Isnin, 18 November 2013

Kenapa ditamatkan khidmat JPA jadi Pengerusi BSN?


Salmiyah Harun, 18 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan menjelaskan alasan sebenar mereka menamatkan perkhidmatan Tan Sri Abu Bakar Abdullah sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Julai 2012 lalu.

Ini kerana tegas Mahfuz, bekas Ketua Pengarah JPA itu kononnya didakwa telah membuat kesalahan besar kepada negara tetapi beliau kini telah dilantik sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

Tegasnnya, sebelum ini beliau dimaklumkan kerajaan bahawa pemecatan Abu Bakar kerana ada kaitan dengan keselamatan negara.

"Takkan orang yang punya kedudukan sebagai Ketua Pengarah JPA dikatakan buat salah besar kepada negara tiba-tiba dilantik menjadi Pengerusi BSN.

"Apa sebenarnya yang berlaku sewaktu beliau ditamatkan perkhidmatannya dalam JPA?" tegas Mahfuz.

Namun, Mahfuz percaya kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu dan pemecatan Abu Bakar itu sebenarnya untuk menutup malu ke atas isu kegagalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mengutamakan peringkat atasan kakitangan kerajaan, menyebabkan kakitangan bawahan melenting dan mengugut untuk mengundi Pakatan Rakyat.

Mahfuz berkata demikian membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Parlimen hari ini.

Abu Bakar yang berkhidmat selama 35 tahun menerima surat penamatan khidmatnya daripada JPA yang menyatakan bahawa khidmatnya berakhir pada 1 Julai 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan