Selasa, 24 September 2013

Empayar Uthmaniah pernah bertapak di Hungary


Lan Jusoh, 24 Sep 2013



BUDAPEST: Biar pun Empayar Uthmaniyah pernah bertapak di Hungary, Yugoslavia dan Slovakia, namun kesannya semakin hilang.

Islam dikatakan bertapak di Hungary bermula pada abad ke-12. Pengaruh Islam lebih ketara lagi pada abad ke-16 iaitu semasa pemerintahan Uthmaniah.

Mengikut catatan sekitar 1179 sehingga 1229 terdapat 30 kampung yang didiami penduduk Islam di Hungary.

Selepas itu orang-orang Turki pula memasuki Hungary dan berlaku pertempuran Mohacs pada 1526. Pemerintahan Uthmaniah di Hungary akhirnya jatuh antara 1687 dan 1699.

Ketika itu ramai tokoh Islam dilahirkan di Hungary antaranya Wazir, Kanijeli Siyavu, Mevlevian Darwis dan Pecsevi Árifi Ahmed Dede.

Di Hungary orang Islam dipanggil Böszörmény.  Kesan kedatangan Islam boleh dilihat dengan kewujudan Masjid Turki di Esztergom.

Hungarian Islam Society menganggarkan pada 2004 terdapat kira-kira 20,000 komuniti Islam di Hungary. Statistik itu ialah 0.2 peratus daripada jumlah penduduk.

Penduduk Islam juga membina pusat Islam di Budapest. Pusat Islam dilengkapi perpustakaan yang mempunyai kira-kira 50,000 buku.

Begitu juga di Slovakia pada 1526 tentera Turki menduduki Sturovo dan bahagian-bahagian lain di wilayah selatan.

Turki menakluki beberapa lagi wilayah di selatan pusat Slovakia dan mara sehingga ke Nitra.

Pada abad ke-17 sebahagian wilayah di selatan Slovakia diduduki Turki dan penempatan Turki diwujudkan di Novohrad.

Kebanyakan penduduk Islam di Slovakia merupakan pelarian dari bekas Yugoslavia (Bosnia dan Albania).

Bilangan umat Islam di Slovakia mengikut banci 2001 terdapat 5,000 orang. Jumlah itu hanya membentuk sekitar 0.1 peratus.

Yugoslavia sebelum ini menggabungkan Serbia-Croatia, Macedonia dan Slovene terletak di bahagian barat Eropah Tenggara, sebelum abad ke-20.

Kerajaan Yugoslavia sehingga 3 Oktober 1929 dikenali sebagai Kerajaan Serb, Croat dan Slovenes yang ditubuhkan pada 1 Disember 1918.

Yugoslavia telah ditukar nama kepada Persekutuan Republik Rakyat Yugoslavia pada 1946 setelah komunis berkuasa.

Tentunya orang ramai masih ingat Yugoslavia mencatat sejarah hitam pada

1999 apabila berlaku pemberontakan orang Albania di Kosovo.

Serbia memadam dengan menguasai Albania yang merupakan jirannya.

Akhirnya Kosovo diwujudkan identiti tersendiri. Milosevic yang membunuh ramai penduduk Islam di Kosovo kalah pada pilihan raya dan Vojislav Kostunica dilantik pemimpin baru.

Milosevic pada 2001 diadili di Mahkamah Keadilan Antarabangsa terhadap pembunuhan etnik Muslim di Bosnia.

Dan akhirnya 2003 berakhirnya negara Yugoslavia dan sekarang muncul negara bangsa Slovenia, Kroasia, Bosnia-Herzegovina, Serbia, Kosovo Montonegro dan Macedonia.

Rombongan anjuran Poto Travel yang melewati Hungary sejak semalam dapat  menyaksikan sendiri kesan-kesan peninggalan daulah Islamiah Otmaniah.

Apa yang tinggal sekarang kesan pengaruh Kristian yang masih bertapak kukuh. Ini dapat dilihat peninggalan monumen bersejarah menjadi tarikan utama pelancong ke Budapest.

Sekarang sukar lagi ditemui kesan-kesan nyata tamadun Islam, biar pun kelihatan monumen yang mengekalkan ciri-ciri kubah, lambang masjid milik orang Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan