Khamis, 23 Mei 2013

BN Sabah hilang majoriti 2/3 jika ‘1 orang, 1 undi’

BN Sabah hilang majoriti 2/3 jika ‘1 orang, 1 undi’

Harakahdaily, 23 Mei 2013
KOTA KINABALU: Barisan Nasional sudah tentu hilang majoriti dua pertiga di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah pada PRU13 baru-baru ini sekiranya benar-benar wujud sistem ‘satu orang, satu undi, satu nilai’.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata dengan 55.78 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk 60 kerusi Dun Sabah, iaitu 427,890 undi, BN sepatutnya hanya berjaya mendapat 34 kerusi Dun bukan 48 kerusi, iaitu 80% kerusi Dun.

Katanya, ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS yang bertanding di kesemua 60 kerusi Dun mendapat 248,185 undi atau 32.36% daripada jumlah undi keseluruhan, dan sepatutnya memenangi 20 kerusi bukannya 11, iaitu 18.33% daripada 60 kerusi.

Menurutnya, Star yang meletakkan 47 calon Dun, memenangi satu kerusi, dengan 5.63% daripada jumlah undi keseluruhan sementara SAPP bertanding di 41 kerusi mendapat 28,305 undi atau 3.69% daripada jumlah undi keseluruhan, tidak memenangi sebarang kerusi.

Beliau berkata, sekalipun oposisi yang kuat dan bersemangat sudah dipulihkan di Dun Sabah selepas dua dekad ketiadaannya, dengan 11 Adun Pakatan Rakyat iaitu 4 daripada DAP dan PKR (7) dan satu dari Star, pilihan raya umum pada 5 Mei merupakan pengajaran berharga buat oposisi di Sabah, yakni BN sudah tentu kalah lagi empat kerusi parlimen dan lapan kerusi Dun jika tidak kerana undi pecah di kalangan calon oposisi.

Empat kawasan Parlimen itu, katanya adalah Keningau, Kota Marudu, Pensiangan dan Tenon sementara lapan kerusi Dewan Undangan Negeri adalah Elopura, Melalap, Kundasang, Liawan, Paginatan, Kiulu, Nabawan dan Tambunan.

“Pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat sedang menganalisa keputusan pilihan raya umum Sabah untuk merangka pelan tindakan bagi memulakan kempen susulan bagi memenangi hati majoriti rakyat Sabah, kerana pilihan raya seterusnya akan menjadi dua perjuangan untuk ‘Ubah – di Putrajaya’ dan juga kerajaan negeri Sabah,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluakan di sini, hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan