Isnin, 12 November 2012

Pahang royalti; Kelantan dan Terengganu apa?



-, 12 Nov 2012
Pengumuman Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak bahawa Pahang dijangka menerima ‘royalti minyak’ sekitar RM100 juta setahun apabila adanya penemuan kawasan minyak di medan minyak Bertam PM 307 adalah amat menarik perhatian.

Ini adalah kerana kawasan baru ini berada 100% dalam perairan Terengganu dan ia dijangka akan membawa pulangan berbilion-bilion ringgit kepada Petronas dan kerajaan Malaysia.

Dalam kegembiraan kepada negeri Pahang,  timbul persoalan besar, apakah tindakan Perdana Menteri ini tidak akan menjejaskan hak royalti yang berada dalam perairan Terengganu? Begitu juga dengan hak royalti Kelantan yaang terus dinafikan hak mereka untuk mendapatkan hasil minyak dari kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua negeri ini telah menfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menuntut tunggakan pembayaran royalti dan bayaran masa hadapan bagi hasil petroleum diperoleh di luar pantai negeri berkenaan yang tidak dibayar. Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Namun pada awal tahun 2011, setelah Terengganu bertukar kerajaan dari PAS kepada Umno/BN, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said, telah bersetuju untuk menarik balik saman terhadap Petronas. Mereka beranggapan bahawa isu ini telah selesai kerana kerajaan Terengganu telah mendapat ‘Wang Ensan’ dan Dana Khas’ secara terus dari Kerajaan Persekutuan.

Isu royalti minyak ini mula timbul apabila sebaik sahaja Pas berjaya menawan Terengganu pada pilihanraya umum ke 11. Pada 5 September 2000, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu tanpa menyalurkan terus kepada kerajaan negeri lima peratus royalti petroleum yang dibayar sebelum ini.

Tun Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri pada waktu itu telah membuat penegasan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak berhak mendapat ‘royalti minyak’  dan “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan”.

Lebih parah lagi apabila Dr. Mahathir mendakwa bahawa perjanjian di antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas hanyalah merupakan suatu MOU sahaja.

Perlu ditegaskan bahawa Pada 12 November 1975, Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan di Parlimen bahawa semua negeri di Malaysia, telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Mengikut perjanjian itu; “Tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di dalam negeri masing-masing, sama ada yang diperolehi itu dalam perairan ataupun di luar perairan negeri tersebut yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”

Maka sejak dari tarikh tersebut Kerajaan Negeri Terengganu dan Sarawak  telah menerima ‘Wang royalti minyak’ secara langsung dengan tunai tanpa sebarang gangguan dan sekatan sepertimana yang terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Negeri tersebut.

Malah kerajaan negeri Terengganu telah memperolehi wang royalti minyak bernilai hampir RM15 bilion selama 25 tahun.

Namun dengan pengumuman ‘anugerah wang ehsan’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar. Apakah perjanjian asal diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?

Apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri? Dan apakah kesudahan kepada tuntutan royalti minyak kepada negeri Terengganu dan juga Kelantan?

Namun apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan pimpinan Umno/BN terhadap kerajaan negeri Kelantan adalah suatu bentuk kezaliman kepada rakyat. Kenapa mesti mendiskriminasi sebuah negeri yang lebih 95% rakyatnya beragama Islam dan berbangsa Melayu?

Tindakan ini adalah jelas berniat meyiksa rakyat Kelantan yang telah memberi mandat kepada kerajaan PAS sepertimana yang telah berlaku kepada negeri Terengganu pada tahun 2001. Bagi Terengganu, dimanakah pula maruah kepimpinan Menteri Besar Ahmad said apabila hasil minyak yang berada di perairan negeri boleh ‘diserah’ kepada negeri jirannya, Pahang?



* Dr. Syed Azman Syed Ahmad adalah Penolong Setiausaha Agong PAS dan Adun  Batu Burok, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk, Twitter; @syedazman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan