Rabu, 5 Jun 2013

Masalah Umno bukan lagi persepsi tetapi realiti


Abdul Aziz Mustapha, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Masalah utama Barisan Nasional (BN) bukan persepsi tetapi realiti yang kian menjerumuskan negara ke arah mala petaka, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Apa yang dilihat dan dirasai oleh rakyat akibat pemerintahan BN bukan lagi persepsi tetapi realiti.

"Rasuah yang makin parah adalah realiti, penipuan dalam pilihan raya adalah realiti, kematian demi kematian dalam tahanan polis adalah realiti, perbuatan Umno api-apikan perkauman adalah realiti, semuanya bukan persepsi," katanya.

Begitu juga, kata Mahfuz, apabila Malaysia dilaporkan terlibat dengan penyeludupan steroid selepas dilaporkan terlibat dengan penggubahan wang haram, semua itu adalah realiti.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui kelemahan utama kerajaannya adalah dalam mengurus dengan lebih baik persepsi negatif yang disebarkan secara meluas di dalam talian yang dikuasai oleh elemen anti-BN.

Mahfuz menolak pandangan itu dengan menekankan apa yang disebarkan oleh rakyat yang tidak mahu lagi menerima pemerintahan BN bukanlah persepsi tetapi realiti penyelewengan dan salah guna kuasa BN yang sebenarnya berlaku.

"Bila rakyat bangkitkan isu lembu dan kondominium umpamanya, itu bukan persepsi tetapi realiti yang diakui oleh orang-orang Umno sendiri.

"Tanyalah (bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri) Rafidah Aziz umpamanya, isu lembu itu realiti atau persepsi?' Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata.

Persepsi, kata Mahfuz, ialah apa yang disebut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai punca kemenangan Umno.

"Dr Mahathir kata, kemenangan Umno dalam pilihan raya baru-baru ini disebabkan orang Melayu takut Pakatan Rakyat yang turut dianggotai oleh DAP menang.

"Maknanya, Dr Mahathir mengakui kejayaan Umno mendapatkan kemenangan di sebahagian besar kerusi-kerusi majoriti Melayu adalah kerana persepsi orang-orang Melayu," katanya.

Mahfuz menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu sebagai pengakuan secara tidak lansung tentang kejayaan Umno menghasut orang Melayu dengan persepsi yang berasaskan pembohongan serta kejayaan parti itu mengapi-apikan perkauman.

"Amat malang bagi mereka yang mengundi Umno semata-mata kerana dirasuk persepsi berasaskan pembohongan yang dijaja oleh Umno serta hasutan dan perbuatan mengapi-apikan perkauman," katanya.

Beliau mengingatkan, masa hadapan negara tidak boleh dibina dengan persepsi berasakan pembohongan.

Ketika megulas prestasi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.

"Kemenangan Umno kali ini bukan kerana kekuatan Umno ataupun perpaduan dalam Umno, kemenangan Umno kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia," Bernama memetik beliau berkata Isnin lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan