Khamis, 3 Januari 2013

Siaran langsung: Ustaz Hadi bukan macam Najib

Siaran langsung: Ustaz Hadi bukan macam Najib

Harakahdaily, 03 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Seharusnya kerajaan menimbangkan permintaan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS untuk menjelaskan isu amanat yang diucapkan pada tahun 1981 secara siaran langsung di televisyen tanpa dolak dalik lagi.


“Ini kerana, permintaan ini lahir dari hasrat Presiden PAS sendiri tanpa melalui sebarang syarat yang ketat dan sukar.

“Yang menghairankan, beliau diserang siang dan malam, kenapa kerajaan pula enggan membenarkan Presiden PAS itu tampil menjelaskan kenyataan beliau,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor kepada Harakahdaily.

Katanya, kesediaan Presiden PAS untuk bertemu di kaca televisyen menunjukkan beliau berjiwa besar dan sanggup berlapang dada untuk bersemuka  sekalipun menghadapi pelbagai risiko sabotaj oleh pihak lain.

Ini, katanya berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun berkali-kali didesak oleh rakyat.

Beliau berkata, permintaan Presiden PAS untuk ‘on air’ di televisyen ada rasionalnya kerana umum mengetahui media utama negara tidak pernah berpihak kepada pembangkang.

Tambahnya, apa sahaja boleh terjadi sekiranya rakaman dibuat dengan pelbagai manipulasi dan suntingan, lebih-lebih lagi ianya berlaku dekat dengan pilihanraya umum ke-13.

“Ada kebarangkalian keseluruhan ucapan Presiden PAS hanya tinggal beberapa minit sahaja selepas suntingan. Ini yang tidak diinginkan oleh Presiden PAS dan seluruh ahli PAS,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas dan jujur menangani isu amanat yang dikatakan mencetus polemik dan ‘perpecahan’ sesama umat Islam itu, mereka perlu memberi Presiden PAS peluang untuk memperjelaskannya.

Katanya lagi, kerajaan tidak perlu risau sekiranya kebenaran akan terserlah daripada siaran langsung itu.

“Jika Presiden PAS di pihak yang benar dan rakyat menerimanya, ia adalah untuk kebaikan umat Islam seluruhnya. Manfaat untuk umat Islam adalah lebih aula diutamakan daripada kepentingan politik sendiri,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan