Isnin, 26 November 2012

Malaysia tidak bersedia untuk AFF?

Malaysia tidak bersedia untuk AFF?

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong,
Pasukan bolasepak Malaysia tidak bersedia menghadapi piala Asean Football Federation (AFF). Itulah ungkapan yang sesuai yang bagi menggambarkan mutu permainan pasukan Malaysia berdasarkan kepada perlawanan pertama menentang Singapura semalam. Jika dilihat kepada corak permainan Malaysia berbanding pasukan Singapura, ternyata pasukan Singapura lebih bersedia pada kali ini. Barang kali mereka ingin menebus kekecewaan pada pertandingan AFF 2010, iaitu tewas kepada pasukan Malaysia. Namun, sejarah itu telah berlalu dan kini lembaran baru bagi Malaysia dan pasukan-pasukan lain yang bertanding.

Apakah punca kemerosotan mutu pasukan Malaysia ketika ini? Persoalan yang amat sukar untuk dijawab oleh semua pihak. Namun, jika kita undur kembali, kita dapat melihat  bahawa K Rajagopal terlalu banyak menguji permain dalam membentuk pasukan dengan alasan untuk memastikan permain yang disenaraikan benar-benar layak untuk menyarung jersi pasukan negara.

Ternyata, tindakan ini tidak membawa hasil yang dimahukan, malah jika dilihat kepada beberapa perlawanan persahabatan, pasukan Malaysia lebih banyak kalah berbanding menang. Ada yang beranggapan, persiapan pasukan Malaysia menghadapi piala AFF pada kali ini ternyata amat bercelaru dan tidak serius berbanding edisi lepas. Malah sikap K Rajagopal amat sukar menerima kritikan menambahkan lagi kecelaruan persiapan pasukan Malaysia.

Namun, saya percaya para penyokong Malaysia tetap menyokong pasukan Malaysia walaupun pasukan Malaysia ketika ini terumbang-ambing dalam mencari kemenangan. Diharapkan ‘Harimau Malaya’ terus garang untuk perlawanan seterusnya. Selamanya Malaysia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan