Rabu, 21 November 2012

Antara kejayaan UPSR dengan beban PBS

Antara kejayaan UPSR dengan beban PBS

Nasrudin Hassan, 21 Nov 2012
Pemuda PAS ingin merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada murid-murid yang berjaya di dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan baru-baru ini. Syukur Alhamdulillah kita panjatkan ke hadrat Ilahi di atas nikmat kejayaan yang diberikan. Kepada mereka yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan, peperiksaan ini bukanlah penamat segala-galanya. Tanamkan iltizam baru dan terus belajar dengan gigih untuk lebih berjaya di masa akan datang.
Pada masa yang sama, semua pihak mesti mengiktiraf usaha bakti yang telah dicurahkan oleh para guru untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kita. Kita sedia maklum akan bebanan tugas guru yang amat berat. Maka sewajarnya pihak Kementerian Pelajaran mengambil tindakan penyelesaian segera di atas keluhan warga guru yang rata-ratanya merasa terbeban dengan perlaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Di bawah Transformasi Pendidikan yang dicanangkan kerajaan, warga guru kini bukan sekadar mentaksir keupayaan akademik pelajar di peringkat sekolah malah diminta untuk membuat taksiran sumatif peringkat pusat di samping pentaksiran psikometrik dan pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan ko-kurikulum.

Tidak cukup dengan tambahan skop pentaksiran yang perlu dilakukan, segala urusan merekodkan data pentaksiran  juga dilakukan oleh warga guru. Bayangkan berapa ratus data yang harus dimasukkan oleh para guru! Lebih menambahkan stres apabila sistem atas-talian Kementerian yang mesti digunakan oleh para guru untuk membuat input data seringkali gagal diakses pada waktu kritikal.

Apa yang membimbangkan kita, dengan sebegitu banyak kerja yang dibebankan ke atas warga guru dan sebegitu banyak pula maklumat yang dikumpulkan melalui PBS, adakah wujud usaha profesional berterusan untuk mengolah data yang diperolehi bagi tujuan menambahbaik sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah?

Yang pasti, tumpuan warga guru terhadap usaha pengajaran menjadi terjejas akibat dari sistem yang dipaksakan oleh pihak Kementerian akibat dari para guru kini menumpukan lebih banyak masa untuk urusan perkeranian dan pentadbiran. Mengambil kira apa yang berlaku, ternyata usaha memperkasa profesion perguruan dan menginsankan pentaksiran (humanizing assessment) cumalah sekadar slogan kosong.

Sekiranya benar telah wujud projek rintis yang melibatkan 500 buah sekolah sebelum PBS dilaksanakan, maka seharusnya masalah-masalah ini telah pun dikenalpasti dan diselesaikan. Hakikatnya, strategi pembaharuan yang dilakukan oleh pihak Kementerian gagal menanggapi realiti perlaksanaan di peringkat sekolah-sekolah dan cuma nampak gah di atas kertas.

Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan