Ahad, 21 April 2013

Perkauman: Melihat dari perspektif lebih luas

Perkauman: Melihat dari perspektif lebih luas

Pandangan Hazman Baharom, 21 Apr 2013
SEJAK Malaysia merdeka, generasi anak bangsanya mengimpikan sebuah negara yang harmoni dan damai dalam kepelbagaian masyarakatnya.

Kita tidak dapat menafikan bahawa Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada rakyat dengan pelbagai ciri nuansa budaya, sama ada merupakan penduduk peribumi atau warisan dasar-dasar penjajah.

Namun, persoalan yang mendasar kini, mengapakah hubungan antara kaum tidak seharmoni yang diimpikan dalam pelbagai dasar yang kita gubal? Seolah perselisihan antara kaum sememangnya menjadi sebuah takdir buat anak bangsa kita.

Sejak Pemasyhuran Kemerdekaan 1957, kita hidup bersama sebuah aspirasi untuk membina sebuah negara yang melindungi hak serta kebebasan seluruh warganya. Namun persoalannya kini, perkara yang terjadi ialah sikap perkauman semakin melebar – yang saya perhatikan melalui sikap politik terutamanya – sehingga seakan-akan orang yang berbeda kaum dengan kita dianggap sebagai ‘yang lain’ atau ‘orang asing’.

Benar, salah satu faktor yang menyumbang kepada kepada kesukaran untuk menerima kepelbagaian terletak pada skeptisisme masyarakat pada kasus ‘masyarakat plural’, ‘kesetaraan hak asasi’ dan sebagainya. Makalah ini akan cuba meninjau beberapa factor yang menyumbang kepada perselisihan yang kompleks di Malaysia – yang saya lihat banyak berakar daripada kekeliruan atas identiti.
Mereka Orang Asing!

Sikap politik, terutamanya parti politik berasaskan kaum di Malaysia (terutamanya UMNO, MCA, MIC, dan adakalanya PAS, walaupun PAS bukan berasaskan kaum) menzahirkan sikap melihat orang yang berbeda sebagai ‘orang asing’[1].

Sikap sebegini akan membawa kepada beberapa masalah yang serius dalam mendepani kontekstual masyarakat yang wujud pada hari ini, umpamanya (1) merendahkan martabat identiti hanya kepada satu kasus sahaja, iaitu ‘bangsa’ atau ‘kaum’ atau ‘kepercayaan’, (2) mengelirukan masyarakat daripada hakikat bahawa setiap anggota masyarakat ‘berbeza secara berbeza’[2], lantas akhirnya menjadi penyebab kepada (1) stereotaip masyarakat sesama kaum yang berbeda, (2) penghalang ke arah perubahan dasar berasaskan kebebasan serta kesetaraan yang sepatutnya menjadi milik semua, dan paling teruk, (3) sokongan terhadap propaganda politik murahan yang berasaskan laras bahasa perkauman.

Melalui makalah ini, saya akan berhujah mengenai perkara di atas satu-persatu, serta akan menyimpulkan bahawa masa depan hubungan kaum yang lebih padu berasaskan kesetaraan serta dialog bersama adalah tidak mustahil.

Menurut Amartya Sen, kekeliruan terhadap identiti akan menimbulkan rasa tidak senang terhadap ‘yang lain’, lantas berpotensi mencambahkan keganasan.

Amartya Sen vs. Samuel Huntington


Melalui buku Identity and Violence: The Illusion of Destiny, Amartya Sen membawa satu kes yang saya kira berani; menentang tesis Samuel Huntington dalam The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order. Sen telah berhujah (dan saya kira bidasan Sen ini penting untuk memahami strata kaum di Malaysia) bahawa Huntington telah menurunkan martabat identiti dengan hanya bergantung kepada apa yang disebut sebagai ‘ketamadunan’ atau civilizationsyang berbeza sahaja, tanpa mengambil kira bahawa setiap tipologi sedemikian telah menimbulkan beberapa masalah klasifikasi.

Antara permasalahan yang timbul ialah Huntington gagal menganalisis kepelbagaian masyarakat yang wujud dalam satu tamadun, dan analisis yang cetek berkenaan perbezaan (atau persamaan?) masyarakat yang wujud antara tamadun yang berbeda – lantas menghalang pemahaman yang lebih dalam melalui hubungan antara tamadun yang berbeda.

Hal ini juga saya kira penting untuk ditelusuri di Malaysia. Masyarakat mudah sekali melihat kumpulan yang berbeda sebagai ‘Melayu’, ‘Cina’, ‘India’, dan sebagainya. Hal ini telah melahirkan stigma bahawa orang yang ‘bukan kalangan kita’ merupakan orang yang ‘berbeza’. Perkara inilah yang saya katakana pada awal tadi, iaitu merendahkan pemahaman mengenai identiti hanya kepada kasus bangsa – atau kepercayaan.

Walaupun saya tidak menafikan bahawa ada kalangan rakyat Malaysia yang hidup secara harmoni dan bergaul dengan baik antara kaum yang berbeda, namun majoriti rakyat Malaysia masih belum mencapai tahap sebegini.

Pemahaman cetek ini mungkin sekali merupakan hasil pendidikan sejak dari awal melalui ejen-ejen sosial – primary socializationmenurut istilah ahli sosiologi terkenal Talcott Parsons, atau melalui pergaulan sesama rakan, atau melalui ejen sosial yang sangat berpengaruh, iaitu media massa.

Perkara ini perlu kita ambil perhatian, terutamanya para pembuat dasar, bahawa selama ini kita punyai dasar-dasar yang menyasarkan perpaduan, umpamanya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, serta Akta Bahasa Kebangsaan, namun masih gagal menampakkan hasil yang berjaya.

Kedua, kekeliruan masyarakat terhadap hakikat bahawa walaupun manusia yang ‘digolongkan’ dalam satu tipologi, namun mereka masih bersifat ‘berbeza secara berbeza’. Sebagai contoh, mengikut tipologi piawai di Malaysia, saya boleh digolongkan sebagai seorang bangsa Melayu.

Namun, saya tidak boleh sama sekali merendahkan pemahaman identiti saya untuk mengandaikan bahawa saya pasti mempunyai identiti yang sama dengan ‘orang Melayu’ yang lain.

Sebagai contoh, saya merupakan seorang yang percaya kepada demokrasi dan pluralisme atau seorang yang mencintai puisi, namun orang Melayu yang lain pastinya akan berbeza daripada saya dalam segenap aspek.

Hal inilah yang sangat penting untuk difahami oleh masyarakat Malaysia, bahawa penggolongan manusia kepada tipologi-tipologi dangkal seperti bangsa atau kepercayaan hanya akan membawa falasi logik yang lebih besar, iaitu kekeliruan terhadap hakikat identiti yang pelbagai itu sendiri.

Bertitik tolak daripada kekeliruan besar yang digariskan di atas, saya melihat beberapa masalah yang akhirnya timbul akibat perkara ini.

Kecenderungan untuk melihat identiti melalui lensa yang sempit merupakan antara penyebab kekeliruan.


Sikap Masyarakat dan Perkauman Sempit

Kerisauan pertama yang timbul akibat masalah yang berakar daripada retorik identiti sebegini ialah stereotaip dalam masyarakat yang berbeda kaum dan kepercayaan.

Melihat bangsa atau penganut agama lain sebagai satu entity asing merupakan satu hasil daripada sikap sebegini. Hal ini bukan sahaja menyebabkan sukarnya kasih sayang untuk berputik, namun boleh juga sehingga menyebabkan keganasan berlaku.

Lihat sahaja laras bahasa yang digunakan organisasi berasaskan kaum seperti PERKASA, seolah-olah identiti ‘Melayu’ (saya meragui idea ‘Melayu’ yang dibawa oleh PERKASA yang langsung gagal memahami falsafah di sebalik makna diri Melayu.

Melayu jadi-jadian, mungkin?) itu merupakan identiti manusia yang bersifat ‘ultimate’, sehingga menafikan nilai-nilai yang universal yang lebih bermakna untuk diperjuangkan seorang manusia.

Nilai kemanusiaan, kadang kala boleh luntur akibat kekeliruan menanggapi identiti. Dasar-dasar afirmatif, terutamanya apabila melibatkan pembahagian kek ekonomi, sering sekali dicemari wacananya dengan rona-rona perkauman. Hal ini jelas dapat kita lihat melalui ungkapan seperti ‘kita nak jaga orang Melayu!’, ‘ini hak Melayu, Cina jangan ambil!’, dan sebagainya.

Namun, sejak 30 tahun DEB terlaksana, kita lihat lompong-lompong yang wujud digunakan sebaiknya untuk penguasa mengayakan kroni masing-masing serta melindungi monopoli atas nama ‘melindungi hak Melayu’ (dengan tidak menafikan kebaikan yang dibawa oleh dasar ini seperti peningkatan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, peluang pekerjaan, peningkatan industri dan sebagainya).

Dari sinilah, saya simpulkan bahawa kekeliruan terhadap identiti mempunyai kebarangkalian untuk menjadikan kita gagal menanggapi nilai universal seperti keadilan serta kebebasan – hanya kerana satu kasus identiti yang sempit seperti kaum dan bangsa.

Masalah seterusnya yang timbul ialah sokongan kepada slogan-slogan perkauman dengan menafikan nilai-nilai yang sepatutnya diangkat. Perkara ini saya kira jelas pada hari ini menjelang PRU-13 di Malaysia. Bahasa-bahasa seperti ‘sokong parti itu, habis orang Melayu!’ dan sebagainya sangat kuat bergema sebagai propaganda yang popular kini.
Namun, persoalan yang penting untuk kita ajukan di sini ialah; pernahkah (dan mampukah) kita untuk pergi lebih jauh daripada persoalan identiti yang hanya berdasarkan satu dimensi semata-mata? Bukankah lebih jauh daripada identiti yang melatari masyarakat, adanya nilai-nilai yang tiada siapa pun akan pertikaikan – tidak kisahlah sama ada ia beragama, agnostik, atau ateis sekalipun – iaitu keinginan kepada kebebasan, keadilan, kemuliaan insan, serta kesetaraan di bawah undang-undang?

Malangnya, ramai rakyat Malaysia masih memilih pendefinisian identiti yang sempit untuk menghadapi pelbagai isu yang kompleks. Mana mungkin slogan perkauman mampu menyelesaikan masalah rasuah atau salah guna kuasa, yang hanya mampu diselesaikan melalui keadilan serta penguat kuasaan undang-undang yang telus?

Maka, ayuhlah kita bergerak menuju sebuah Malaysia yang lebih berani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan