Selasa, 20 November 2012

Senjata yang ada pada PAS mohon doa kepada Allah

Senjata yang ada pada PAS mohon doa kepada Allah

Harakahdaily, 20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Senjata yang ada kepada PAS ialah memohon doa kepada Allah supaya Allah membalas dengan setimpal atas kejahatan yang dilakukan oleh Umno, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Justeru, beliau mempersoalkan kenapa pemimpin Umno bising dengan doa untuk menghancurkan parti itu, tetapi diam membisu ketika Umno Terengganu pimpinan Datuk Seri Ahmad Said mengadakan Wacana PAS Parti Ajaran Sesat, pada 11 April  2012 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam Terengganu.

“Atas asas apa PAS dituduh ajaran sesat. Ayat al-Quran mana yang PAS menyeleweng?

“Layakkah PAS dilabel sebagai menganut ajaran sesat, semata-mata kerana hendak memperjuangkan Islam di negara ini?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengulangi pertanyaan mengenai cabaran untuk debat atau muzakarah yang sampai hari ini tidak bersahut oleh Umno.

“Jika program ini berjalan, maka tidak timbul lagi tohmahan ini terhadap PAS,” ujarnya.

Idris juga mempersoalkan di mana suara ulama pengampu Umno yang kelu dan bisu ketika Tun Dr Mahathir mengatakan malaikat juga buat salah sedangkan malaikat makhluk yang tidak pernah melakukan kesalahan.

Katanya, apakah mereka hanya menjadi jantan ketika berhadapan dengan PAS, tetapi menjadi longlai apabila pemimpin Umno menghina Islam secara jelas.

Tegasnya, PAS hanya menggunakan doa sebagai senjata, kerana bertepatan dengan maksud hadis Nabi SAW iaitu doa ialah senjata orang mukmin kerana PAS dipukul daripada berbagai sudut tanpa belas kasihan.

Antaranya, kata  beliau kerajaan BN tidak pernah menghormati hak federalisme yang sepatutnya diperolehi oleh Kelantan sejak 1990 di samping pencabulan hak demokrasi yang semakin parah melalui SPR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan