Isnin, 3 Jun 2013

Perlukah zakatkan wang insuran anak?


Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 03 Jun 2013
Takaful dalam Islam sendiri bermakna saling menjamin demi kebaikan bersama...

Soalan: Keluarga saya baru sahaja mendapat duit simpanan daripada sebuah pengendali insurans takaful pendidikan anak-anak saya yang berusia 12 dan 13 tahun sebanyak RM 20,000.00, dan suami saya juga baru mendapat pampasan daripada sebuah takaful atas kecederaan yang dialaminya kerana kemalangan jalan raya sejumlah RM150,000.00. Persoalan saya, adakah duit insurans ini juga perlu dizakatkan? Mohon penjelasan.

Jawapan: Terima kasih kerana mengajukan persoalan yang baik ini. Mudah-mudahan, puan dan keluarga puan sentiasa diberikan kesabaran dan diberkati Allah SWT hendaknya, amin. Baiklah, demi menjawab persoalan puan, saya akan menegaskan beberapa perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Pertamanya, mungkin ramai yang terkeliru dengan status wang yang disimpan di dalam mana-mana institusi takaful atau insurans. Sebelum itu, sila fahami bahawa, takaful adalah insuran yang Islami dan ia tertakluk kepada akta takaful; serta ia berbeza dengan insuran, kerana insuran dijalankan secara konvensional yang melibatkan kontrak yang tidak syarie serta adanya tiga unsur yang tidak halal, iaitu gharar (ketidakpastian), maisir (judi) dan riba.

Oleh itu, demi memudahkan perbincangan, saya mengandaikan bahawa puan hanya mencarum di dalam takaful sahaja.

Hakikatnya, takaful adalah wang yang berbentuk simpanan, kerana seseorang penyimpan itu masih mempunyai hak milik sempurna ke atas wang berkenaan. Misalnya, sungguh pun puan menandatangani kontrak polisi takaful berkenaan untuk tempoh 10 tahun; namun dalam tempoh masa sebelum 10 tahun itu, puan masih boleh memohon pengeluaran tunai daripada pihak takaful berkenaan.

Maka, dalam hal ini puan hendaklah menyandarkan wang di dalam takaful sebagai wang simpanan dan dikeluarkan zakat sebagaimana puan mengira zakat simpanan yang lain. Iaitu, puan campurkan jumlah simpanan anak-anak puan di dalam takaful yang sempurna milik itu dan dicampurkan dengan simpanan-simpanan lain anak-anak puan yang ada di bank atau di mana-mana sahaja, dan jika ia menyamai atau melebihi paras nisab, maka wajiblah dizakatkan ke atasnya 2.5 peratus.

Adakah jumlah simpanan takaful itu perlu diambil pada hujung tahun? Tidak, kerana jumlah itu tidak bersifat genap setahun disimpan, maka sila ambil jumlah permulaan puan mencarum dalam takaful berkenaan.

Ilustrasi: Contoh kiraan zakat simpanan Pn. Izah bagi tahun 2012

Nisab: RM10,500.00
Haul: Satu tahun (12 bulan dan andaikan ia bermula 1 Januari 2012)

Jumlah simpanan di takaful setahun (sila ambil baki permulaan simpanan di takaful atau jumlah terendah) Jumlah di bank setahun (ambil baki terendah) Jumlah di lain-lain tempat Jumlah
RM200.00 RM13,000.00 RM1,000.00 RM13,200.00

Maka, zakatnya ialah: RM13,200.00 X 2.5 % = RM330.00

Nota: Simpanan dikira saat seseorang mula menyimpan, katakanlah Pn. Izah mula menyimpan di takaful pada bulan 1 Januari 2012 sebanyak RM200, maka itulah baki terendah simpanannya. Manakala, dalam akaun bank yang lain, ambil sahaja baki terendah dalam tempoh tahun 2012 dan jumlahkan kesemuanya untuk mendapatkan jumlah yang besar. Cumanya, dalam akaun takaful ada yang bersifat simpanan, tabarru’ dan pelaburan, maka ambillah daripada akaun simpanan yang merupakan milik sempurna Pn. Izah sahaja, yang mungkin berjumlah 50 peratus daripada keseluruhan carumannya setiap bulan.

Justeru, bagi kes anak-anak dan suami puan, sebenarnya mereka sudah perlu mengeluarkan zakat wang simpanan mereka, semasa ia masih lagi berada dalam simpanan pihak takaful, bukannya semasa mereka mendapatkan wang setelah genap 10 tahun atau semasa mereka membuat permohonan tunai daripada pihak takaful.

Oleh itu, dalam kes anak-anak puan di atas, oleh sebab mereka sudah pun mengeluarkan zakat sepanjang wang simpanan itu berada dalam akaun takaful, maka ketika mereka memperoleh wang RM20,000.00, maka mereka tidak wajib lagi mengeluarkan zakatnya. Melainkan, jika mereka tidak mengeluarkannya, maka mereka wajiblah mengqada berdasarkan berapa jumlah simpanan yang sebenarnya selama 10 tahun tidak dikeluarkan.

Kecuali dalam kes yang mana, sepanjang tempoh 10 tahun itu, puan dan anak-anak puan langsung tidak boleh mengeluarkannya (tetapi saya fikir, hal ini mungkin tidak berlaku), maka ketika itu wang yang puan peroleh sebenarnya dikategorikan sebagai sebahagian daripada wang yang tertahan yang kemudiannya diperoleh kembali, dan ia diistilahkan sebagai mal al-dimar. Menurut Imam an-Nawawi, mal al-dimar ini hendaklah ditunaikan zakatnya ketika diperoleh, samalah seperti kita mendapat wang KWSP setelah lama tertahan dalam simpanan KWSP dan ia perlu dizakatkan tanpa bertangguh lagi.

Sementara itu, bagi kes suami puan yang menerima wang pampasan daripada pihak takaful akibat kemalangan jalan raya sebanyak RM150,000.00; maka ia sudah pasti dikira sebagai wang pendapatan sepenuhnya. Maka, wang itu hendaklah terlebih dahulu dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus semasa diterima (zakatnya berjumlah RM3,750.00).

Keduanya, ada beberapa isu lain yang ingin saya perjelaskan, lewat persoalan puan. Iaitu, puan menyatakan wang itu diperoleh oleh anak-anak puan yang kelihatannya masih belum mencapai usia baligh. Adakah mereka juga wajib berzakat?

Hakikatnya, kedudukan anak-anak di bawah usia baligh juga, menurut fuqaha termasuklah di sisi Syafie, tidak menjadi penghalang daripada dikenakan zakat ke atas mereka. Hal ini kerana, illat (sebab) dikenakan zakat, adalah kerana kekayaan yang dimiliki bukan ke atas individu semata-mata. Maka, dalam konteks syarat wajib zakat juga, ia tidak mengambil kira, sama ada pemilik harta itu adalah orang yang baligh, berakal atau tidak; yakni selagi kekayaannya bersifat milik sempurna dan dia mempunyai hak at-tasaruf (hak menggunakan harta tanpa batasan), maka dia dikira wajib berzakat. Oleh sebab itulah, seorang yang sudah tua dan nyanyuk atau hilang akal kerana gila (tidak kiralah apa pun puncanya), maka para warisnya masih wajib mengeluarkan zakat ke atas harta-harta yang dimiliki olehnya.

Mungkin akan ada pihak yang mempertikaikan, bahawa bukankah wang yang diperoleh itu adalah untuk tujuan pembelajaran dan pelajar itu juga berhak menerima santunan zakat atas nama asnaf fisabilillah?

Suka juga dijelaskan di sini, ada pun pandangan bahawa pelajar itu berhak mendapat santunan atas nama fisabilillah, adalah merupakan perkara khilaf yang dibahaskan dalam kalangan fuqaha, kerana ada yang membataskan fisabilillah hanya untuk tujuan peperangan dan ada yang meluaskannya, sehingga termasuklah dalam bab mencari ilmu. Manakala, dalam bab mengenakan zakat, sudah jelas bahawa ada dalil yang Nabi SAW pernah memerintahkan supaya sahabat yang menjaga harta anak yatim agar melaburkannya, supaya tidak susut dimakan oleh zakat.

Diriwayatkan daripada ‘Amru bin Syuaib daripada datuknya, bahawa Nabi SAW pernah memberitahu: “Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang ada harta, hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang) dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) – dimakan oleh zakat,” (Hadis Riwayat Termizi).

Sungguh pun ahli hadis menyatakan hadis di atas termasuk hadis yang daif (lemah); namun ia diperteguhkan dengan pelbagai hadis lain, seperti mana Imam al-Syafi’i sendiri di dalam kitab Musnad as-Syafi’i (sebuah kitab yang disandarkan kepada namanya), ada menyatakan sebuah hadis, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Carilah jalan yang menguntungkan semasa kamu menjaga dan mengurus harta anak yatim, supaya hartanya itu tidak ditelan habis oleh zakat,” (rujuk Musnad Imam Syafie, 1: 224).

Begitu juga daripada keterangan athar (perkataan, perbuatan dan pengakuan) oleh para sahabat, bahawa Ummul Mukminin Aisyah r.ha sendiri semasa memelihara anak-anak saudaranya yang yatim, baginda telah memperniagakan harta mereka untuk mengembangkannya dan mengeluarkan zakat ke atasnya (ibid, 225).

Dalam pada itu, statusnya sebagai pelajar juga adalah masih di bawah pembiayaan ibu bapa, yakni mereka tidak bergantung 100 peratus kepada wang takaful yang diperoleh. Makanya, tuntutan agar dikenakan zakat ke atas harta seorang pelajar yang sudah mencapai syarat wajib zakat, sebenarnya lebih kuat daripada menafikan zakat ke atasnya.

Kesimpulannya, puan hendaklah menunaikan zakat simpanan ke atas simpanan takaful anak-anak puan dan jika belum ditunaikan, bolehlah dikeluarkan sebagai zakat qada simpanan. Manakala, bagi suami puan, sudah jelas kedudukannya bahawa ia adalah zakat pendapatan.

Wallahua’lam.

Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada 24 Rejab 1434 H | 3 Jun 2013hamizul@e-zakat.com.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it atau boleh layari www.e-zakat.com.my; blog.e-zakat.com.my atau www. facebook.com/ LembagaZakatSelangor.MAIS untuk maklumat lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan