Selasa, 25 Disember 2012

Projek tanah Upayapadu: Umno diminta tanya Awang Adek

Projek tanah Upayapadu: Umno diminta tanya Awang Adek

Harakahdaily, 25 Dis 2012
KOTA BHARU: Beberapa badan bukan kerajaan dan Umno diminta bertanya kepada bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia, Datuk Dr Awang Adek bin Hussin berkaitan pembangunan tanah di Gua Musang.

Ini kerana, beliau yang menandatangani surat sokongan agar projek membabitkan Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan  Upayapadu Plantation Sdn Bhd dilaksanakan.

Demikian kata Ustaz Fadli Shaari (gambar), Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataannya hari ini.

Surat yang ditandatangani oleh Awang Adek adalah kedua selepas surat pertama dari Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui kepada Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005.

Penjelasan Fadli ini merujuk kepada beberapa laporan akhbar yang masih lagi memainkan isu berkenaan sekeping tanah seluas tanah 10,526 hektar milik kerajaan negeri Kelantan yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak agar mereka sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada PAS selepas pilihanraya umum 2008.


(Surat Awang Adek dan Peter Chin yang menyokong projek)

Sekalipun penjelasan telah diberikan panjang lebar dalam kenyataan sebelum ini, tetapi kelihatan pemimpin UMNO bersama beberapa NGO pro UMNO masih belum faham atau 'berpura-pura untuk tidak faham'.

Hari ini, 25 Disember 2012, dilaporkan di dada-dada akhbar desakan NGO Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wira PERKASA dan Pertubuhan Minda Orang Muda (MOM) agar penjelasan dibuat oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

Begitu juga akhbar semalam 24 Disember 2012 di mana Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Haji Mohd Fatmi Haji Che Salleh juga turut mengeluarkan kenyataan yang sama nadanya.

"Kenyataan-kenyataan ini seolah-olah ingin menyebut bahawa projek yang dilaksanakan oleh syarikat ini ialah rahsia sehingga ia terdedah dengan laporan blog pisau.net," katanya.

Menurut beliau, ia bukan projek rahsia kerana telah dimaklumkan kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Surat kelulusan pula telah dihantar kepada pihak Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005 dan ditandatangani sendiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui.

"Salinan surat-surat tersebut saya kepilkan bersama untuk rujukan," kata Fadli dalam kenyataannya.

Justeru, katanya, beliau meminta semua pihak di Kelantan terutama pemimpin UMNO dan NGO-NGO boleh bertanya terus kepada Dato Dr Awang Adek berkenaan isu ini.

Menyentuh kenyataan Pengerusi OMBAK agar YAB Tuan Guru Menteri Besar mendakwa blogger pisau.net jika benar ia merupakan satu fitnah, Fadli menulis, "saya kira OMBAK boleh bersabar."

"Mana tau, jika nasib baik, OMBAK pun boleh dimasukkan bersama dalam senarai defendan nanti," katanya berikutan cadangan Menteri Besar Kelantan agar pihak yang memfitnahnya sebelum ini disaman.

Dalam masa 2 jam, 60 rumah ditenggelami banjir

Dalam masa 2 jam, 60 rumah ditenggelami banjir

Helmi Ibrahim, 25 Dis 2012

(Skuad Banjir PAS Indera Mahkota yang diketuai Ustaz Fadhil Nor [berkopiah] membawa mangsa banjir yang lumpuh di Bukit Pelindung ke tempat selamat)

KUANTAN: Dalam tempoh 2 jam saja hampir 60 buah rumah di tenggelami banjir kilat beserta lumpur yang terburuk dalam sejarah taman yang terletak di kawasan Bukit Pelindung, Beserah dekat sini.

Hujan lebat bermula sebelumnya membuatkan semua penduduk di situ berada dalam keadaan resah memikirkan keselamatan harta benda dan keluarga memandangkan banjir di perumahan tersebut seolah-olah ‘acara wajib’ tahunan.

Pada sekitar jam 7 pagi air mulai naik selepas hujan lebat seketika namun ianya surut segera sebaik hujan reda.

(Taman perumahan Bukit Pelindung ditenggelami banjir lumpur)


Namun pada jam 10 pagi hujan mulai lebat dan dalam tempoh yang singkat, kawasan tersebut bertukar menjadi lautan lumpur di sertai arus yang laju memusnahkan banyak harta benda penduduk.

Kekecewaan penduduk jelas terpampar di wajah mereka lantaran masalah ini telah berlarutan bertahun-tahun lamanya dan pelbagai laporan dan sidang media telah di buat namun tiada perubahan yang di buat oleh pihak berwajib.

Seorang wakil penduduk yang di temui berkata mereka memang teramat kecewa dengan sikap yang di tunjukkan oleh pihak agensi yang terbabit dalam menangani isu ini.

Justeru beliau mengharapkan agar Pakatan Rakyat dapat memainkan peranan menekan pihak kerajaan untuk menyelesaikan segera masalah mereka ini walaupun terpaksa meminta campurtangan pihak istana.


(Jalan Pelindung Perdana menjadi kawasan perdana dilanda banjir kilat)

Mengulas isu berkenaan, Timbalan Pengarah Skuad Banjir PAS Indera Mahkota, Encik Mahmud Yaakub menyatakan rasa simpati yang mendalam terhadap kesulitan yang di alami oleh penduduk Taman Pelindung Perdana yang sehingga kini tidak di pedulikan oleh kerajaan BN.
Pihak kami secara konsisten memantau keadaan di sini bermula malam sebelumnya dan pada pagi kejadian dan bertindak semaksimum mungkin dalam membantu penduduk serta menghubungi pihak berwajib.

"Sepatutnya jika pihak kerajaan prihatin sudah tentu ada pemantau dari agensi terlibat berada di sekitar kawasan ini bukan hanya bertindak selepas air surut,” katanya kesal.


(Pasukan Unit Amal bermesyuarat sebelum turun membantu mangsa banjir)

Selain skuad banjir, Unit Amal menjadi tenaga penting dalam menghadapi banjir kali ini.

Mereka bersedia dan mengadakan perbincangan bagaimana mahu membantu mangsa banjir.

Banjir terburuk di Kuantan dalam sejarah

Banjir terburuk di Kuantan dalam sejarah

Harakahdaily, 24 Dis 2012

(Sebelah Berjaya Mega Mall)

KUANTAN: Hujan lebat lebih daripada 10 jam telah menyebabkan bandar Kuantan dilanda banjir terburuk dalam sejarah hari ini.

Pelbagai gambar yang memperlihatkan jalan-jalan utama dan kenderaan ditenggelami air sedang hangat dikongsikan di laman sosial media.

(Kawasan terminal bas Kuantan penuh dengan air)

Antara jalan yang ditenggalami air ialah Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Pasar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Mahkota, Jalan Abd Aziz, Jalan Air Putih, Jalan Haji Ahmad dan Jalan Beserah.

Ombar di Laut China Selatan dilaporkan mencecah 4 meter berdasarkan pengamatan seorang nelayan di Balok yang dihubungi Harakahdaily.

Kawasan-kawasan popular seperti Berjaya Megamall, Sri Dagangan, East Coast Mall and Zenith Hotel diselubungi air dengan kenderaan dilihat di bawah air setinggi paras pinggan.

Bekas Pengerusi NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) Ismail Nihat yang menetap di Taman Tas memberitahu Harakahdaily hujan lebat bermula 2 pagi semalam sehingga tengahari tadi sebelum beransur menjadi gerimis.


(Suasana cemas di bawah sebuah hotel 5 bintang di Kuantan)

“Saya menelefon staf saya di pejabat (Jalan Darat Makbar), mereka memberitahu saya seluruh kawasan sekitar pejabat banjir dan menasihatkan saya agar tinggal di rumah,” katanya.

Hujan, katanya, baru berhenti ketika waktu Isyak, tapi langit masih mendung dikhuatiri akan hujan semula.

Ada laporan berkata banjir kilat di Kuantan kali ini mungkin disebabkan hujan lebat yang bertembung dengan air pasang di laut.

Ismail yang kini berusia 61 tahun berkata ini adalah banjir terburuk di bandar Kuantan setakat ini.

“Banjir besar di tahun 1971 pun bandar Kuantan tak seteruk macam ini,” katanya.


(Jalan Wong Ah Jang di tengah bandar Kuantan)

Seorang lagi penduduk di Semambu, Steven Say berkata beliau dimaklumkan jirannya dalam keadaan cemas kerana air banjir sudah melalui ruang tamu rumah.

“Saya berada di KL. Jiran saya menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan. Jiran saya suruh jangan balik sebab seluruh kawasan perumahan (di Taman Tunas Jaya) ditenggelami air. Ini yang terburuk selama 20 tahun kami tinggal di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang membuat tinjauan daripada udara  untuk melihat  keadaan banjir kilat yang melanda Kuantan.

Beliau menyeru kerajaan Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengkaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan dan perumahan di bandar Kuantan.


(Suasana di tengah pusat bandar)

Kata baginda, banjir kilat bukan disebabkan oleh paras air sungai yang meningkat atau sistem perparitan yang tersumbat tapi banyak parit dan longkang yang terlampau sempit menyebabkan air tidak boleh keluar.

PAS Pahang dan Unit Amal turut telah turun ke padang untuk membantu penduduk. Bagi yang memerlukan bantuan, boleh hubungi PAS Pahang : Sharudin 0139191721 Fadli 0199111163.