Rabu, 11 September 2013

Diyat, relevankah lagi?


Mohammad Faizal Che Yusof, 10 Sep 2013
Antara kesalahan membunuh yang diiktiraf dalam Kanun Keseksaan termasuklah membunuh tanpa niat atau menyebabkan kematian yang tidak termasuk sebagai membunuh. Peruntukan-peruntukan di bawah seksyen 304 (b) dan 304A sering digunapakai bagi mendakwa mereka yang bertindak hingga menyebabkan kematian tanpa niat.

Pada kebiasaannya, situasi di atas berlaku dalam kes-kes kemalangan jalan raya, dan salah tembak rakan seperburuan. Kadangkala ia sukar untuk diterima akal logik khususnya dalam kes-kes salah tembak rakan seperburuan. Namun itulah yang boleh terjadi.

Jika dalam kes-kes kemalangan seperti kemalangan jalan raya, ia tidak begitu sukar kerana mudah difahami lebih-lebih lagi keluarga simati. Dalam kes salah tembak rakan seperburuan, ia begitu menyentuh hati dan emosi keluarga simati. Sukar untuk terima hakikat bagaimana seorang rakan yang rapat dan akrab boleh tersalah tembak rakannya sendiri.

Dalam kes-kes sebeginilah elok kita ikhtiar mencari ruang untuk mengamalkan apa yang ditetapkan oleh al-Quran dan sunnah. Secara perundangan konvensional, mereka yang melakukan kesalahan membunuh tanpa niat akan dikenakan hukuman penjara atau denda. Setakat mana seriusnya hukuman yang dijatuhkan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor.

Antara faktor tersebut termasuklah tindakan-tindakan keluarga simati yang memberi tekanan kepada pihak pendakwaan bahkan kepada mahkamah. Makin berat hukuman dikenakan, pada mereka itu adalah lebih baik.

Walhal, apabila sipelaku dipenjara atau didenda, ia sebenarnya tidak membantu langsung keluarga simati. Apatah lagi bila simati adalah tonggak keluarga yang menyediakan nafkah dan keperluan asasi keluarga.

Di sinilah Islam melalui undang-undang Qisas menyediakan satu jalan keluar yang sebenarnya boleh diamalkan. Mengapa tidak kita membiasakan amalan “Diyat”? diyat ialah sejumlah bayaran tertentu yang perlu diberikan oleh sipelaku kepada waris atau keluarga simati sebagai ganti rugi disebabkan tindakan salah dan cuai yang telah dilakukan.

Islam memberi hak kepada keluarga simati untuk memberi keampunan kepada sipelaku atau tertuduh sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 178:

“Sesiapa yang dapat memperoleh sebahagian keampunan daripada saudaranya (waris kepada mangsa yang dibunuh), maka hendaklah diikuti dengan cara yang baik (iaitu menuntut ganti rugi dengan tidak melampaui batas).Dan tunaikanlah bayaran diyat itu dengan ihsan. Yang demikian itu adalah suatu keringanan/kemudahan yang diberikan oleh Allah SWT. Serta satu rahmat daripada Tuhan kamu ( makna rahmat adalah kasihan belas daripada Allah SWT kepada sekelian hamba-Nya). Sesiapa yang melampaui batas selepas daripada itu,maka baginya azab yang pedih.”

Dalam amalan hari ini, tentunya dua keluarga akan hilang punca apabila kedua-duanya iaitu simati dan tertuduh merupakan tonggak keluarga. Selain keluarga simati yang hilang tempat bergantung, keluarga tertuduh turut terjejas bilamana hukuman yang dijatuhkan mungkin saja mengakibatkan tertuduh dibuang kerja atau hilang mata pencarian.

Dengan mengamalkan diyat, keluarga simati yang memberi kemaafan kepada tertuduh tetap akan terbela dengan bayaran Diyat yang diterima. Demikian juga tertuduh yang berkewajipan membayar diyat akan terus berkerja sekaligus boleh menyara keluarganya.

Dalam suasana hari ini, apabila undang-undang negara tidak berteraskan Islam, apakah yang boleh kita lakukan? Untuk diyat diamalkan, di sinilah kita memerlukan kebijaksanaan para pengamal undang-undang yang terlibat. Yang perlu dilakukan, keluarga simati boleh mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk memaafkan tertuduh, agar tertuduh tidak dikenakan hukuman yang boleh menjejaskan mata pencariannya.

Seterusnya satu tindakan sivil perlu dimulakan yakni dalam prosiding ini satu penghakiman persetujuan boleh direkodkan bagi membolehkan tertuduh membuat bayaran tertentu kepada keluarga simati. Sebagaimana yang saya sebutkan, kebijaksanaan mereka yang terlibat dalam memberi nasihat dan pandangan amatlah perlu bagi menjayakan syariat Diyat.

Demikianlah benarnya aapa yang difirmakan Allah SWT bahawa Qisas menjamin kelangsungan hidup, sebagaimana, al-Baqarah ayat 179:

“Dan dalam kisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.”


Kesediaan keluarga simati memaafkan dan kesediaan sipelaku membayar Diyat sesungguhnya menyerlahkan kesentosaan hidup bermasyarakat apabila syariat Allah dituruti. Semoga kebijaksaan pendokong Islam dalam meletakkan kalimah Tauhid pada tempatnya berada di mana-mana.

4 Dzulkaedah 1434H.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan