Sabtu, 16 Jun 2012

Euro 2012 di ambang Ramadhan 1433




Euro 2012 di ambang Ramadhan 1433

Syahir Sulaiman, 16 Jun 2012

Tanpa sedar, masa begitu pantas berlalu. Kita sudah pun berada di ambang Ramadhan al-Mubarak, namun ramai di kalangan kita yang penumpuannya tidak terarah kepada persiapan diri menyambut ketibaan ‘pesta ibadah’ di bulan serba mulia ini.

Kemeriahan Piala UEFA Euro 2012 16 pasukan merebut trofi berprestij.

Kejohanan Bola Sepak Eropah UEFA 2012, ataupun Euro 2012 yang diadakan di Poland dan Ukraine mulai 8 Jun hingga 1 Julai 2012 merupakan temasya kejohanan bola sepak Eropah kali ke -14 yang dianjurkan oleh UEFA.

Penganjurannya pada tahun ini adalah kejohanan terakhir yang menampilkan 16 buah negara, di mana mulai musim Euro 2016, kejohanan ini akan disertai 24 negara bagi merebut trofi kebanggaan Eropah tersebut.

Penumpuan pastinya lebih terarah kepada rentak permainan di tengah padang, walaupun di sebalik kemeriahan dan kehangatan di stadium, ia tidak dapat lari dari kontroversi pertaruhan dan insiden berbau perkauman yang masih berbaki di kalangan penghuni benua Eropah.

Apapun, pujian harus diberikan terhadap tahap profesionalisma serta semangat kesukanan yang ditunjukkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kejohanan merebut piala berprestij tersebut.

Menarik untuk disorot sisi penganjuran kejohanan piala tersebut di sisi penganjuran pilihanraya di Malaysia.

Pastinya, tahap profesionalisma dan semangat kesukanan pada penganjuran Euro 2012 jauh berbeza jika diukur dengan mutu perjalanan proses pilihanraya di Malaysia.

Di sana, tarikh setiap perlawanan sudah ditetapkan lebih awal secara terbuka (transparen) supaya persiapan dapat diadakan sesempurna mungkin tanpa perlu berteka teki seumpama di sini yang menyebabkan keresahan semua pihak, hinggakan pelabur resah membuat keputusan di samping hajat warga kampung berkenduri sedikit terganggu, malah hajat menunaikan haji juga tergendala.

Di sana, pengadilnya terpilih dan teruji kewibawaan mereka, namun di sini pengadil pilihanraya ada kalanya seolah-olah menyarung jersi yang sama dengan pihak lawan hingga menatijahkan segolongan rakyat yang prihatin sama-sama “Duduk dan Bantah” di Dataran
Merdeka.

Di sana, ada peraturan yang perlu dipatuhi kedua-dua pasukan bertanding, namun di sini ada pihak yang boleh miliki pemain (baca: pengundi) simpanan yang boleh diturunkan bila-bila masa tanpa mengira kerakyatan bagi mencapai kemenangan.

Di sana, pasukan yang bertanding punyai persiapan yang setara, namun di sini sebelah pihak punyai tajaan dan dana berbilion ringgit serta disokong jentera kerajaan di semua peringkat bagi
menghadapi pihak lawan yang kerdil, ditampung duit ahli dan penyokong sendiri.

Di sana, juruhebah perlawanan memberi komentar yang samarata, namun di sini juruhebah dan media memberi pujian melambung pada satu pihak dan mengherdik serta memfitnah di satu pihak yang lain, menatijahkan penonton mencari sumber liputan berita alternatif dan jaringan media sosial yang bebas tanpa tapisan.

Di sana, pengadil punyai kuasa melayangkan kad merah dan mengarahkan pemain yang ingkar keluar padang, namun di sini rakyat yang punyai hak untuk melayangkan kad merah pada mana-mana pemimpin yang alpa dan tiada amanah, selepas dilayangkan kad kuning amaran dalam PRU ke 12 yang lepas.

Merah isyarat berhenti.

Menyambut ketibaan Ramadhan yang dirindu

Firman Allah s.w.t.:
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (Al-
Baqarah: 183)
Taqwa merupakan sebaik-baik bekal dalam meneruskan hidup ini bagi menghadapi hidup seterusnya.
Tiadalah medan yang paling sempurna dalam melatih diri memiliki sifat Taqwa melainkan di bulan Ramadhan al Mubarak.
Inilah intipati saranan yang disampaikan TG Hj Hadi Awang dalam amanat beliau di Himpunan Hijau Menuju Putrajaya, di mana kekuatan rohani merupakan persediaan utama yang perlu dimiliki dalam menghadapi pilihanraya umum yang paling sengit ini, di samping persiapan strategi dan material yang perlu diperkasa dalam menghadapi pihak lawan.
Menariknya tarikh hari raya 1 Syawal tahun ini sudah pun termaktub dalam kalendar Malaysia mengikut kaedah hisab yang akan disahkan melalui kaedah rukyah mencerap anak bulan, namun tarikh pilihanraya di Malaysia masih lagi samar dalam telahan dan firasat Perdana Menteri.

Biar apapun tarikh yang dipilih, menjalankan pilihanraya selepas Ramadhan hanya akan menguntungkan PAS/PR atas dua faktor.

Pertama, ahli dan jentera parti menjalani ibadah di bulan Ramadhan dengan penuh tekun demi memperoleh martabat Taqwa dan mengecap keredhaan Allah.

Kedua, anak-anak muda di kota yang pulang berhari-raya bukan sekadar membawa pulang ole-ole dan duit raya untuk dihulur pada yang tua, malah turut pulang berkongsi khabar dan maklumat berkenaan senario politik semasa dan peluang membina kepimpinan
baru di Putrajaya.

Moga-moga kesucian Ramadhan dan Syawal 1433 tidak dicemari kontroversi dan fitnah seumpama di Ramadhan dan Syawal 1432.

Ahlan wa sahlan Ya Ramadhan, bulan yang dirindui.
--------------------------------------
*Syahir Sulaiman adalah AJK DPPM. Beliau akan pulang berhari raya dengan penuh bekalan untuk dikongsi sanak-saudara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan