Tuduhan PRU-13 ketika musim haji serangan kotor kaburi mata rakyat

ISU pemimpin PAS meminta ahlinya menangguhkan ibadat haji bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 13, masih menarik untuk kita bincangkan. Berita itu disiarkan selangorku.com pada 5 Jun lalu dan dipetik http://www.rbfonline.net, melaporkan PAS meminta semua ahlinya yang terbabit secara langsung dalam pilihan raya supaya menangguhkan ibadat haji.
Laporan itu memetik Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai berkata PAS menjangka PRU-13 bakal berlangsung ketika musim haji, iaitu selepas Ramadan antara September hingga Oktober.

Menyusul laporan itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menganggap perkara itu tidak akan menjadi isu sekiranya kerajaan tidak mengadakan pilihan raya pada musim haji.

Malah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam HarakahDaily 27 Jun lalu, mengkritik UMNO bersabit isu ini. Anehnya, yang memulakan isu ini adalah pemimpin PAS, tetapi UMNO pula ditohmah dan dicemuh.

Perbuatan pemimpin PAS ini samalah seperti menuduh seseorang itu melakukan dosa atas perkara yang belum pun dilakukan. Tidakkah perbuatan ini berdosa?
Memanglah pilihan raya umum pernah diadakan dalam musim haji iaitu pada 1986, tetapi apakah PAS pasti Datuk Seri Najib Razak akan melakukannya pada PRU-13?

Setahu kita, Perdana Menteri tidak pernah mengatakan atau membayangkan pilihan raya akan diadakan pada musim haji. Bak kata orang, tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba pemimpin PAS mendahului Perdana Menteri dengan meminta ahlinya menangguhkan ibadat haji kerana kononnya pilihan raya akan diadakan pada musim haji.

Dari sini, timbul persoalan kenapa PAS mempolitikkan isu ini? Agaknya, PAS sudah ketandusan isu atau mungkin terdesak akibat masalah dalaman dihadapi parti itu.

Apatah lagi, rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang turut menghadapi masalah dalaman.

Sebab itu PAS tidak mahu menghadapi pilihan raya pada musim haji kerana takut parti itu kehilangan lebih banyak undi.

Justeru, PAS menggunakan taktik ‘pre-emptive’ atau menyerang dulu untuk memberi tekanan terhadap kerajaan BN dan UMNO supaya tidak mengadakan pilihan raya pada musim haji.

Serangan bertalu-talu PAS, termasuk melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah bertujuan memberi gambaran kepada rakyat kononnya kerajaan BN yang ditunjangi UMNO tidak sensitif terhadap tuntutan agama dan umat Islam.

Inilah yang dilakukan Hadi. Presiden PAS itu dalam HarakahDaily menyuarakan harapan PAS kepada umat Islam di negara ini supaya bersedia menghadapi PRU-13 walaupun kerajaan melaksanakannya tanpa mengira musim haji.

Sudah tentu juga apabila PAS kalah dalam PRU-13 nanti, bolehlah parti itu menggunakan isu ini sebagai modal untuk menyalahkan kerajaan BN dan UMNO.

Malah, Hadi sudah pun menuduh UMNO mengamalkan taktik kotor bagi menafikan hak mengundi kepada kalangan umat Islam yang berada di Makkah atau Madinah, seolah-olah Presiden PAS itu sudah pasti pilihan raya akan diadakan pada musim haji.

Kalaupun pilihan raya diadakan pada musim haji, apakah Hadi yakin kebanyakan daripada 28,000 jemaah haji menyokong PAS? Mungkin juga lebih ramai jemaah haji itu yang menyokong UMNO. Selain itu, ramai juga kakitangan kerajaan dihantar ke Tanah Suci untuk menguruskan jemaah haji.

Namun, kita percaya sekiranya kebetulan pilihan raya diadakan juga pada musim haji, pemimpin UMNO tidak mungkin tergamak hendak meminta ahlinya menangguhkan pelaksanaan rukun Islam kelima itu kerana mereka adalah tetamu Allah.

Penulis ialah Timbalan Pengarang Kumpulan BH