) dan cucunya Syah Ismail al Syahid.

Seminar “Kassim Ahmad: Suatu Penilaian”, yang berlangsung selama dua hari di Putrajaya itu, pada umumnya disambut dengan semangat pro dan kontra secara ilmiah oleh pembentang pembentang kertas kerja, pengulas pengulas dan peserta peserta terhadap pemikiran beliau.

Malah satu per tiga daripada dua hari seminar itu diisikan dengan kritikan-kritikan terhadap pemikiran beliau. Hakikat ini dapat dilihat dengan kandungan kertas kerja pemikiran agama yang dibentangkan oleh Pak Dr M Syafie Anuar.

Demikian juga kita dapati kritikan-kritikan terhadap Pak Kassim Ahmad ada terdapat dalam ulasan yang dibuat oleh saudara Astora Jabat dan ucapan konklusi seminar oleh Prof Dr Chandra Muzaffar.

Saya pula selaku pengerusi seminar juga ada membuat beberapa persoalan secara kritikal kepada pemikiran Pak Kassim semasa membuat ucapan dalam majlis perasmian seminar itu.

Demikian juga selaku pengerusi kepada kelompok bengkel agama saya ada mengemukakan beberapa rumusan bengkel secara kritikal kepada pandangan Pak Kassim dalam sidang pleno.

Menariknya kesemua kritikan-kritikan terhadap Pak Kassim dalam seminar itu dibuat secara berhikmah dan berdiplomasi. Saya berpandangan pendekatan demikian adalah paling baik apabila melihat pula kepada sejarah pengembaraan spiritural dan intelektual Pak Kassim yang mempunyai elemen penghijrahan yang jauh daripada seorang yang kuat mendokong falsafah sosialisma saintifik kepada seorang yang cuba menerokai dan mendalami ilmu Al-Quran.

Pengorbanan sepanjang hayatnya dalam dunia sastera, politik, agama dan falsafah dengan menjadikan soal pendapatan keluarga dan kedudukan sebagai persoalan kedua dalam hidupnya adalah suatu contoh yang sepatutnya menjadi iktibar kepada para intelektual.

Walaupun pandangan beliau ada kelemahan tertentu, semua pandangan dan usaha beliau yang membina dalam dunia sastera, politik, agama dan falsafah janganlah pula kita ketepikan daripada arus perdana. Ketokohannya sepatut didekati dan dihujahkan pandangan-pandangannya secara ilmiah.

Kalaulah beliau boleh berhijrah daripada dunia sosialisme saintifik kepada dunia ke arah mengkaji worldview al-Quran, maka tidak mustahil nanti dengan kehendak Allah, beliau akan pulang ke jalan yang lurus dalam kesemua aspek kehidupan termasuk aspek pemikiran politik, ekonomi dan sosial sebagaimana yang dikehendaki Al-Quran.

Inilah sepatutnya doa kita bersama kepada beliau dan kepada ummah termasuk kita sendiri.
 
 
 
 
  • Pantai Timor · Top Commenter · -
    Walauapa pun kasim mistilah dibicara dan dihukum jika betul menghina Rasullah dan jika betul akidah beliau terpesong,..kasim sebenarnya mebawa wabak dan misti dihukum...
  • Awan Biru · Top Commenter · Biola University
    JAKIN janganlah melatah!!!
  • Sulaiman Mahiddin · Top Commenter
    Mendoakan beliau kembali ke jalan yang benar itu bagus, tetapi tiada tokoh pemikir ASWJ lainkah yang hendak diseminarkan pemikirannya? Almarhum Uthman El Muhammadi contohnya atau ramai lagi yang pemikirannya nyata tidak menyeleweng daripada landasan Islam namun kritis, boleh diseminarkan? Dengan tindakan org seperti Nik Abdul Aziz Nik Hassan mengupas pemikiran Kasim Ahmad seolah-olah ada benarnya pemikiran manusia yang jelas ditolak sepenuhnya oleh Ulama ASWJ ini, akan membuatkan umat Islam yg kurang ilmunya akan berasa mungkin benar dan tiada salahnya mengikuti pemikiran sesat Kasim Ahmad ini. Bersediakah kita memberi kefahaman kepada lebih ramai umat Islam yg sesat kelak natijah dari mengagungkan pemikiran sesat hanya seorg manusia bernama Kasim Ahmad ini? Sungguh langkah menganjurkan seminar pemikiran Kasim Ahmad ini adalah langkah yg tidak ada rasionalnya bahkan menggalakkan kesesatan di kalangan umat Islam yg sememangnya terdedah dgn 1001 fitnah di akhir zaman ini...
    • Mat Kelabu Asap · Top Commenter · USM Malaysia
      kasim kamu sudah tua usah lagi angap otok kamu bijak hingga sanggup kamu perlekehkan ulah seperti imam syafeei dan hukum -hukum yang ditetap haram oleh allah. kalau kamu tidak guna hadish sebagai pencerahan ayat alquran sembahayang pun kamu tidak boleh tunaikan.
  • Ariff Budiman · · Top Commenter
    Walaupun Kassim Ahmad dikatakan telah meninggalkan Marxism scientific, tettapi cara berfikirnya masih lagi bersifat Marxist. Jika terdapat reformisme dalam Marxism, maka beliau ingin melihat reformisme itu dalam Islam. Tetapi ini bukan cara berfikir Islam. Walaupun Imam Ghazali dikritik hebat kerana menggunakan hadith daif dalam buku-bukunya, namun para ulama menggelarnya Hujjatul Islam. Hadih daif tadi tidak bertentangan dengan worldview Islam. Kassim lain. Worldviewnya masih lagi Marxisme, tetapi dilunakkan dengan memberi bumbu Islam yang dirumus daripada pengetahuannya tentang Islam yang tidak mendalam. Dia melihat kemajuan dalam konteks materialisme kaum komunis dan kapitalis; sedangkan Islam meletakkan Akhirat itu sebagai matlamat mutlak dalam kehidupan seorang Islam yang berjiwa Islam. Jika kita mahu tahu kualiti pemikiran...See More
  • Ramli Abd Samad · Top Commenter · Penang, Malaysia
    Dalam planet ini ada beberapa worldview yang mampu/mungkin/dapat menyelesaikan soal keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia sejagat, Islam adalah antara satunya yang bersaing dengan worldview lain. Kini banyak negara Islam yang sama ada menggunapakai ajaran Islam yang betul atau sebahagiannya tidak menunjukkan yang negara itu membangun, tiada kemiskinan, korapsi, menghormati hak-hak demokratik majoriti mahupun golongan minoriti. Negara Islam tersohor dengan ikon penindasan, berperang, miskin, korap walaupun pemimpinnya akan melalak atau beretorik yang mereka adalah vanguard kepada agama Islam. Dalam komuniti Islam akan ada golongan muda lawan golongan tua, shia lawan sunni, prohadis lawan anti hadis dan proAllah dan pro Tuhan, kureng yang prihatin dengan isu rasuah, penindasan oleh elit Islam, isu urustadbir dan hak-hak asasi manusia. Jadi jelas dengan adanya berteori dan apa sebenarnya berlaku dilapangan. Malah worldview lain seperti Kristianiti, Buddhisme, Hinduisme pun lebih kurang sama. Manusia akan terus mencari worldview alternatif lain walaupun sulit kerana worldview yang ada amat dominan dan mencengkam dan akan menghukum siapa pencabarnya.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan