Selasa, 9 Oktober 2012

Perdamaian MILF-Filipina perlu komitmen jujur

Perdamaian MILF-Filipina perlu komitmen jujur

Harakahdaily, 09 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Lantaran itu sangat penting perjanjian kali ini dapat tertegak dengan mapan demi menegakkan hak dan keadilan untuk umat Islam khususnya dan seluruh rakyat Mindanao umumnya.
Demikian penegasan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berhubung perjanjian damai peringkat awal (framework agreement) yang dimeterai antara MILF dan pihak kerajaan Filipina pada 7 Oktober lalu.

Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin dan Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama berpendapat Mindanao adalah wilayah bangsa Moro yang telah lama dinafikan hak untuk membangun, disebabkan sikap Manila yang terus mahu mengukuhkan dominasinya.

Berikut adalah kenyataan penuh mereka.

Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengalu-alukan perjanjian damai peringkat awal (framework agreement) yang dimeterai antara MILF dan pihak kerajaan Filipina pada 7hb Oktober 2012  yang lalu.


Perjuangan bangsa Moro untuk mendapat hak mentadbir sendiri sejak 1565 yang  berlarutan lebih 300 tahun bermula dari penjajahan Sepanyol dan diikuti Amerika  sudah lama ingin ditamatkan.

Kini perjanjian untuk kedua pihak bersetuju mengujudkan genjata senjata telah dimeterai walaupun baru di peringkat awal yang masih banyak aspek yang belum diperincikan.

Sejarah Mahkamah Tinggi membatalkan MOA-AD (Memorandum of Agreement on Ancestral Domain) pada 2008 adalah ingatan penting bagaimana perjanjian yang dimeterai tidak boleh berjalan dengan lancar kerana ada pihak yang tidak senang dengan perjanjian damai yang menguntungkan Umat Islam Bangsamoro.

Demikian juga cabaran mendapat persetujuan dengan MNLF perlu juga dilayani dengan bijak kerana beberapa perjanjian terdahulu tidak diisytihar dibubar iaitu perjanjian damai 1996, perjanjian Tripoli dan Perjanjian Jeddah.

Malah perjanjian  pada zaman Marcos (1976), Aquino (1986) dan Ramos (1996)  yang akhirnya melanjut kepada dikuatkuasakan Akta Republik 1954,  dan tertegaknya ARMM (Autonomous Region of Muslim Mindanao) kini telah dibangkitkan semula oleh MNLF. Pihak MNLF sudah mengeluarkan kenyataan keras bahawa perjanjian yang terbaru ini adalah suatu pengkhianatan kerana mereka tidak dirujuk sama sekali.

Juga harus diingatkan pengalaman perjanjian dengan MNLF dahulupun tidak menghasilkan kemajuan yang diharapkan untuk umat Islam di Mindanao walaupun Nur Misauri di lantik sebagai Governor Mindanao.

Bermakna sungguhpun perjanjian dimeterai, pihak MILF dijangka akan mengambil pendirian yang berhati-hati sehingga perjanjian yang lebih terperinci diselesaikan pada hujung tahun ini.

Sesungguhnya perjanjian itu boleh menjadi tapak awal untuk memastikan umat Islam mendapat peluang meneruskan usaha untuk mengukuhkan keadaan sosio-ekonomi di Mindanao dan dengan itu boleh memperbaiki kualiti hidup umat Islam khususnya.

Perjanjian damai itu yang belum lagi lengkap secara terperinci masih mempunyai cabaran yang banyak kerana tuntutan oleh MILF belum dihalusi dalam semua aspek.

Dengan itu keadaan belum terjamin stabil jika kedua pihak tidak bersungguh memastikan jangan ada usaha untuk menjejaskan persepakatan asas yang dimeterai.

Kami berpendapat Mindanao adalah wilayah bangsa Moro yang telah lama dinafikan hak untuk membangun, disebabkan sikap Manila yang terus mahu mengukuhkan dominasinya. Lantaran itu sangat penting perjanjian kali ini dapat tertegak dengan mapan demi menegakkan hak dan keadilan untuk umat Islam khususnya dan seluruh rakyat Mindanao umumnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan